Budaya Australia

Budaya Australia

Kultur

Budaya Australia berpaksikan kisah pejuang, bushranger dan para perajurit yang berani. Ia berkisar sekitar wira sukan, wira dalam pekerjaan dan penghijrah yang cekal. Ia mengenai peluang yang adil dan saksama, kehidupan dan aktiviti luar yang luas dan pelbagai, berbekalkan segenggam ironi. Hari ini Australia turut mentakrifkan dirinya melalui warisan Aboriginenya, gabungan budaya yang penuh bersemangat dan berwarna-warni, idea inovatif dan suasana seni yang berkembang maju.

Budaya Aborigine: tradisi yang kaya dan kekal abadi
Dreamtime merupakan suatu tempat suci dalam ‘waktu sebelum masa’ dunia ini tercipta. Menurut kepercayaan kaum Aborigine, semangat totem leluhur muncul dari bumi dan turun dari langit untuk menghidupkan sebuah alam yang gelap dan sunyi sepi. Mereka mencipta matahari, bulan dan bintang, menegakkan gunung-ganang, mengalirkan sungai, mencipta pepohon, lopak air dan bertukar menjadi bentuk manusia dan haiwan. Leluhur berupa semangat ini menghubungkan masa lampau ini dengan masa kini dan masa hadapan melalui semua aspek budaya Aborigine. Seni batu, kraf dan lukisan pada kulit kayu memberi kita imbasan kepada kisah-kisah Dreamtime, menandakan wilayah dan mencatatkan sejarah, manakala dendangan lagu pula menceritakan tentang perjalanan, melakarkan secara lisan kedudukan sumber air dan mercu tanda penting lain. Lirik-lirik khusus ini telah diperturunkan hampir tanpa diubah langsung selama sekurang-kurangnya 50,000 tahun, dan sering diiringi dengan kayu ketuk atau bunyi seperti degupan yang kuat daripada didgeridoo. Demikian juga dengan tarian tradisionalnya yang menzahirkan mitos penciptaan, menghidupkan semula perbuatan para wira Dreamtime, bahkan juga peristiwa bersejarah yang agak baru.

Mitos kolonial: pejuang, bushranger dan para perajurit yang berani
Warga Australia berpegang teguh pada prinsip yang mereka panggil mateship yang merangkumi semangat setia kawan dan ‘fair go’ yang bermaksud peluang saksama. Mereka juga suka menyokong pihak yang dianggap lebih lemah atau dalam dialek tempatan ‘battler’. Nilai-nilai ini diperturunkan daripada para banduan dan golongan kolonial awal yang telah berjuang mengharungi kesukaran di tanah baru yang di luar kebiasaan mereka, dan sering di bawah pentadbiran pihak berkuasa yang tidak adil. Bushranger yang paling terkenal di Australia, Ned Kelly telah mengadakan protes terhadap kemiskinan dan ketidakadilan sistem kelas British yang dibawa bersama-sama para banduan. Perjuangan wira yang tercela ini untuk 'keadilan dan kebebasan' dan ‘mereka yang tidak bersalah' telah diterima sebagai sebahagian daripada budaya negara dan menjadi inspirasi dalam banyak buku dan filem. Di kawasan emas zaman 1850an, mereka yang menggali emas ditonjolkan dalam berbagai cerita dan lagu sebagai wira romantik, samseng dan penjahat yang telah menghayati demokrasi. Peristiwa berdarah Kubu Eureka pada tahun 1854, menyaksikan para pelombong di Victoria bangkit menentang sistem perlesenan bersifat autoritarian, menjadi lambang kejayaan kesaksamaan sosial. Selanjutnya, semasa Perang Dunia Pertama, para perajurit ANZAC yang gagah berani telah berkhidmat di Gallipoli dan memberi pengertian baru pada istilah ‘Aussie yang gagah’.

Bahasa Inggeris Australia: bertutur ‘Strine’
Warga Australia mempunyai bahasa basahan yang unik, yang dipanggil ‘strine’ oleh ahli bahasa Alastair Morrison (bayangkan menyebut Australia sambil mengetapkan gigi anda untuk menghalang lalat daripada masuk) pada tahun 1966. Ia menggabungkan banyak loghat cockney dan Irish pada zaman awal kedatangan banduan dengan beberapa perkataan daripada bahasa Aborigine. Kami sering menyingkatkan perkataan dan kemudian menambah ‘o’ atau ‘ie’ pada penghujung kata, misalnya ‘bring your cossie to the barbie this arvo’ yang bermaksud, "bawa pakaian mandi anda ke barbeku petang ini'. Kami juga gemar menterbalikkan nama panggilan, seperti memanggil orang yang berambut merah ‘bluey’ yang bermaksud ‘kebiruan’, memanggil orang yang berambut gelap ‘snowy’ atau ‘salji’, dan memberi nama samaran ‘lofty’ yang bermaksud ‘si tinggi’ kepada orang yang bertubuh kecil. Kami cenderung mendatarkan vokal dan mengakhiri ayat dengan nada sedikit menaik.

Wira sukan: Kemegahan hijau dan emas - green and gold
Kegilaan warga Australia terhadap sukan bukan satu rahsia. Dengan lebih 120 organisasi sukan peringkat kebangsaan dan beribu-ribu di peringkat setempat, wilayah dan negeri, dianggarkan enam setengah juta orang di Australia telah berdaftar sebagai peserta sukan. Angka yang amat membanggakan bagi negara dengan penduduk hanya sekitar 21 juta orang! Sukan nombor satu yang ditonton di Australia ialah Bola Sepak Peraturan Australia (AFL) dengan tendangan tinggi dan loncatan seperti tarian balet, manakala kekuatan dan taktik serangan Liga Ragbi Nasional (NRL) pula disanjung tinggi di New South Wales dan Queensland. Pasukan Union Rugby nasional Australia, the Wallabies bermain dalam pertandingan antarabangsa serta dalam Piala Bledisloe, yang merupakan sebahagian daripada pertandingan Tiga Negara dengan Afrika Selatan. Australia adalah sebuah negara perenang dan bilangan pingat Olimpik yang dimenangi menjadi bukti prestasinya di kolam renang. Sepanjang musim panas, kita menonton pasukan kriket Australia bermain dengan memakai pakaian seragam serba putih dan pada bulan Januari pula, kita beralih saluran untuk menyaksikan pertandingan tenis Australia Terbuka. Pertandingan yang diadakan di Melbourne ini menarik lebih ramai pengunjung ke Australia berbanding mana-mana acara sukan yang lain. Sukan bola sepak semakin berkembang, kami menarik peluncur air bertaraf dunia untuk Pertandingan luncur air, Bells Beach Surf Classic dan pada hari Boxing, iaitu sehari selepas hari Krismas, ramai yang berkumpul untuk menyaksikan bot-bot berlayar dari Sydney Harbour untuk perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart. Pada hari Selasa pertama dalam bulan November, seluruh negara seolah-olah terhenti untuk menyaksikan perlumbaan kuda yang terkenal, Piala Melbourne, manakala pada bulan Mac pula, ramai yang berhimpun di Melbourne untuk Formula One Grand Prix. Senarai sukan yang kami gemari amat panjang, dan jika anda berasa sangsi mengenai peraturannya, tanyalah salah seorang penggemar yang paling fanatik.

Gaya hidup luar bangunan: pantai dan barbeku
Dengan lebih daripada 80 peratus penduduk Australia tinggal dalam lingkungan 50 kilometer dari kawasan pantai, kehidupan pantai telah menjadi sebati dalam cara hidup kami yang penuh santai. Dari latihan kelab luncur air awal pagi Sabtu untuk anak-anak kecil hinggalah ke permainan kriket selepas menikmati barbeku, kami cintakan kehidupan di pantai-pantai berpasir kami. Kami berebut-rebut mendapatkan ruang di pantai-pantai bandaraya yang sesak, berehat di tempat percutian yang popular dan memandu ke pantai rahsia yang terpencil di taman-taman negara jalur pantai kami. Kami ke pantai untuk menikmati cahaya mentari dan meluncur air atau berlayar, atau para layar, memancing, bersnorkel, menyelam skuba dan meredah pantai. Di sinilah tempatnya kami bersosial dan bersukan, berehat dan menikmati saat-saat romantis. Pantai juga tempat kami mengadakan perayaan. Pada Malam Tahun Baru, mereka yang berpesta menari di pantai dan menonton bunga api di pantai Manly dan Bondi di Sydney dan Glenelg di Adelaide. Banyak pantai menjadi hos kepada upacara kerakyatan pada Hari Australia dan pada Hari Krismas, sehingga 40,000 pengunjung dari serata dunia berhimpun di Pantai Bondi dengan memakai topi Santa dan pakaian mandi. Pantai paling terkenal di Australia - Bondi dan Manly di Sydney, St Kilda di Melbourne, Surfers Paradise di Gold Coast Queensland, Cottesloe di Perth dan Glenelg di Adelaide – menarik orang tempatan dan juga pelancong antarabangsa.

Faham pelbagai budaya: pelbagai makanan, perayaan dan kepercayaan
Sejak 1945, lebih daripada enam juta individu dari seluruh dunia telah datang untuk tinggal di Australia. Hari ini, lebih 20 peratus daripada warga Australia adalah kelahiran luar negara dan lebih 40 peratus berasal daripada budaya campuran. Di rumah, kami bertutur 226 bahasa – selepas Bahasa Inggeris, bahasa paling popular adalah Itali, Greek, Kantonis dan Arab. Kepelbagaian budaya kami yang kaya dicerminkan dalam makanan kami, yang meliputi kebanyakan kusin dunia serta hidangan fusion atau pelakuran hasil gabungan inovatif dari beberapa negara Anda akan mendapati cita rasa Eropah, rempah ratus Asia yang mempesona, Afrika, dan Timur Tengah, di samping bush tucker yang berasal dari kawasan pedalaman di gerai-gerai tepi jalan hinggalah ke restoran lima bintang. Nikmati makanan Thai yang boleh dibungkus pulang, pasta yang cukup enak dan sempurna di restoran Itali, rasai tapas di restoran Sepanyol dan jamulah selera dengan ladu atau dumpling di Chinatown. Anda juga boleh menghayati wadah tumpuan budaya dalam berbagai-bagai pesta yang berwarna-warni. Saksikan samba dan capoeira dalam pesta Amerika Selatan Brazil di Bondi, menari di belakang perarakan naga dalam perayaan Tahun Baru Cina atau bersiar-siar di jalan-jalan yang berubah menjadi medan yang hidup dan bersemangat semasa perayaan Itali tahunan. Sebagai sebuah negara, kami menghayati pelbagai kepercayaan keagamaan, dan ini boleh dilihat melalui gereja Katolik dan Anglican, kuil Hindu, Sikh dan Buddha, masjid dan synagogue yang berderetan di sepanjang jalan-jalan kami.

Inovasi Australia: dari Hills Hoist ke Penisilin
Kedudukan geografi Australia yang unik serta yang agak terpencil menyediakan suasana yang sesuai untuk memupuk idea-idea baru. Pada tahun 1879, warga Australia telah membangunkan kaedah untuk membuat ais tiruan, dan dengan itu membolehkannya mengeksport daging ke Great Britain dalam kapal-kapal muatan sejuk. Pada tahun 1906, gelendong penyelamat luncur air telah direka supaya penyelamat nyawa dapat mencapai perenang yang berada dalam bahaya menggunakan tali yang disambungkan pada ves mereka. Pada tahun 1929, Alfred Traeger membina radio yang dikuasai pedal sebagai alat komunikasi untuk digunakan oleh Perkhidmatan Doktor Terbang Diraja atau the Royal Flying Doctor Service.

Warga Australia jugalah yang bertanggungjawab dalam penciptaan pad nota (1902), aspirin (1915), perentak (1926), penisilin (1940), penyidai pakaian Hills Hoist (1946), picagari pakai buang plastik (1949), tong wain (1965), telinga bionik (1978), penyimbah tandas dwi simbah (1980), teknologi anti-pemalsuan bagi wang kertas (1992) dan kanta lekap jangka panjang (1999).

Lama sebelum penjajahan Eropah, kaum Aborigine sudah pun menerajui dunia. Mereka telah mencipta boomerang yang aerodinamik bentuknya, di samping sejenis pembaling lembing yang dipanggil woomera. Mereka juga masyarakat pertama yang mengasah mata pada alat pemotong batu dan mereka juga golongan pertama yang menggunakan alat batu untuk mengisar bijirin, alat yang kita guna setiap hari yang dibangunkan oleh masyarakat lain lama selepas ia dicipta oleh kaum Aborigine.

Dambaan budaya: teater, filem, buku dan seni visual
Dari teater ke sastera, warga Australia amat mencintai seni. Kami pergi menonton wayang beramai-ramai dan kehadiran kami di galeri-galeri dan seni persembahan hampir dua kali ganda berbanding kesemua jenis sukan bola sepak. Bandaraya kami menjadi tuan rumah bagi pelbagai perayaan dan pesta budaya yang terkini, dan menawarkan persembahan muzik, teater dan tarian serta pameran seni pada setiap hari dalam seminggu. Saksikan persembahan tarian tradisional Aborigine oleh Bangarra Dance Theatre, sertai pesta muzik antarabangsa WOMADelaide di Adelaide dan hayati teater, balet, opera dan lukisan di pusat kebudayaan yang besar di South Bank, Brisbane. Di bandar yang lebih kecil, anda boleh menyaksikan persembahan oleh para pemuzik tempatan serta seni pertukangan tangan tempatan.