Flemington Racecourse, Melbourne

Flemington Racecourse, Melbourne, VIC. © Tourism Victoria & Mark Chew

Flemington Racecourse, Melbourne

Flemington Racecourse (yang pada asalnya dipanggil Melbourne Racecourse) ialah balapan lumba kuda metropolitan tertua di Australia. Ia digunakan pertama kali sebagai balapan lumba kuda pada tahun 1840, apabila kota Melbourne yang pada masa itu hanya berusia lima tahun. Dengan pemandangan latar langit bandar Melbourne, tapak yang tersenarai dalam Warisan Kebangsaan ini juga menampilkan taman mawar awam yang terbesar di Hemisfera Selatan.

Flemington Racecourse memang terkenal di serata dunia sebagai tempat berlangsungnya kejohanan Melbourne Cup semenjak kali pertama ia dijalankan pada tahun 1861. Pada hari ini, Melbourne Cup Carnival merupakan pesta lumba kuda, fesyen dan keseronokan yang bermula pada bulan September dan berterusan hingga pertengahan bulan November.

Melbourne Cup Day yang diadakan pada hari Selasa pertama dalam bulan November, dijadikan cuti umum bagi bandar Melbourne sejak pertengahan tahun 1870-an dan diraikan di seluruh negara. Balapan lumba kuda boleh memuatkan lebih daripada 120,000 orang, tetapi setiap tahun kira-kira 400,000 peminat memenuhi tempat letak kereta dan ruang terbuka pada hari perlumbaan Melbourne Cup Day. Hari-hari perlumbaan Spring Carnival seperti Derby Day dan Oaks Day juga diadakan di Flemington Racecourse. Flemington menjadi tuan rumah kepada 23 perjumpaan lumba kuda sepanjang tahun.

Flemington Heritage Centre dan lawatan berjalan kaki berpandu menawarkan peluang untuk menyaksikan kehebatan wira serta acara yang membuatkan Melbourne Cup ‘perlumbaan yang menghentikan aktiviti di seluruh negara’ dan Flemington Racecourse adalah antara yang paling masyhur di seluruh dunia. Artifak berharga dari arkib Victorian Racing Club dan pengalaman multimedia yang dinamik menghidupkan drama dan keseronokan kejohanan lumba kuda.

Ketahuilah sejarah sukan di Melbourne Cup Walk of Fame. Terokai suasana di sebalik tabir di bilik-bilik joki dan pengelola, lawati kandang kuda dan kawasan lapangan tempat menaiki kuda serta alami pameran balapan lumba kuda yang terkini. Sertai 'keeper of the roses' di Flemington dan ketahui tentang berbagai-bagai jenis bunga ros di Flemington, yang mekar pada penghujung musim bunga, musim panas dan musim luruh.

Flemington bukan sahaja balapan lumba kuda utama; ia juga tempat persembahan hiburan yang bertaraf dunia. Sepanjang tahun, pelbagai acara diadakan di sini, termasuk pesta muzik dan acara kanak-kanak. Melbourne Showgrounds terletak bersebelahan dengan Flemington Racecourse. Royal Melbourne Show diadakan di sini dalam bulan September.

Setiap pagi Ahad, Flemington Farmers Markets diadakan berhampiran dengan Flemington Racecourse dan ia menyediakan peluang bagi anda mencuba dan membeli hasil makanan yang segar dari para peladang di serata Victoria.

Flemington terletak 6km ke barat laut pusat bandar Melbourne. Terdapat banyak cara untuk mengembara ke Flemington, termasuk dengan menaiki kereta api, trem, bas, teksi dan limousin. Naik kereta api dari stesen Flinders Street atau Southern Cross ke Flemington dan nikmati suasana berwarna-warni perjalanan ini pada hari-hari diadakan perlawanan.

Anda boleh juga menunggang basikal menelusuri Maribyrnong River Trail dari Southbank di sepanjang Yarra River yang berliku-liku melepasi Flemington Racecourse. Berehat seketika di Pipemakers Park untuk menerokai bangunan bersejarah, tanah basah dan Living Museum of the West. Meneruskan perjalanan melalui hutan belukar dan sungai simpanan yang menarik, laluan ini juga lalu di bawah jambatan tinggi landasan kereta api Melbourne-Sydney ke Brimbank Park, suasana yang amat sesuai untuk berkelah di bawah pepohonan gum gergasi.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia