Australia. Tiada yang seumpamanya

Saksikan alam semula jadi Kangaroo Island

Lihat tarikan Australia Selatan

Kangaroo Island

Kangaroo Island

Tidak jauh dari tanah besar Australia Selatan, Kangaroo Island terasa bagaikan
di dunia lain. Tempat ini adalah perlindungan hidupan liar dan syurga bagi mereka yang mahu melepaskan diri daripada tekanan kehidupan harian.

Cenuram berceranggah dramatik dipukul Lautan Selatan yang liar bertemu pantai berpasir putih terlindung dan gumuk pasir yang putih. Air akuamarin sepadan dengan laut hijau tua di mana anda boleh berenang di tepi pantai yang masih terpelihara atau menyelami ‘kubur’ bawah laut bagi bangkai kapal yang menyeramkan. Lebih separuh daripada pulau tersebut adalah hutan belukar asli, yang kebanyakannya dipulihara sebagai taman negara.

Tenangkan jiwa anda dalam keajaiban semula jadi tanpa gangguan

Anjing laut bermata kuyu berjemur di pantai berpasir putih, manakala koala pula kelihatan terlelap pada pohon eucalyptus yang mencuar dan burung laut terbang melepasi lagun yang berkilauan. Penguin kecil terkedek-kedek mendarat di pantai pada waktu malam selepas seharian di laut. Anda boleh berenang bersama ikan lumba-lumba atau bersnorkel dengan naga laut kecil berupa daun.

Terokai pantai luncur rahsia dan Remarkable Rocks, yang dibentuk oleh angin dan laut bergelora selama jutaan tahun.

Dengan dikelilingi oleh tanah subur dan laut yang kaya ini, Kangaroo Island juga menghasilkan antara makanan gourmet yang terbaik di Australia. Udang krai air tawar, madu tulen, hasil tenusu organik dan pelbagai wain yang istimewa pasti mendapat tempat di hati penggemar makanan.

Tidur di bawah kerlipan bintang atau manjakan diri anda di Southern Ocean Lodge, iaitu antara rumah tamu belantara yang paling berprestij di Australia.

Kangaroo Island adalah tempat yang indah dengan ruang terbuka luas di mana anda boleh menemui sedikit ketenteraman dan membiarkan alam menenangkan jiwa anda.

CLOSE