Melbourne Cricket Ground (MCG), Melbourne

Melbourne Cricket Ground (MCG), Melbourne, VIC.

Melbourne Cricket Ground (MCG), Melbourne

Melbourne Cricket Ground (MCG) terletak tidak jauh dari pusat bandar Melbourne di Melbourne Sports Precinct di Yarra Park, yang juga termasuk Rod Laver Arena, Hisense Arena dan AAMI Park. Dengan keupayaan untuk menempatkan sehingga 100,000 orang, Melbourne Cricket Ground ialah stadium terbesar di Australia, stadium kesepuluh terbesar di dunia dan merupakan stadium terbesar di dunia untuk perlawanan kriket.

Melbourne Cricket Ground telah menjadi tempat pelbagai acara sukan yang hebat dan melakar berbagai 'peristiwa kali pertama' dalam sejarah sukan Australia semenjak pembinaannya pada tahun 1853, hanya 19 tahun selepas penubuhan Bandar Melbourne itu sendiri.

Ia adalah tempat asal Melbourne Cricket Club (MCC), kelab sukan tertua di Australia. Pada tahun 1877, perlawanan pertama kriket Test dalam sejarah telah dimainkan antara Australia dan England di Melbourne Cricket Ground. Pada tahun 1971, lapangan ini menjadi tuan rumah kepada perlawanan kriket One Day International yang pertama. Perlawanan Ujian Boxing Day pada Boxing Day (26 Disember) setiap tahun menarik khalayak yang begitu ramai. Dalam musim sejuk, ia menjadi tempat sukan ragbi Australian Rules (AFL). Stadium ini diisi penuh sewaktu perlawanan akhir AFL Grand Final pada akhir bulan September.

Pelbagai konsert rock antarabangsa juga telah diadakan di MCG. Konsert rock pertama yang diadakan di lapangan ini ialah konsert David Cassidy pada tahun 1974. David Bowie, Paul McCartney, U2, Madonna, The Rolling Stones, mendiang Michael Jackson, Elton John dan Billy Joel juga telah membuat persembahan di sini.

Detik bersejarah yang paling terkenal di MCG adalah sebagai stadium utama bagi Sukan Olimpik 1956. Upacara Pembukaan dan Penutupan serta acara olahraga bagi Sukan Komanwel 2006 juga telah diadakan di MCG.

Lawatan di sebalik tabir ke MCG mendedahkan lebih daripada 150 tahun kecemerlangan sukan Australia. Gabungkan lawatan MCG anda dengan lawatan ke National Sports Museum yang menampilkan beribu-ribu artifak sukan yang menyerlahkan sejarah sukan Australia, seperti topi hijau begi legenda kriket Don Bradman, sut larian Cathy Freeman yang memenangi pingat emas dan sut renang badan penuh Ian Thorpe. Ia juga menempatkan galeri kekal yang dikhususkan untuk sukan lumba kuda, serta Australian Gallery of Sport and Olympic Museum, Sport Australia Hall of Fame, Australian Cricket Hall of Fame dan Australian Football Hall of Fame.

Birrarung Marr, di tebing utara Yarra River di antara Federation Square dan National Sports Precinct, telah dinamakan oleh kaum Orang Asli Wurundjeri yang merupakan penduduk asal kawasan ini. Direka bentuk untuk menjadi tuan rumah kepada beberapa acara utama dan pesta di Melbourne, Birrarung Marr ialah tempat di mana anda boleh berehat atau mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berlatarkan langit bandar Melbourne dan Yarra River.

MCG terletak kira-kira 1km jauhnya dari pusat bandar. Jambatan pejalan kaki William Barak menghubungkan Yarra Park dengan bandar ini. Terdapat dua stesen kereta api yang terletak berhampiran stadium. Jolimont (yang juga dikenali sebagai MCG Station) adalah sejauh lima minit perjalanan berjalan kaki merentasi lapangan ini. Kenderaan lain untuk ke arena ini termasuk trem, bas dan teksi air.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia