Adelaide Oval, Australia Selatan

Adelaide Oval, Australia Selatan.

Adelaide Oval, Australia Selatan

Adelaide Oval terletak di antara Adelaide dan North Adelaide, kurang daripada dua kilometer jauhnya dari pusat bandar. Lapangan ini lebih kerap digunakan untuk permainan kriket dan Australian Rules Football, tetapi juga menjadi tuan rumah bagi permainan Rugby League, Rugby League dan Bola Sepak, di samping persembahan dan konsert yang besar-besaran.

Sekitar 16 jenis sukan pernah dimainkan pada masa-masa berlainan di Adelaide Oval, termasuk memanah, olahraga, besbol, lumba basikal, ragbi gridiron, permainan tanah tinggi, hoki, lacrosse, tenis, dan permainan lempar relang. Ini juga merupakan tempat di mana dua perlawanan kejohanan Rugby World Cup 2003 yang bersejarah itu berlangsung.

Sejarah Adelaide Oval yang kaya bermula pada tahun 1871, apabila persatuan South Australian Cricket Association ditubuhkan. Perlawanan Kriket Test yang pertama telah dimainkan di tempat ini pada tahun 1884 antara Australia dan England.

Adelaide Oval telah dinamakan sebagai salah satu lapangan Kriket Test yang paling indah di dunia, dengan pemandangan utara yang menampilkan St Peter’s Cathedral yang tegak menjulang di belakang papan mata zaman Edward dan pepohonan buah tin Moreton Bay gergasi yang telah ditanam dalam tahun 1890-an. Timbunan berumput di setiap hujung yang dipanggil ‘The Hills’, telah dicipta pada tahun 1898 daripada tanah yang dibawa dari tebing Torrens River.

Khalayak maksimum dalam permainan kriket di Adelaide Oval ialah 50,962 orang, semasa Bodyline Test dalam tahun 1932. Semasa perlawanan inilah Sir Donald Bradman mendapat mata yang paling tinggi dalam Kriket Test di lapangan ini.

Hari ini, Adelaide Oval menjadi tuan rumah kepada beberapa acara paling hebat dalam kalendar kriket, termasuk acara tahunan Australia Day One Day International pada 26 Januari; dan salah satu daripada lima perlawanan Test Ashes melawan England setiap empat tahun, yang biasanya diadakan pada awal bulan Disember.

Khalayak terbesar yang pernah dicatatkan sehingga kini adalah semasa 1965 SANFL Grand Final antara kelab Port Adelaide dan Sturt Football Clubs, apabila lebih daripada 62,000 orang peminat memenuhi stadium ini dan bersorak memberi semangat kepada pasukan masing-masing.

Adelaide Oval juga telah menjadi tuan rumah kepada konsert-konsert besar, termasuk sesetengah penyanyi terkenal seperti KISS; Madonna; Paul McCartney; mendiang Michael Jackson; Billy Joel dan Elton John. Pada tahun 1978, David Bowie mengadakan konsertnya yang pertama di Hemisfera Selatan. Ia juga merupakan konsert besar-besaran pertama yang diadakan di luar bangunan bagi penyanyi ini.

Pembangunan semula Adelaide Oval yang besar-besaran bermula pada tahun 2011, yang akan meningkatkan keupayaan stadium untuk menampung sehingga 53,500 orang. Suasana di dalam stadium baru ini memang sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dinikmati. Dengan sistem audio bermutu tinggi dan tiga skrin gergasi untuk tayangan semula di sekeliling lapangan, para peminat tidak akan ketinggalan mana-mana aksi penyanyi kegemaran mereka. Pusat kriket dalam bangunan baru bertaraf antarabangsa juga akan ditempatkan di dalam lingkungan kompleks.

Di samping pasukan South Australian Redbacks dan Adelaide Strikers; ia akan menjadi kampung halaman kedua-dua kelab AFL Adelaide dan Port Adelaide mulai tahun 2014. Lawatan ke Adelaide Oval dijadualkan akan diteruskan mulai bulan November 2013.

Terletak di tengah-tengah War Memorial Drive dan terlindung di kawasan taman bandar utara bernama Pennington Gardens dan Creswell Gardens, Adelaide Oval terletak dalam jarak berjalan kaki dari pusat bandar Adelaide. Ia juga dapat dikunjungi menggunakan semua jenis kenderaan awam.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australi