ANZ Stadium, Sydney

ANZ Stadium, Sydney, NSW.

ANZ Stadium, Sydney

ANZ Stadium (juga dikenali sebagai Stadium Australia) merupakan stadium pelbagai guna yang terletak di kawasan Sydney Olympic Park di Homebush Bay. Dibina khas untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Sydney 2000, semenjak pembukaannya pada tahun 1999, ANZ Stadium telah menjadi tempat bagi peristiwa sukan yang terbesar di Australia. Dari Upacara Pembukaan dan Penutupan Sukan Olimpik Sydney 2000 yang luar biasa, hinggalah gol kemenangan sewaktu Piala Dunia Ragbi yang tidak dapat dilupakan, ANZ Stadium merupakan tempat istimewa bagi para peminat sukan Australia.

ANZ Stadium dibuka dengan keupayaan untuk memuatkan lebih daripada 110,000 orang, yang menjadikannya stadium Olimpik terbesar dalam sejarah. Pada masa itu, ia merupakan stadium terbesar di Australia. Berikutan Sukan Olimpik Sydney, stadium ini telah dibentuk semula untuk menampung kira-kira 83,000 orang.

Ia merupakan stadium paling hebat dan maju dari segi teknologi di seluruh dunia. Reka bentuk ANZ Stadium yang unik bermakna ia boleh ditatarajah dari bujur menjadi segi empat tepat dalam hanya 12 jam, yang menjadikannya satu-satunya stadium di dunia yang direka bentuk untuk menjadi tuan rumah kepada lima kod kesukanan profesional - liga ragbi, kesatuan ragbi, Australian Rules Football, kriket dan bola sepak. Stadium ini juga telah menjadi tuan rumah kepada persembahan hiburan bintang-bintang ternama seluruh dunia termasuk U2, Rolling Stones, Andre Rieu dan AC/DC.

Explore Tour akan membawa anda ke belakang tabir dan membolehkan anda mengikuti jejak langkah wira-wira sukan ini. Alami kembali keseronokan kemenangan dan kesedihan kekalahan Sukan Olimpik yang hebat dahulu dan daki tangga ke pentas Olimpik untuk mendapatkan gambar kenang-kenangan yang terbaik. Terokai jauh ke bawah ANZ Stadium ke dalam bilik persalinan dan alami sendiri tempat pasukan-pasukan bersedia untuk bertarung dalam perlawanan akhir Bledisloe Cup dan Rugby League, serta saksikan tempat bintang-bintang Australian Football dan State of Origin menyediakan diri mereka untuk perlawanan.

ANZ Stadium Gantry Tour akan membawa anda ke atas tabir juga. Gantri ini ialah laluan jejaring keluli yang terdapat di atas arena ANZ Stadium. Anda akan kagum dengan pandangan dari udara sewaktu anda mengikuti laluan gantri yang hanya beberapa meter di bawah bumbung stadium.

Lawati Sydney Olympic Park Aquatic Centre yang berdekatan dan berenanglah di dalam kolam renang penuh dengan juara. Aquatic Centre mempunyai empat kolam renang dalaman hangat, gelungsur air gergasi, spa, sauna, bilik stim dan kelab kesihatan, semuanya dikelilingi pepohonan palma yang subur dan mozek berwarna-warni. Tempahlah lawatan ini dan alami kembali renangan pingat emas Australia sambil mempelajari rahsia yang menjadikan kolam renang antara yang terbaik di dunia.

Bicentennial Park yang mengelilingi Sydney Olympic Park ialah tempat yang menyenangkan untuk berkelah atau bersiar-siar. Sewa basikal di kedai basikal di sana dan tunggangnya menelusuri laluan berkongsi, atau berehat di bawah air pancut atau pancuran air di kawasan mainan air.

ANZ Stadium di Sydney Olympic Park, 17km ke barat dari pusat bandar Sydney dan 8km dari Parramatta. Anda boleh menaiki kereta api ke Olympic Park Station dari Central Station; atau menaiki salah satu feri Sydney yang terkenal ke Sydney Olympic Park Wharf pada perkhidmatan Parramatta River dari Circular Quay.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia