Allianz Stadium, Sydney

Allianz Stadium, Sydney, NSW. © SCG Trust & Hamilton Lund

Allianz Stadium, Sydney

Allianz Stadium (dahulunya dikenali sebagai Sydney Football Stadium) ialah salah satu tempat berlangsungnya acara sukan dan hiburan yang utama di Australia. Terletak bersebelahan dengan Sydney Cricket Ground di Moore Park, Allianz Stadium menjadi tuan rumah kepada kejohanan Rugby League, Rugby Union, perlawanan bola sepak dan konsert.

Allianz Stadium telah dibina di tapak Sydney Sports Ground yang lama. Siap dibina pada tahun 1988, ia merupakan projek besar Ulang Tahun ke-200 Australia dan ia terkenal kerana strukturnya menyerupai ombak yang direka bentuk khas untuk membawa para penonton hampir dengan garisan tepi padang bola sepak.

Acara utama yang diadakan di stadium yang dapat menempatkan 45,500 orang ini termasuk perlawanan Football World Cup Qualifiers, NRL Grand Finals dan International Rugby Union. Bilangan khalayak tertinggi bagi acara sukan di Allianz Stadium setakat ini ialah 43,967 orang bagi perlawanan peringkat kelayakan Piala Dunia antara Australia dan Argentina pada tahun 1993.

Konsert besar oleh Barbra Streisand, U2, Red Hot Chilli Peppers, Robbie Williams, Edinburgh Military Tattoo, malah opera yang terkenal seperti Aida dan Turandot pernah diadakan di tempat ini juga.

Sertai lawatan di sebalik tabir ke Allianz Stadium dan Sydney Cricket Ground untuk menyaksikan sejarah sukan menjadi hidup. Rugby League Museum merupakan penghargaan hebat terhadap sejarah permainan ini di mana terdapat khazanah memorabilia dan artifak yang tidak terkira harganya daripada Australian Rugby League Collection. Rugby League Museum ditempatkan di dalam Rugby League Central di Moore Park dan dibuka kepada orang awam pada masa-masa yang berlainan pada hujung minggu, bersama dengan permainan bermusim NRL Rugby League di Allianz Stadium.

Centennial Parklands mengelilingi Allianz Stadium yang meliputi tiga buah taman: Centennial Park, Moore Park dan Queens Park.

Moore Park sendiri mempunyai pelbagai pilihan santai. Ia mempunyai gelanggang tenis dan gelanggang bola jaring, ES Marks Athletics Field dan padang golf awam 18 lubang serta lapangan sasar. ia juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan sarkas dan acara luar bangunan yang lain. Moore Park Entertainment Quarter mempunyai banyak bar, restoran, panggung wayang dan kedai untuk anda menghabiskan masa tengah hari anda.

Centennial Park ialah taman agung yang mengikut tradisi zaman Victoria dengan bercirikan taman formal, tasik, tempat acara yang agung, patung, bangunan bersejarah dan padang sukan. Centennial Parklands Equestrian Centre adalah salah satu taman bandar dalaman di dunia yang menawarkan kemudahan menunggang kuda. Kawasan hijau taman yang luas ini memang amat sesuai untuk berkelah. Sebilangan lorong basikal dan laluan juga membuatkan tempat ini sesuai untuk aktiviti menyewa dan menunggang basikal ke sana sini.

Sepanjang tahun anda boleh menikmati pelbagai lawatan merentasi taman berpandukan renjer taman yang akan menyerlahkan bangunan bersejarah dan hidupan liar yang boleh didapati di sini. Dalam musim panas, aktiviti yang digemari para penduduk tempatan ialah panggung wayang terbuka di bawah kerlipan bintang, Moonlight Cinema.

Allianz Stadium terletak kira-kira 4km dari pusat bandar Sydney. Untuk pergi ke Allianz Stadium, naik kereta api ke Central Station, kemudian bas atau berjalan kaki ke Moore Park. Bas juga bertolak dari Circular Quay, Martin Place dan Bondi Junction. Pada hari-hari yang terdapat acara, bas ulang-alik ekspres berkhidmat setiap lima minit dari Central Station ke Moore Park.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia