Taman Botani Australia

Taman Botani Australia

Terdapat bermacam ragam taman di bandar raya - bandar raya di Australia - kawasan hijau yang aman damai untuk bersiar-siar, berkelah, rekreasi dan menenangkan minda. Kawasan perlindungan bandar ini melindungi tumbuhan dan haiwan dari Australia dan seluruh dunia, serta jejaki budaya Orang Asli yang kaya. Berkelah di sebelah pelabuhan di atas padang rumput yang menghijau di Royal Botanic Gardens Sydney atau susuri laluan jalan kaki terapung melalui taman tebing sungai yang subur di Brisbane. Berjalan atau berlari mengelilingi ‘the Tan’ di Melbourne, menunggang basikal di kawasan taman yang luas di Adelaide dan lihat Perth dari Kings Park yang sangat luas. Redahi hutan monsun di Darwin, kembara melalui pelbagai ekosistem Australia yang berbeza di Canberra dan terokai taman yang indah di gigi Sungai Derwent di Hobart.

Sydney, NSW
Sydney, NSW

Sydney

Anda akan menemui tempat berkelah yang tidak terkira bilangannya di Royal Botanic Gardens, yang meliputi keluasan 30 hektar yang melingkari Pelabuhan Sydney. Hidu bunga mawar di taman mawar dan nikmati pemandangan melewati tumbuhan yang sukar ditemui serta yang terancam dari seluruh dunia. Terdapat juga taman yang didedikasikan kepada penduduk asal Sydney, orang Cadigal, pemandu pelancong Orang Asli boleh menawarkan wawasan yang lebih mendalam mengenai kehidupan mereka ini. Bersambung dengan taman ini adalah Domain yang berumput, di mana jaz, opera dan simfoni luar bangunan diadakan semasa Festival Sydney setiap musim panas. Lebih jauh ke timur, terletak Centennial Park yang luas di mana anda boleh bersiar-siar berjalan kaki, menunggang basikal, berkelah dan memberi makan itik. Di samping menjadi nadi bandar raya ini, kawasan taman ini menjadi hos kepada pelbagai pesta muzik musim panas.

Brisbane, QLD
Brisbane, QLD

Brisbane

City Botanic Gardens di Brisbane merupakan oasis tebing sungai, jalur cerang hutan hujan, paya bakau dan pepohon makadamia. Nikmati pemandangan taman Parliament House atau bersiar-siar berjalan kaki, menunggang motosikal atau berbasikal di sepanjang Brisbane Riverwalk. Laluan jalan kaki terapung ini turut menyusuri taman yang luas dan menghijau di South Bank, di seberang sungai. Anda pasti teruja dengan Brisbane Botanic Gardens yang beriklim sub tropika dengan keluasan 52 hektar, di kaki Mount Coot-Tha. Terokai hutan hujan dan taman Jepun sebelum menuju ke puncak gunung untuk melihat panorama seluruh Brisbane. Tinjau hidupan liar dan seni Orang Asli sambil anda menapak melalui belukar yang berliku-liku.

Melbourne, VIC
Melbourne, VIC

Melbourne

Kesibukan Melbourne ditinggalkan jauh di Royal Botanic Gardens, yang dikenali oleh warga setempat sebagai ‘The Tan’. Lingkaran luar merupakan lingkaran larian bandar raya yang amat digemari, manakala laluan jalan kakinya melewati tasik dan pelbagai koleksi tumbuhan yang meluas di pusat ini. Tinjau swan hitam,malung, burung bell, kakak tua dan kokabura serta cuba namakan beberapa tumbuhan daripada 50,000 yang terdapat di sini, dari kaktus hinggalah ke kamelia. Sertai laluan jalan kaki warisan Orang Asli yang meraih anugerah atau temui kelawar mikro di sarang mereka dalam kembara eko semalaman. Di samping itu, di pinggir CBD terletak Fitzroy Gardens, dengan tamannya yang anggun, laluan jalan kaki, konservatori dan kotej tempat tinggal Kapten Hook pada satu masa dahulu.

Adelaide, SA
Adelaide, SA

Adelaide

Tiada kekurangan ruang hijau di Adelaide, di mana 29 taman terbentang meliputi hampir separuh daripada bandar raya. Terokainya dengan berjalan kaki atau menunggang basikal – terdapat khidmat sewa basikal mengikut jam di CBD. Anda boleh menunggang sehingga ke kawasan bukit bukau dan pesisir pantai di River Torrens Linear Park. Berkelah di Botanic Park tempatan yang amat digemari, di mana ahli muzik dari seluruh dunia berhimpun untuk festival WOMADelaide setiap Mac. Sewa perahu dayung di Elder Park atau mendayung melewati taman mawar formal di Rymill Park. Adelaide-Himjei Garden merupakan oasis hasil ilham Jepun yang menawarkan suasana penuh kedamaian. Kawasan taman Adelaide juga mempunyai laluan jalan kaki dan padang sukan untuk segala-galanya dari bola sepak hinggalah ke sukan memanah.

Perth, WA
Perth, WA

Perth

Terbentang meliputi 400 hektar di pinggir Swan River, Kings Park dan Botanic Gardens merupakan  kawasan perlindungan yang sebenar. Ia saling bersilangan dengan laluan jalan kaki dan ditaburi dengan tempat meninjau bandar raya Perth, Swan River dan Banjaran Darling. Nikmati panorama dari State War Memorial atau DNA Tower dan berjalan, menunggang basikal atau naiki kasut roda melepasi taman yang diukir rapi, tasik bening ibarat cermin dan belukar yang permai. Berjalan kaki di pucuk pokok dan lihat pelbagai unggas dan bunga-bunga liar Australia Barat. Bersantai dengan barbeku atau berkelah di bawah pepohon gum. Pemandu pelancong Orang Asli Tempatan boleh memandu anda melalui taman ini, mengajar anda mengenai kemandirian di hutan belukar, dan kisah Rainbow Serpent dalam Dreamtime.

Darwin, NT
Darwin, NT

Darwin

Terdapat banyak taman tropika yang subur menghijau untuk diterokai di Darwin. Jelajahi hutan monsun, paya bakau dan hutan kayu jarang di George Brown Darwin Botanic Gardens, yang dibina pada tahun 1870an untuk menambah bekalan makanan di bandar raya ini. Gully hutan hujan mempunyai air terjun, kolam dan sekitar 400 spesies sikad dan pepohon palma. Lihat flora eksotik seperti orkid dan bromeliad dan pelajari mengenai penggunaan tumbuhan Orang Asli tradisional dalam kembara jalan kaki yang berpapan tanda. Di sepanjang pantai Darwin terletak Casuarina Coastal Reserve, di mana anda boleh berenang dari pantai putih bersih dan menerokai tapak suci Orang Asli. Tinjau burung dalam hutan monsun dan berenang dan memancing daripada kolam yang bening di Berry Springs Nature Park.

Canberra, ACT
Canberra, ACT

Canberra

Taman merupakan sebahagian daripada Canberra, ‘ibu negara belukar' atau 'bush capital’ kami yang tersendiri. Di Australian National Botanic Gardens, anda akan dapati galur hutan hujan yang dingin, fosil Pain Wollemi yang masih hidup, belukar mallee dan laman kayu putih, kesemuanya lima minit dari CBD. Bandar raya ini juga mempunyai 27 rizab kawasan belukar asal dan tanah rumput berasingan sebagai sebahagian daripada Canberra Nature Park. Kembara berjalan kaki melalui kawasan belukar mengelilingi Black Mountain, yang mempunyai pemandangan yang hebat dari atas bandar raya dan sarat dengan citra warna bunga-bunga liar pada musim bunga dan awal musim panas. Kawasan lain untuk dijelajahi termasuk Tanah Lembap Jerrabomberra, Remembrance Nature Park, Black Mountain, Mulligans Flat, The Pinnacle dan Mt Ainslie.

Hobart, TAS
Hobart, TAS

Hobart

Dunia tumbuh-tumbuhan menanti anda di Royal Tasmanian Botanical Gardens, yang meliputi 13 hektar kawasan hijau yang subur di tebing Sungai Derwent. Sertai lawatan berpandu untuk mendapat wawasan pakar perihal taman Jepun, herba tradisional dan koleksi pokok konifer awam yang terbesar di hemisfera selatan. Lihat tumbuhan yang jarang ditemui dari Pulau Macquarie di rumah tumbuhan sub-Antartika, dan kemudian kunjungi ekosistem yang lebih eksotik dalam Arthurs Wall yang dipanaskan dari dalam. Pada musim bunga, taman ini menjadi hidup dengan warna-warni Festival Tulip Tasmania yang diadakan setiap tahun. Di luar Hobart, melimpah ke North West Bay, adalah Inverawe Native Gardens, di mana puisi dan arca menghiasi laluan berliku-liku yang melewati tumbuh-tumbuhan asli di sini.

Idea Australia selanjutnya