Wilayah Wain Australia

Ladang Anggur Bulong, Yarra Valley, VIC. © Tourism Victoria & Cormac Hanrahan

Wilayah Wain Australia

Australia mempunyai lebih daripada 60 wilayah wain terpilih di seluruh negara dan telah mendapat reputasi di seluruh dunia untuk wainnya yang memenangi anugerah.

Terokai beberapa ladang anggur shiraz yang tertua di dunia, di Barossa Valley dan McLaren Vale di Australia Selatan, atau sauvignon Blanc yang memenangi anugerah di Sungai Margaret di Australia Barat. Sertai salah satu daripada acara kilang wain yang diadakan di Hunter Valley berhampiran Sydney, atau nikmati chardonnay yang menjadi kemegahan, pinot noir dan wain membuih di Yarra Valley berhampiran Melbourne.

Hampir setiap wilayah penanaman wain mempunyai pesta tahunan di mana wain, hidangan dan budaya tempatan boleh dinikmati. Pesta paling besar ialah Tasting Australia yang berlangsung dua kali setahun dan mempamerkan beberapa tawaran terbaik di Australia.

Hunter Valley di New South Wales merupakan wilayah penanaman anggur wain yang tertua di Australia. Ia juga terkenal kerana makan malamnya yang mewah, sekolah memasak, galeri, spa kesihatan dan padang golf. Di sini anda boleh mencuba keju tempatan, coklat buatan tangan, Charcuterie yang menjual produk berasaskan daging, hasil tenusu, roti sourdough dan minyak zaitun terus dari pembuatnya. Ikuti kelas pakar merasa wain; atau cuba pelbagai jenis wain di salah satu antara 150 tempat simpanan wain. Setelah puas melayani kegemaran makanan dan minuman anda, hilangkan diri anda di luar dengan bermain golf, menaiki belon udara panas atau helikopter atau membeli-belah barang antik dan hasil seni tempatan di pelbagai galeri wilayah ini.

Barossa Valley di Australia Selatan merupakan wilayah penghasil wain tertua di Australia dan terbaik di dunia. Walaupun ia pertama sekali didiami oleh pendatang Eropah pada tahun 1842, ia masih mengekalkan gaya lamanya yang menawan. Terdapat kira-kira 150 buah kilang wain dan bilik simpanan wain bawah tanah di Barossa Valley. Barossa Valley juga terkenal dengan hasil tani bermusim yang segar, pengeluar makanan artisan dan restoran pemenang anugerah. Ikuti laluan makanan dan wain Barossa dengan memandu sendiri atau teroka kawasan desa dengan menunggang basikal. Anda juga boleh melawati wilayah ini dengan motosikal, kereta vintaj, belon udara panas atau helikopter. Berehat di spa penjagaan diri atau bermain golf di salah sebuah padang golf kejohanan.

Clare Valley merupakan antara wilayah wain tertua di Australia. Ia amat dikenali kerana wain Riesling dan Clare Valley biasanya dipanggil tempat asal Riesling Australia. Cuaca seakan Mediterranean amat sesuai untuk menghasilkan anggur Riesling, Chardonnay, Shiraz, Cabernet Sauvignon, Semillon dan Merlot. Clare Valley mempunyai lebih daripada 40 kilang wain, yang kebanyakannya kecil dan terletak di sepanjang koridor 40 kilometer di antara kota Auburn dan Clare. Tunggang basikal atau berjalan kaki di laluan Riesling Trail yang menyambungkan banyak tarikan dan bilik simpanan wain bawah tanah di wilayah ini, atau kembara dengan penuh bergaya dan teroka wilayah ini dengan menaiki limousin.

McLaren Vale merupakan tempat lahirnya industri wain Australia Selatan dan tempat asal jenis anggur yang tertua di dunia. McLaren Vale menampilkan dengan bangganya kira-kira 65 kilang wain, yang kebanyakannya bersaiz butik. Kira-kira 270 penanam anggur bebas juga boleh didapati di sini. Lawati pasar tani hujung minggu dan beli bekal perkelahan seperti roti segar, keju, buah zaitun dan buah-buahan atau bersantai sambil makan tengah hari di restoran indah di ladang anggur. Anda boleh berjalan kaki, berbasikal atau menunggang kuda di sepanjang Shiraz Trail, yang mengikut laluan landasan kereta api lama dari McLaren Vale ke Willunga. Kemudian, nikmati budaya seni wilayah ini di salah satu antara pelbagai laluan pemanduan dan berjalan kaki.

Tidak jauh dari Melbourne, anda boleh melihat bukit bergulung, kebun buah-buahan, dusun buah zaitun, rumah agam bersejarah dan lebih daripada 200 ladang anggur di Mornington Peninsula, Victoria. Dalam wilayah peminat makanan ini, anda boleh membeli sayur-sayuran organik dari gerai tepi jalan atau memetik sendiri strawberi, beri dan ceri dari kebun buah-buahan. Bersiar-siar di dusun buah zaitun dengan pemandangan lautan atau berkelah di salah satu taman awam dan taman persendirian. Terdapat taman bunga mawar yang berkurun usianya, pagar sesat pokok renek yang berukir dan rumah agam warisan untuk anda nikmati. Setelah penat mengembara di alam makanan dan wain, bersantailah di spa penjagaan diri atau bermain sepusingan golf di padang kejohanan yang paling terkemuka di Australia.

Yarra Valley merupakan kediaman lebih daripada 80 kilang wain, dari yang kecil dan dimiliki keluarga kepada estet yang luas. Wilayah ini masyhur kerana ia menghasilkan Pinot Noir dan wain membuih yang terbaik di Australia, di samping sebilangan wain cuaca dingin yang lain. Ia merupakan wilayah wain yang pertama sekali ditanam di Victoria begitu lama dahulu pada tahun 1838. Wilayah ini dikenali dengan hasil taninya yang segar termasuk ikan salmon air tawar, trout dan kaviar, buah-buahan serta sayur-sayuran organik dan keju serta jem buatan tangan. Ikuti salah satu laluan wain pandu sendiri dan isikan hamper perkelahan anda di sepanjang laluan Yarra Valley Food Trail atau di pelbagai pasar makanan segar yang besar.

Dengan pelbagai kilang wain bertaraf dunia dan restoran pemenang anugerah, Margaret River merupakan salah satu wilayah makanan dan wain yang paling masyhur di Australia Barat. Lawati bilik simpanan bawah tanah dan nikmati bir tempatan di kilang bir butik Margaret River. Di sini anda boleh makan udang karang segar terus dari lautan atau nikmati daging lembu dan trufel organik tempatan. Manjakan diri anda dengan coklat buatan tangan atau fudge yang lazat. Setelah selesai pengembaraan makanan anda, luangkanlah masa pula untuk meneroka kawasan Great South West di Australia Barat. Dalam beberapa jam sahaja, anda boleh beralih dari kilang wain ke pantai mengagumkan dengan pecahan ombak bertaraf dunia, bersnorkel dan menyelam, atau berjalan kaki di antara hutan dan gua purba.

Swan Valley, wilayah wain tertua di Australia Barat, terletak ke utara sedikit dari Perth di Swan River. Pilihlah sendiri sebotol dua wain dari salah satu kilang wain butik terkini di Swan Valley. Ikuti lawatan Swan Valley Food and Wine Trail dan layani selera anda di restoran mewah, kafe kilang wain, kilang bir dan kilang penyulingan yang merehatkan serta gerai tepi jalan yang menjual hasil tani tempatan. Makan malam alfresco di restoran ladang anggur atau beli bekal perkelahan untuk dimakan di taman negara. Tunggang basikal di laluan Swan Valley Heritage Trail yang bersejarah atau teroka wilayah ini dengan menaiki kereta kuda, limousin berpemandu atau pelayaran gourmet yang romantik di Swan River.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia