Lake Eyre, Australia Selatan

Lake Eyre National Park, SA. © SATC

Lake Eyre, Australia Selatan

Lake Eyre, di Lake Eyre National Park kira-kira 700 kilometer ke utara Adelaide, merupakan oasis luar biasa di pedalaman Australia Selatan yang penuh kepayahan. Lake Eyre Basin meliputi kawasan mengagumkan seluas 1 juta kilometer persegi dan melintasi sempadan Australia Selatan, Wilayah Utara dan Queensland.

Lake Eyre sendiri, yang sebenarnya merupakan dua buah tasik yang disambungkan oleh terusan, berukuran 144 km panjang dan 77 km lebar. Ia adalah tasik garam yang terbesar di Australia, tetapi jarang berisi air. Rantau Lake Eyre juga ialah yang paling kering dan merupakan titik geografi terendah di Australia.

Pemilik tradisi rantau Lake Eyre, kaum Arabana, telah tinggal di Lake Eyre Basin selama beribu tahun. Tasik ini terus menjadi tempat budaya yang penting bagi Orang Asli. Lake Eyre telah diberi nama sempena nama peneroka Edward John Eyre, iaitu orang Eropah yang pertama sekali melihatnya dalam tahun 1840. Pada pertengahan tahun 1880-an, banyak pendatang baru mula berladang di kawasan ini. Salah satu ladang ini, Anna Creek, kini merupakan ladang penternakan lembu yang terbesar di Australia.

Paras air Lake Eyre kebanyakannya bergantung kepada monsun tahunan dan jumlah air yang jatuh di kawasan tadahan hujan di Queensland dan Wilayah Utara. Kekuatan monsun tropika menentukan sama ada air sampai ke tasik dan berapa banyak air yang diterimanya.

Air dari kawasan tadahan hujan tiga negeri ini meliputi tasik sekali dalam lapan tahun. Tasik ini pernah terisi penuh hanya tiga kali sahaja dalam tempoh 160 tahun yang lalu. Apabila tasik ini banjir, ia mencipta pemandangan semula jadi yang mengagumkan. Udara penuh dengan bunyi dan pemandangan burung air yang begitu banyak berkerumun ke kawasan ini. Lanskap yang biasanya gersang kini hidup dengan warna-warna pekat bunga liar dan laut dedaun hijau. Paras udara bergaram yang berbeza dapat dilihat sebagai corak berpusar yang terbentang jauh saujana mata memandang.

Apabila tasik mengering dan air tersejat, kemasinannya bertambah dan ia selalu kelihatan seolah-olah berwarna merah jambu. Apabila kosong, tasik menjadi dulang garam gergasi, dengan kristal putih yang membalikkan cahaya matahari.

Tempat terbaik untuk melihat tasik dari darat ialah dari Halligan Bay. Selepas hujan, anda juga boleh menikmati tasik dengan menaiki bot atau berkayak. Setakat ini, cara terbaik untuk menikmati tasik yang luas ini ialah dari udara. Beberapa operator pelancongan mengadakan penerbangan melawat tempat-tempat melintasi tasik ini, terutamanya semasa banjir berlaku. Terdapat beberapa lagi tasik garam di kawasan ini, yang antaranya tersenarai dalam Warisan Dunia kerana fosilnya jarang dijumpai.

Lake Eyre National Park terletak 60km ke timur William Creek di laluan Oodnadatta Track. Jejak ini hanya sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda dan pemandu berpengalaman sahaja. Bahan bekalan tambahan iaitu bahan api, makanan dan air hendaklah dibawa bersama. Jalan mungkin akan ditutup jika banjir berlaku. Waktu terbaik untuk berkunjung ialah dari bulan April hingga Oktober.

Dari Lake Eyre National Park anda boleh juga mengunjungi kota pedalaman Oodnadatta yang masyhur itu; kota opal Coober Pedy, atau Simpson Desert.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia