Canberra Stadium, ACT

Canberra Stadium, Canberra, ACT. © Australian Capital Tourism

Canberra Stadium, ACT

Canberra Stadium ialah tempat utama bagi perlawanan kejohanan Rugby League dan Rugby Union di Wilayah Ibu Negara Australia. Stadium ini terletak di pinggir bandar Bruce, yang dinamakan sempena Stanley Bruce, Perdana Menteri Australia yang pertama dari tahun 1923 hingga tahun 1929.

Canberra Stadium pada asalnya dibina pada tahun 1977 untuk kejohanan Pacific Conference Games. Ia merupakan tempat berlangsungnya kejohanan olahraga IAAF World Cup ke-4 pada tahun 1985, apabila rekod dunia yang masih dipegang hingga sekarang bagi acara larian 400m wanita telah dicatatkan oleh Marita Koch dari Jerman Timur.

Balapan atlet kemudiannya dibuang agar ragbi boleh dimainkan di lapangan. Pada tahun 1990-an, pasukan Canberra Raiders Rugby League mula memainkan permainan tuan rumah di sini. Perlawanan pertama Australian Rules Football (AFL) telah dimainkan pada tahun 1995. Pada tahun 1990-an, stadium ini juga menjadi tuan rumah kepada perlawanan International Rules, suatu gabungan ragbi Gaelic dan Australian Rules Football yang dimainkan antara Ireland dan Australia.

Pengubahsuaian lebih lanjut berlaku pada tahun 1997 dalam persiapan untuk perlawanan bola sepak menuju Sukan Olimpik Sydney 2000. Permukaan permainan telah ditukar daripada bujur menjadi segi empat tepat, yang membawa penonton lebih dekat kepada aksi permainan. Satu-satunya keburukan pengubahsuaian tersebut ialah stadium ini tidak lagi dapat menjadi tuan rumah kepada perlawanan AFL, yang dimainkan di padang bujur.

Pada hari ini, Canberra Stadium dapat menempatkan kira-kira 25,000 orang dengan dua buah granstan besar yang utama di kedua-dua belah padang permainan. Granstan besar yang utama dinamakan sempena nama pemain Canberra Raiders dan Australian Rugby League, Mal Meninga. Patung seorang lagi juara Canberra Raiders dan Australian Rugby League, Laurie Daley, menghiasi pintu masuk granstan besar yang utama.

Granstan besar yang satu lagi dinamakan granstan Gregan-Larkham, sempena nama juara Australian Rugby Union George Gregan dan Stephen Larkham, kedua-duanya menamatkan kerjaya antarabangsa mereka selepas kejohanan Rugby World Cup tahun 2007 sebagai dua orang pemain yang paling banyak memenangi anugerah pada masa itu.

Canberra Stadium terletak bersebelahan Australian Institute of Sport. Sertai lawatan di sebalik tabir dan anda mungkin dapat menyaksikan beberapa atlet Australia yang terbaik berlatih. Lawatan balik hari dipandu oleh atlet elit, jadi anda mungkin akan mengetahui sedikit rahsia orang dalam tentang sebab Australia menerajui dunia dalam bidang sukan.

Seisi keluarga boleh menikmati keseronokan di dunia mini di Cockington Green Gardens, salah satu tarikan paling menarik di Canberra. Bangunan mini dengan perincian yang begitu halus berlatarkan taman-taman berlandskap yang indah menampilkan lebih daripada 30 negara yang berbeza. Jangan ketinggalan menaiki kereta api wap mini di sini.

Questacon - The National Science and Technology Centre akan menarik perhatian anda berjam-jam dengan pertunjukan sains, lebih daripada 200 bahan pameran interaktif dan galeri bertema yang begitu mengagumkan.

Tarikan utama Canberra yang lain termasuk Parliament House; National Museum of Australia; National Gallery Of Australia dan Australian War Memorial.

Canberra Stadium mudah dilawati dengan menaiki kenderaan awam. Tataletak bandar Canberra yang padat juga bermakna tempat tarikannya tidak jauh antara satu sama lain dan menaiki teksi ialah cara yang mudah untuk ke sana sini. Sebilangan laluan bas yang tetap juga berhenti di Canberra Stadium. Pada hari-hari apabila perlawanan penting dimainkan, bas carter juga beroperasi dengan percuma bagi pemegang tiket perlawanan.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia