Clare Valley

Clare Valley, SA. © SATC & Mike Annese

Clare Valley

Clare Valley merupakan antara wilayah wain tertua di Australia. Ia amat dikenali kerana wain Riesling dan Clare Valley biasanya dipanggil tempat asal Riesling Australia. Cuaca seakan Mediterranean amat sesuai untuk menghasilkan anggur Riesling, Chardonnay, Shiraz, Cabernet Sauvignon, Semillon dan Merlot. Clare Valley mempunyai lebih daripada 40 kilang wain, yang kebanyakannya kecil dan terletak di sepanjang koridor 40 kilometer di antara kota Auburn dan Clare. Tunggang basikal atau berjalan kaki di laluan Riesling Trail yang menyambungkan banyak tarikan dan bilik simpanan wain bawah tanah di wilayah ini, atau kembara dengan penuh bergaya dan teroka wilayah ini dengan menaiki limousin.

Clare Valley merupakan antara wilayah wain tertua di Australia. Ia amat dikenali kerana wain Riesling dan Clare Valley biasanya dipanggil tempat asal Riesling Australia. Peneroka dari England, Ireland dan Poland mula-mula berpindah ke wilayah ini pada tahun 1840-an dan meninggalkan warisan desa serta seni bina yang kaya yang kebanyakannya masih kekal hingga kini. Banyak bangunan seumpama itu kini digunakan sebagai rumah tamu, restoran premium dan galeri seni di kawasan ini.

Cuaca Clare Valley yang bergaya Mediterranean amat sesuai untuk pengeluaran anggur Riesling, Chardonnay, Shiraz, Cabernet Sauvignon, Semillon dan Merlot.

Wilayah ini mempunyai lebih daripada 40 kilang wain, yang kebanyakannya kecil dan terletak di sepanjang koridor 40 kilometer di antara kota Auburn dan Clare. Laluan Clare Valley Riesling Trail adalah sepanjang 36 kilometer di antara Auburn dan Clare, melalui semua kota utama di Clare Valley termasuk Leasingham, Watervale, Penwortham dan Sevenhill. Laluan ini boleh dijalani dengan berbasikal dalam kurang dari tiga jam dan menyambungkan kebanyakan tarikan, simpanan wain serta pengeluar makanan gourmet di rantau ini. Beberapa tempat simpanan wain menawarkan hasil tani bermusim yang ditanam sendiri, makan malam di restoran dan jamuan ringan bergaya tapas. Riesling Trail ialah sebahagian daripada salah satu laluan basikal Australia yang utama, iaitu Mawson Trail yang berukuran 800 kilometer serta merentasi Mount Lofty dan Flinders Ranges.

Lawati Jesuit Monastery and Winery di Sevenhill, di mana tanaman anggur yang pertama di rantau ini mula ditanam pada tahun 1851. Anda akan dapat memahami lebih lanjut tentang sejarah rantau ini dengan melawati Clareville Museum dan Old Police Station Museum.

Sebilangan pengendali tempatan menawarkan lawatan bas berpemandu atau lawatan persendirian yang diperibadikan ke Clare Valley. Anda boleh juga memilih kereta vintaj atau limousin yang penuh bergaya.

Di antara Clare dan Barossa Valley, anda akan temui Kapunda, pekan kecil dengan sejarah yang kaya dan menarik. Kapunda Heritage Trail berliku-liku melalui kota ini dan anda boleh melihat beberapa tempat, bangunan dan kisah bersejarah tentang pendatang awal dahulu. Gaung Red Banks Conservation Park berdekatan Burra penuh dengan sejarah Orang Asli dan merupakan tempat kediaman pelbagai hidupan liar.

Sepanjang tahun, Clare Valley mengadakan banyak acara, dari pertunjukan desa yang klasik hingga ke pesta makanan gourmet dan wain. Pada Clare Valley Gourmet Weekend yang diadakan setiap tahun dalam bulan Mei, anda mungkin boleh menjadi pelawat pertama untuk merasakan wain vintaj tahun tersebut sebelum proses membuat wain selesai. Keistimewaan ini biasanya diberi kepada pembuat wain tersebut.

Clare Valley terletak kira-kira 120 kilometer ke utara Adelaide.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia