Stadium dan Tempat Pertandingan di Australia

MCG, Melbourne, VIC. © Tourism Victoria

Stadium dan Tempat Pertandingan di Australia

Dari lapangan sukan Melbourne Cricket Ground yang dimuliakan hingga WACA yang bersejarah, stadium sukan Australia memainkan peranan yang begitu penting dalam membentuk kebanggaan negara kami.

Keghairahan kami terhadap sukan kriket, tenis, ragbi Australian Rules Football, Rugby League, Rugby Union dan bola sepak memang terkenal di serata dunia. Sepanjang tahun anda akan dapat melihat beberapa atlet paling elit di dunia bertarung di tempat acara sukan di seluruh negara ini.

Saksikan tempat Sir Donald Bradman mendapat mata tertinggi dalam kriket Test; atau lapangan padang bersejarah kejohanan Piala Dunia Ragbi. Saksikan permainan ‘Aussie Rules’ dan sertai para penduduk tempatan bersorak bangga memberikan semangat kepada pasukan masing-masing menuju kemenangan. Jadilah sebahagian khalayak konsert yang besar!

Kebanyakan tempat kejohanan menawarkan lawatan di balik tabir yang mana anda dapat melihat sesetengah legenda sukan dan sejarah sukan Australia yang paling hebat menjadi benar-benar hidup.

Jadi bawalah kayu pemukul, bola atau reket anda dan mari saksikan mengapa stadium serta arena Australia amat disayangi oleh semua rakyat Australia.

Etihad Stadium (juga dikenali sebagai Docklands Stadium) terletak di pusat kawasan Docklands di Melbourne, yang hanya beberapa minit jauhnya dari pusat bandar. Dengan keupayaan untuk menempatkan sehingga 55,000 orang, ia merupakan salah satu tempat kejohanan sukan dan hiburan pelbagai guna yang terulung di Australia. Ia juga merupakan salah satu tempat kejohanan sukan dan hiburan dengan teknologi yang paling maju di dunia. Etihad Stadium menyediakan permukaan permainan berumput semula jadi dengan jumlah kawasan 19,000m persegi.

ANZ Stadium (juga dikenali sebagai Stadium Australia) merupakan stadium pelbagai guna yang terletak di kawasan Sydney Olympic Park di Homebush Bay. Dibina khas untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Sydney 2000, semenjak pembukaannya pada tahun 1999, ANZ Stadium telah menjadi tempat bagi peristiwa sukan yang terbesar di Australia. Dari Upacara Pembukaan dan Penutupan Sukan Olimpik Sydney 2000 yang luar biasa, hinggalah gol kemenangan sewaktu Piala Dunia Ragbi yang tidak dapat dilupakan, ANZ Stadium merupakan tempat istimewa bagi para peminat sukan Australia.

Suncorp Stadium Brisbane, yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘The Cauldron’, terkenal sebagai kemudahan sukan segi empat tepat yang ulung di Australia. Tempat dengan muatan 53,000 orang ini menjadi tuan rumah kepada Rugby Union, Rugby League, Bola Sepak dan konsert tempatan serta antarabangsa. Terletak hanya beberapa minit perjalanan dari pusat bandar di pinggir bandar Milton di Brisbane, tempat sukan yang terkini dan bertaraf dunia ini menjadi kebanggaan penduduk Queensland dan dianggap sebagai salah satu katedral sukan bagi negeri dan bandar ini. Lebih daripada 1 juta orang menghadiri acara di Suncorp Stadium setiap tahun.

Rod Laver Arena terletak di Melbourne Park dalam kawasan sukan Melbourne and Olympic Parks, yang juga termasuk Melbourne Cricket Ground, Hisense Arena, National Tennis Centre dan Olympic Park. Dibina pada tahun 1988 sebagai sebahagian kompleks asal National Tennis Centre, arena ini merupakan kemegahan utama kejohanan tenis Australian Open Grand Slam dan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan dan hiburan, seperti perlumbaan motosikal super-cross, kejohanan renang dan konsert muzik.

The WACA, yang agak terlindung di pinggir bandar East Perth, telah menjadi kampung halaman sukan kriket di Australia Barat semenjak awal tahun 1890-an. WACA merupakan parap pemilik dan pengendalinya, Western Australian Cricket Association. Sepanjang sejarahnya, tempat ini telah digunakan untuk pelbagai sukan lain, termasuk karnival olahraga, Australian Rules Football, besbol, bola sepak, Rugby League, Rugby Union dan International Rules Football di samping konsert muzik rock yang besar.

Allianz Stadium (dahulunya dikenali sebagai Sydney Football Stadium) ialah salah satu tempat berlangsungnya acara sukan dan hiburan yang utama di Australia. Terletak bersebelahan dengan Sydney Cricket Ground di Moore Park, Allianz Stadium menjadi tuan rumah kepada kejohanan Rugby League, Rugby Union, perlawanan bola sepak dan konsert. Allianz Stadium telah dibina di tapak Sydney Sports Ground yang lama. Siap dibina pada tahun 1988, ia merupakan projek besar Ulang Tahun ke-200 Australia dan ia terkenal kerana strukturnya menyerupai ombak yang direka bentuk khas untuk membawa para penonton hampir dengan garisan tepi padang bola sepak.

Melbourne Cricket Ground (MCG) terletak tidak jauh dari pusat bandar Melbourne di Melbourne Sports Precinct di Yarra Park, yang juga termasuk Rod Laver Arena, Hisense Arena dan AAMI Park. Dengan keupayaan untuk menempatkan sehingga 100,000 orang, Melbourne Cricket Ground ialah stadium terbesar di Australia, stadium kesepuluh terbesar di dunia dan merupakan stadium terbesar di dunia untuk perlawanan kriket.

Sydney Cricket Ground (SCG) merupakan salah satu tempat perlawanan sukan Sydney yang paling bersejarah dan popular. Terletak bersebelahan dengan Allianz Stadium (Stadium Ragbi Sydney) di Moore Park, ia ialah tempat utama bagi perlawanan kriket dan Australian Rules Football. Sydney Cricket Ground pertama sekali dibuka pada tahun 1886 dan sejak itu telah berkembang menjadi stadium hebat seperti pada hari ini, dengan menempatkan sehingga 48,000 orang. Sebelum Allianz Stadium dibina bersebelahan, SCG juga merupakan tempat perlawanan utama bagi kejohanan Rugby League di Sydney dan perlawanan utama peringkat akhir diadakan di sini selama beberapa tahun lamanya. Ia juga menampilkan sejarah kesatuan ragbi, bola sepak, besbol dan lumba basikal yang mengagumkan.

Adelaide Oval terletak di antara Adelaide dan North Adelaide, kurang daripada dua kilometer jauhnya dari pusat bandar. Lapangan ini lebih kerap digunakan untuk permainan kriket dan Australian Rules Football, tetapi juga menjadi tuan rumah bagi permainan Rugby League, Rugby League dan Bola Sepak, di samping persembahan dan konsert yang besar-besaran. Sekitar 16 jenis sukan pernah dimainkan pada masa-masa berlainan di Adelaide Oval, termasuk memanah, olahraga, besbol, lumba basikal, ragbi gridiron, permainan tanah tinggi, hoki, lacrosse, tenis, dan permainan lempar relang. Ini juga merupakan tempat di mana dua perlawanan kejohanan Rugby World Cup 2003 yang bersejarah itu berlangsung.

Brisbane Cricket Ground yang biasanya dipanggil ‘The Gabba’ merupakan antara ikon utama Brisbane. The Gabba yang dinamakan sempena nama pinggir bandar Woolloongabba, tempat ia terletak, berjarak hanya 1 kilometer dari pusat bandar Brisbane. Semenjak bertahun-tahun lamanya, The Gabba telah menjadi tuan rumah bagi kejohanan kriket, olahraga, Australian Rules Football, besbol, lumba basikal, Rugby League, Rugby Union, bola sepak dan perlumbaan kuda padi serta anjing greyhound, di samping menjadi pentas bagi banyak konsert antarabangsa.

Manuka Oval di Canberra yang terletak di pinggir bandar bernama Griffith bersebelahan dengan kawasan perniagaan Manuka; ialah arena ulung bagi acara kriket dan ragbi Australian Rules Football (AFL) di Australian Capital Territory. Manuka Oval mempunyai sejarah yang kaya dan pelbagai, bermula semenjak tahun 1920-an, apabila Manuka Circle Park hanya merupakan sebuah padang terbuka. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan bandar Canberra pada tahun-tahun awalnya. Sejarahnya dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk perlawanan tenis, ujian anjing gembala, karnival olahraga dan perayaan ketenteraan.

Canberra Stadium ialah tempat utama bagi perlawanan kejohanan Rugby League dan Rugby Union di Wilayah Ibu Negara Australia. Stadium ini terletak di pinggir bandar Bruce, yang dinamakan sempena Stanley Bruce, Perdana Menteri Australia yang pertama dari tahun 1923 hingga tahun 1929. Canberra Stadium pada asalnya dibina pada tahun 1977 untuk kejohanan Pacific Conference Games. Ia merupakan tempat berlangsungnya kejohanan olahraga IAAF World Cup ke-4 pada tahun 1985, apabila rekod dunia yang masih dipegang hingga sekarang bagi acara larian 400m wanita telah dicatatkan oleh Marita Koch dari Jerman Timur.

Flemington Racecourse (yang pada asalnya dipanggil Melbourne Racecourse) ialah balapan lumba kuda metropolitan tertua di Australia. Ia digunakan pertama kali sebagai balapan lumba kuda pada tahun 1840, apabila kota Melbourne yang pada masa itu hanya berusia lima tahun. Dengan pemandangan latar langit bandar Melbourne, tapak yang tersenarai dalam Warisan Kebangsaan ini juga menampilkan taman mawar awam yang terbesar di Hemisfera Selatan. Flemington Racecourse memang terkenal di serata dunia sebagai tempat berlangsungnya kejohanan Melbourne Cup semenjak kali pertama ia dijalankan pada tahun 1861.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia