Alam Semula Jadi

Alam Semula Jadi

Ketahui di mana anda boleh mendekati keindahan alam semula jadi di Australia.
Di negara yang menjadi tuan rumah kepada 550 taman negara dan keajaiban Warisan Dunia, ini bukanlah sesuatu yang terlalu sukar.  Anda akan melihat gunung yang puncaknya diselimuti salji dan tasik kerak garam, pemandangan desa dan laut firus yang terbentang luas.  Temui makhluk pelik, mergastua berwarna-warni, dan ikan aneka warna.  Ini adalah negara di mana sempadan menjadi samar – hutan hujan purba menyempadani bandar raya moden dan perairan mengalir deras dari tanah merah yang gersang.  Di Australia anda boleh mendekati tumbuhan dan haiwan peribumi dan mengalami keindahan luar biasa di darat, udara dan laut. 

Lapan lokasi untuk anda menghayati alam semula jadi

Bersemuka dengan ikan terbesar di dunia – ikan yu paus – di dalam perairan bening firus terumbu yang menghiasi pinggir Australia Barat.  Gergasi yang tinggal di dalam air ini makan terumbu karang yang berwarna-warni di antara bulan April dengan Jun.  Anda juga boleh menyelam, berenang atau bersnorkel dengan dolfin, pari kola yang lemah gemalai pergerakannya dan beratus-ratus spesies ikan tropika.  Di Ningaloo, citra warna hidupan marin ini hanya beberapa meter dari tepi pantai sahaja.

Anda akan terpegun di Taman Negara Kakadu yang tersenarai sebagai Warisan Dunia – sebuah jalinan indah hutan hujan, artifak budaya Aborigine merentas 19,000 kilometer persegi.  Tubir lasak, tanah lembap yang subur, gaung yang dalam, serta air terjun melata di antara satu dengan lain di taman alam semula jadi kami yang terbesar ini.  Anda akan menemui mergastua yang berhijrah di tanah lembap dan buaya yang menjemur kulitnya di pinggir Sungai Adelaide.

Temui anjing laut, singa laut, koala, walabi, bandicoot dan platipus dalam hidupan liar di Pulau Kangaroo, kawasan yang ekologinya dilindungi. Anda boleh pergi ke sana dari Adelaide.  Anda boleh melihat gomok padang pasir, pantai, hutan dan tanah ladang hanya dengan mengambil penerbangan singkat dari Adelaide atau menaiki feri dari Cape Jervis yang terletak di pantai Australia Selatan.  Saksikan penguin melakukan penghijrahan setiap malam ke pantai, beli susu, keju, wain dan madu segar Liguria dari peladang tempatan dan tinjau anjing laut berbulu bersantai di atas batu dan koloni singa laut di Seal Bay.

Melangkah masuk ke dalam kehebatan hutan hujan Tasmania, dan lalui gerbang yang membawa anda kembali 60 juta tahun dahulu.  Dengan empat puluh peratus daripada pulau ini dilindungi sebagai taman negara dan rizab, hidupan liar dan hutan yang masih asli begitu hampir dengan anda.  Kawasan Warisan Dunia terbentang lebih daripada 1.38 juta hektar – dari puncak alpine yang berceranggah dan hutan hujan tebal Gunung Cradle di utara hinggalah ke hujung selatan pulau ini.  

Sukar Dilupakan adalah cara sebahagian besar pengunjung menggambarkan Great Barrier Reef – keajaiban yang begitu luas sehingga ia boleh dilihat dari angkasa lepas. Keajaiban marin Warisan Dunia adalah cetusan berwarna-warni yang mengunjur sepanjang pantai Queensland sejauh 2,600 kilometer. Anda boleh menikmati kehidupan marin dan terumbu karang dasar laut yang hebat ini dari Cairns, Townsville, Whitsundays atau Mackay di bahagian utara dan juga Gladstone dan 1770 ( Agnus Waters) di bahagian selatan.

Keindahan kabut biru, cenuram yang dramatik serta ngarai yang dalam di Blue Mountains hanya 90 minit dari Sydney dengan kereta.  Terpegun dengan panorama yang menakjubkan di atas Laluan Enam Kaki, tunggang basikal lasak atau kuda, dan daki cenuram batu pasir.  Di samping sejuta hektar hutan rimba yang tersenarai dalam Warisan Dunia, anda juga akan menemui rumah penginapan yang damai, kafe yang nyaman, pusat peranginan mewah dan komuniti seniman yang bersemangat di sini.

Banjaran Alp yang menawarkan pemandangan alpine yang unik dan peluang aktiviti pengembaraan lasak di luar, mencelapaki New South Wales, Victoria dan Wilayah Ibu Negara Australia.  Kunjungi lapangan ski tertinggi di Australia atau kembara berjalan kaki ke puncak Gunung Kosciuszko, puncak tertinggi kami.  Hayati sejarah Orang Asli di Taman Negara Namagdi.  Lewati perkampungan bersejarah, dataran yang diliputi bunga-bunga liar, anak-anak sungai yang dipenuhi ikan trout dan gaung yang berceranggah apabila anda memandu di atas Great Alpine Road.  Atau tunggang basikal, teroka gua, berakit, berkayak, naiki kenderaan pacuan empat roda dan menunggang kuda.

Pada setiap senja, Pantai Summerland di Pulau Phillip seolah-olah menjadi hidup dengan beribu-ribu penguin kecil.  Lihat haiwan ini terkedek-kedek pulang berkawan-kawan dan berpasang-pasang selepas sehari-harian mencari makan di Selat Bass yang dingin.  Pantai berceranggah yang meminggiri lautan, teluk terlindung, lubang hembus dan gua di sini turut menjadi habitat kepada beruang koala, hidupan mergastua yang banyak anjing laut berbulu.  Sukar dipercayai bahawa lokasi yang sesak dengan habitat semula jadi ini hanya terletak 90 minit dari Melbourne jika anda memandu kereta.

Alam Semula Jadi

Idea Australia selanjutnya