Dalam kesibukan hari ini, lawatan ke Yarra Valley adalah ibarat satu perjalanan ke zaman silam. Perjalanan berkereta mengambil masa kurang sejam dari Melbourne ke ladang wain daerah, perkampungan dan hutan yang diselaputi kabus. Rasailah wain di Yarra Glen dan minum teh Devonshire di Dandenong Ranges. Habiskan masa menikmati hidangan tengah hari di restoran pembuat wain atau berkelah di tepi air terjun dengan makanan hasil tempatan. Lalui Sherbrook Forest dengan menaiki keretapi stim atau terapung tinggi di atas kawasan desa dalam belon udara panas. Sama ada anda menghabiskan masa sehari, hujung minggu atau lebih lama, anda tidak akan rasa tergesa-gesa
di kawasan padat yang romantik dan tenang ini.
Yarra Valley merupakan lokasi 40 kilang membuat wain, dari yang kecil dan dimiliki keluarga, hinggalah kepada estet yang meluas dan terkenal. Mereka menanam antara pinot noir yang terbaik di Australia dan wain manis di sini, bersama dengan pelbagai lagi wain suhu sejuk. Ikuti salah satu daripada laluan wain pandu sendiri atau reka laluan anda sendiri dari dewan tong-tong wain dan bilik wain bawah tanah. Pelajari petua pakar dalam merasa wain dengan mengikuti lawatan makanan mewah dan wain. Anda juga boleh melawat ladang wain dengan kereta kuda Clydesdale, Chevrolet convertible klasik atau limosin lengkap dengan pemandu. Untuk suasana romantik sepenuhnya, mulakan hari anda dengan menaiki belon udara panas pada waktu subuh, menyusuri hutan, ladang dan kawasan diliputi pokok wain sebelum bersarapan pagi sambil menikmati champagne.
Kehidupan di Yarra Valley tak ubah bagaikan waktu makan tengah hari yang panjang. Bangun tidur dan nikmati sarapan barbeku tengah hari, hidangan keju atau nikmati pasangan makanan yang tepat, minum wain sambil menikmati pemandangan di restoran ladang wain yang banyak mendapat pujian. Pada bulan April, chef terkemuka dari lebih 20 ladang wain mengadakan jamuan yang diiringi dengan muzik secara live di Yarra Valley Grape Grazing Festival. Kawasan ini terkenal dengan hasil makanan yang sedap – termasuk salmon air tawar, ikan trout serta kaviar, aiskrim, kacang hazel dan berangan, buah-buahan organik dan sayur-sayuran serta juga keju buatan tangan, pasta dan jeruk. Penuhi bakul berkelah anda dengan pelbagai makanan lazat sepanjang perjalanan pandu sendiri Yarra Valley Regional Food Trail atau di pelbagai pasar makanan segar yang tersedia.
Dengan bakul berkelah anda yang penuh, teruskan ke Dandenong Ranges, di mana terdapat kampung di puncak bukit, taman dipenuhi bunga dan hutan bagaikan cerita dongeng. Bentangkan alas di sebelah pokok daffodil yang mekar berkembang, rododendron dan azalea di National Rhododendron Gardens. Dengar siulan burung Bell atau lihat Lyrebird di sebalik rimbunan paku pakis dan hutan pokok mountain ash di Dandenong Ranges National Park, di mana laluan berjalan dan basikal merentasi pemandangan yang menakjubkan. Terokai Sherbrooke Forest, mendaki ke Olinda Falls atau cabar diri anda di Kokoda Track Memorial Walk. Selepas itu, nikmati teh Devonshire dan membeli belah untuk barangan antik dan seni di Olinda, Mt Dandenong dan perkampungan Sassafras. Atau naiki keretapi stim tertua di Australia yang menuju ke timur melalui hutan dari Belgrave ke Emerald Lake dan Gembrook.
Yarra Vallu mempunyai banyak lagi tarikan. Saksikan arca seramik figura Aboriginal Dreamtime di William Ricketts Sanctuary. Kenali kehidupan liar secara dekat di Healesville Sanctuary atau gabungkan ciri-ciri terapeutik spa dan wain di spa siang Yarra Glen. Panjangkan perjalanan anda dengan bermalam semalaman atau beberapa hari di penginapan butik Yarra Valley. Menginaplah di kotej yang romantik dan diselubungi kabus di Dandenong Ranges atau tinggal di hotel asas atau mewah berhampiran dengan ladang wain. Walau di mana jua anda menginap, anda pasti akan berasa mendapat rehat yang secukupnya.