Tiwi Islands, Wilayah Utara

Darwin 'vibraNT' Campaign 2008. © Tourism NT

Tiwi Islands, Wilayah Utara

Dikenali sebagai 'kepulauan senyuman', Tiwi Islands, terletak 100 kilometer arah utara Darwin, di tempat Arafura Sea bertemu dengan Timor Sea.

Tiwi Islands terdiri daripada pulau-pulau Bathurst dan Melville Island dan sembilan buah pulau tidak berpenghuni yang lebih kecil: Buchanan, Harris, Seagull, Karslake, Irritutu, Clift, Turiturina, Matingalia dan Nodlaw. Melville Island adalah pulau Australia yang kedua besarnya selepas Tasmania.

Hampir 90% penduduk yang tinggal di Tiwi Islands adalah merupakan keturunan Orang Asli. Mereka mendiami Tiwi Islands kira-kira 7,000 tahun lamanya.

Tiwi Islands hanya boleh dilawat dengan khidmat lawatan yang diatur terlebih dahulu dengan pemandu Orang Asli dan anda memerlukan permit untuk melawat. Di kawasan Australia yang unik dan jauh ini, anda akan dapat mengalami perbezaan budaya antara penduduk Tiwi yang dipengaruhi Polynesia dengan orang asli Arnhem Land di seberang. Kebanyakan penduduk Tiwi Islands tinggal di petempatan Wurrumiyanga; Pirlangimpi (Garden Point) dan Milikapiti (Snake Bay) di Melville Island.

Tiwi Islands mempunyai beberapa kemudahan pelancong. Tiada kereta untuk disewa dan hanya beberapa tempat untuk tinggal tidak termasuk beberapa rumah persinggahan memancing yang terpencil. Tiwi Islands terkenal dengan aktiviti memancingnya. Anda boleh menginap di salah satu rumah persinggahan memancing atau menyertai ekspedisi memancing di laut dalam.

Jangan lepaskan peluang untuk membeli barangan kesenian dan kraf Tiwi Island yang unik termasuklah pakaian batik dan skrin sutera, gelang tenun, kulit kerang berlukis, ukiran kayu dan tembikar yang berkualiti tinggi. Kebanyakan ukiran kayu oleh kaum Tiwi memaparkan burung daripada mitologi Tiwi, yang mempunyai maksud yang suci. Beberapa contoh terbaik dipamerkan di Mission Heritage Gallery di Bathurst Island. Di pusat kesenian Tiwi Designs artis tempatan mencipta, mempamerkan dan menjual hasil kerja mereka.

Antara kraf tangan Tiwi Islands yang paling terkenal adalah ‘pukamani’, iaitu tiang pengebumian sarat berhias yang boleh menjangkaui ketinggian tiga meter. Tapak pengebumian yang ditandai dengan tiang pukamani terdapat di seluruh kepulauan, dengan memberi hamburan warna pada pandangan daratnya. Di Patakijiyali Museum, Wurrumiyanga, anda boleh mengetahui tentang sejarah Tiwi Islands serta penduduknya.

Di sepanjang garis pantai kepulauan anda akan menemui hutan hujan, pantai lengang yang berpasir serta air terjun dan kolam batuan yang terlindung. Lokasi kepulauan yang terpencil ini menjadi tempat tinggal untuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tidak ditemui di tempat lain dalam dunia ini. Kepulauan ini merupakan habitat untuk koloni pembiakan terbesar dunia bagi burung Crested Terns serta populasi besar penyu Olive Ridley yang terancam. Lautan dan muara di sekeliling kepulauan juga merupakan tempat tinggal untuk buaya air masin.

Kaum Tiwi dapat menerangkan tiga musim yang jelas di kepulauan ini. Musim hujan dari bulan November hingga April membawa ribut dan taburan hujan tertinggi di Wilayah Utara.

Australian Rules Football diperkenalkan di Tiwi Islands pada tahun 1940-an oleh mubaligh dan adalah sangat popular kala ini. Pusingan Akhir Liga Bola Sepak Tiwi Islands yang diadakan pada bulan Mac setiap tahun menarik minat sehingga 3,000 orang penonton.

Anda boleh sampai ke Tiwi Islands melalui penerbangan singkat menaiki pesawat udara ringan dari Darwin. Feri juga menghubungkan Darwin dengan Bathurst Island tiga kali seminggu.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia