Etihad Stadium, Melbourne

Etihad Stadium, Melbourne, VIC.

Etihad Stadium, Melbourne

Etihad Stadium (juga dikenali sebagai Docklands Stadium) terletak di pusat kawasan Docklands di Melbourne, yang hanya beberapa minit jauhnya dari pusat bandar. Dengan keupayaan untuk menempatkan sehingga 55,000 orang, ia merupakan salah satu tempat kejohanan sukan dan hiburan pelbagai guna yang terulung di Australia. Ia juga merupakan salah satu tempat kejohanan sukan dan hiburan dengan teknologi yang paling maju di dunia.

Etihad Stadium menyediakan permukaan permainan berumput semula jadi dengan jumlah kawasan 19,000m persegi. Pada masa ini, arena ini terdiri daripada 17,600m persegi padang rumput semula jadi dan 1,400m persegi padang rumput sintetik pada keseluruhan arena.

Etihad Stadium dikenali kerana bumbungnya yang boleh sentut dan unik - terdapat hanya satu stadium seumpamanya dan yang terbesar di Hemisfera Selatan, menjadikannya paling sesuai untuk menonton acara sukan dalam semua musim. Kedudukan tempat duduk stadium yang menyerupai amfiteater Rome bermakna semua penonton dapat melihat aksi dari dekat, menghasilkan suasana yang termasyhur di kalangan peminat sukan.

Etihad Stadium menjadi tuan rumah kepada Australian Rules Football (AFL) atau ‘Aussie Rules’ pada setiap hujung minggu dalam musim sejuk dari bulan Mac hingga September. Melbourne merupakan tempat asal bagi kejohanan AFL dan pada hari-hari perlawanan anda akan boleh menyaksikan ramai penduduk tempatan memakai atau mengibarkan warna pasukan masing-masing dalam perjalanan mereka untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Etihad Stadium juga menjadi tuan rumah bagi perlawanan Bola Sepak, Rugby League dan Rugby Union. Bilangan khalayak yang tertinggi memenuhi Etihad Stadium untuk menyaksikan perlawanan Australia melawan British and Irish Lions Rugby Union yang diadakan pada tahun 2001 dan 2013. Ia juga menjadi tempat perlawanan kejohanan Rugby World Cup pada tahun 2003. Konsert rock dan persembahan para artis antarabangsa diadakan dengan kerap.

Sertai lawatan Etihad Stadium di sebalik tabir dan saksikan tempat sesetengah wira sukan Australia merancang permainan mereka. Dengar rahsia orang dalam dan alami perasaan teruja bintang sukan dan muzik antarabangsa ketika mereka menaiki pentas di arena.

Kawasan Docklands di Melbourne juga menampilkan pelbagai restoran, kafe, bar dan kedai-kedai yang hebat di sepanjang gigi airnya. Sertai lawatan berjalan kaki berpandu dan ketahui bagaimana kawasan itu suatu masa dahulu merupakan sumber makanan bagi kaum Orang Asli sebelum pendatang Eropah menetap di situ. Jadual perjalanan yang disesuaikan khas untuk anda boleh juga diatur untuk mengambil kira minat tertentu. Anda boleh juga menyewa basikal dan mengikuti Capital City Trail Melbourne; atau bersiar-siar dengan santainya menelusuri tebing Yarra River. Kawasan Southbank yang berdekatan menawarkan lebih banyak restoran berkualiti dan aktiviti membeli-belah serta kompleks Crown Casino.

Docklands Melbourne dan Etihad Stadium terletak begitu hampir dengan pusat bandar. Southern Cross Train Station (sebelum ini dikenali sebagai Spencer Street Station) terletak benar-benar di hadapan kawasan Docklands. Jarak berjalan kaki yang pendek melalui jambatan pejalan kaki Bourke Street dari Southern Cross Station akan membawa anda ke pintu masuk Etihad Stadium. Trem City Circle; bas ulang-alik Melbourne Visitor Shuttle; atau salah satu trem ikonik Melbourne yang disediakan percuma akan membawa anda terus ke hadapan pintu.

Kawasan Docklands juga dikelilingi air. Pemilik bot dari sekeliling Victoria, Australia dan seluruh dunia belayar ke Melbourne melalui kemudahan marina Docklands yang amat baik. Untuk perjalanan berpemandangan yang merehatkan, sewa teksi air atau sertai pelayaran waktu matahari tenggelam dan saksikan bandar Melbourne menjadi terang-benderang pada waktu malam.

Rancang Kunjungan Anda