McLaren Vale

McLaren Vale, SA. © South Australia Tourism

McLaren Vale

McLaren Vale merupakan tempat lahirnya industri wain Australia Selatan dan tempat asal jenis anggur yang tertua di dunia. McLaren Vale menampilkan dengan bangganya kira-kira 65 kilang wain, yang kebanyakannya bersaiz butik. Kira-kira 270 penanam anggur bebas juga boleh didapati di sini. Lawati pasar tani hujung minggu dan beli bekal perkelahan seperti roti segar, keju, buah zaitun dan buah-buahan atau bersantai sambil makan tengah hari di restoran indah di ladang anggur. Anda boleh berjalan kaki, berbasikal atau menunggang kuda di sepanjang Shiraz Trail, yang mengikut laluan landasan kereta api lama dari McLaren Vale ke Willunga. Kemudian, nikmati budaya seni wilayah ini di salah satu antara pelbagai laluan pemanduan dan berjalan kaki.

Terlindung di antara banjaran Mount Lofty Ranges dan pantai Gulf St Vincent, kawasan ini dikenali dengan wain yang hebat, hasil tanaman yang subur dan pemandangan yang indah. McLaren Vale juga kaya dengan sejarah. Ia merupakan tempat bermulanya industri wain Australia Selatan dan tempat asal pokok anggur paling tua di dunia. Pokok anggur McLaren Vale yang pertama telah ditanam pada tahun 1838. Pada hari ini, McLaren Vale mempunyai 65 kilang wain, kebanyakannya bersaiz butik, kesemuanya terletak tidak jauh dari jalan utama McLaren Vale. Kira-kira 270 penanam anggur bebas juga boleh didapati di sini.

Cuaca Mediterranean McLaren Vale mencipta suasana yang amat sesuai untuk penanaman anggur. Shiraz merupakan jenis anggur yang paling penting di wilayah ini, jumlahnya kira-kira separuh daripada keseluruhan hasil anggur di kawasan ini. Cuaca dan tanah tempat ini menghasilkan buah-buahan dan wain dengan rasa yang kuat dan warna ungu pekat yang tahan berpuluh-puluh tahun lamanya di dalam botol. Wilayah ini juga adalah pakar dalam wain jenis chardonnay, cabernet sauvignon dan grenache, selain merlot, sauvignon blanc dan riesling. Sambil merasa wain, bertemulah dengan pembuat wain tersebut atau sertai lawatan di sebalik tabir.

Lawati Chapel Hill yang dinamakan sempena gereja kecil bersejarah yang dibina dari batu di kawasan ini pada tahun 1865. d’Arenberg masih menggunakan kaedah tradisi dalam membuat wain dan Verandah Restaurant kepunyaannya merupakan antara restoran Australia Selatan yang paling banyak menerima anugerah.

Bungkus bekalan perkelahan anda dengan roti segar, keju dan buah atau bersantai sambil makan tengah hari di restoran indah di ladang anggur. Pergi ke Willunga yang terletak berdekatan, tempat Pasar Tani hujung minggu menjual roti dan kek artisan, pembuka selera serta sos, daging yang diawet dan disalai secara tradisional serta buah-buahan dan sayuran bermusim. Anda boleh berjalan kaki, berbasikal atau menunggang kuda di sepanjang Shiraz Trail, yang mengikut laluan landasan kereta api lama dari McLaren Vale ke Willunga.

Setelah menjamu selera, nikmati budaya seni wilayah ini melalui salah satu antara banyak laluan pemanduan dan berjalan kaki.

Kayuh kanu menelusuri Onkaparinga River, iaitu sungai kedua terpanjang di Australia Selatan, yang mengalir ke dalam gaung yang dikelilingi cenuram tinggi di Onkaparinga National Park. Di sepanjang Echidna Trail anda akan menemui pondok dan tinggalan runtuhan rumah yang dibina pada tahun 1880-an yang tersenarai sebagai warisan.

McLaren Vale juga merupakan tempat mula yang hebat untuk meneroka Fleurieu Peninsula lebih lanjut, yang kaya dengan hidupan liar dan kawasan untuk meluncur air, memancing serta menyelam yang amat baik. Menginaplah di desa percutian seperti Victor Harbor, menyelam dan bersnorkel bersama tinggalan kapal karam dan ikan naga laut berdaun di Rapid Bay atau layari tanah lembap Coorong dari Goolwa yang bersejarah.

McLaren Vale terletak kira-kira 35 kilometer ke selatan Adelaide.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia