Rod Laver Arena, Melbourne

Rod Laver Arena, Melbourne, VIC.

Rod Laver Arena, Melbourne

Rod Laver Arena terletak di Melbourne Park dalam kawasan sukan Melbourne and Olympic Parks, yang juga termasuk Melbourne Cricket Ground, Hisense Arena, National Tennis Centre dan Olympic Park.

Dibina pada tahun 1988 sebagai sebahagian kompleks asal National Tennis Centre, arena ini merupakan kemegahan utama kejohanan tenis Australian Open Grand Slam dan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan dan hiburan, seperti perlumbaan motosikal super-cross, kejohanan renang dan konsert muzik.

Dinamakan sempena salah seorang pemain tenis terhebat di dunia, Rod Laver Arena boleh menempatkan kira-kira 15,000 orang.

Pada masa pembukaannya pada tahun 1988, tempat ini merupakan salah satu arena yang mempunyai teknologi paling terkini di dunia dengan bumbung boleh sentut - reka bentuk inovatif yang pertama di dunia yang dibentuk oleh dua bahagian yang bergulung, setiap satunya seluas gelanggang dengan kekuda melengkung yang memberi imej unik kepada Rod Laver Arena ini.

Selama lebih daripada 20 tahun, tempat ini telah menjadi tuan rumah kepada serangkaian persembahan hiburan bertaraf dunia termasuk setiap gaya konsert muzik. Nama-nama besar seperti U2, Rolling Stones, Kylie, Pavarotti, Billy Joel dan Bruce Springsteen semuanya pernah membuat persembahan di tempat yang serba guna ini. Konsert Justin Timberlake pada tahun 2007 mencatatkan kehadiran tertinggi. Secara keseluruhannya, lebih daripada sejuta orang melawati Rod Laver Arena setiap tahun untuk menyaksikan acara dan konsert di sini. Australian Open diadakan dalam bulan Januari setiap tahun.

Arena ini merupakan tempat asal Melbourne Basketball pada tahun 1990-an dengan pasukan Melbourne Tigers memanggilnya sebagai kampung halaman mereka dan menarik khalayak yang besar dalam zaman kegemilangan NBL.

Alami perspektif orang dalam dengan lawatan di sebalik tabir yang akan membawa anda ke dalam kawasan yang eksklusif bagi para pemain Australian Open sahaja dan tempat para juara meraikan kemenangan mereka. Anda juga boleh menyewa sebuah gelanggang dan bermain di gelanggang yang sama dengan para pemain tenis terbaik di dunia.

Melbourne Park terletak di luar Batman Avenue dan dalam jarak berjalan kaki dari pusat bandar Melbourne. Champions Walk dan William Barak Bridge dari Birrarung Marr Park membentuk perjalanan berjalan kaki yang menyenangkan dari bandar, Federation Square dan sepanjang Yarra River. Kenderaan awam adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk pergi ke kawasan Melbourne dan Olympic Parks. Kereta api, trem dan bas akan membawa anda terus ke tempat ini, atau sertai pelayaran santai menelusuri Yarra River dengan teksi air, yang berlabuh bertentangan dengan Rod Laver Arena.

Seberang Swan Street Bridge dan anda akan mendapati diri anda di dalam ketenangan Royal Botanic Gardens di Melbourne. Berjalan-jalan melalui lebih daripada 50,000 persembahan tanaman, termasuk spesies yang jarang didapati, dari zaman Captain Cook. Sertai jurupandu astronomi di Melbourne Observatory bagi peluang untuk melihat bulan melalui teleskop yang bersejarah. Pergi ke tanah warisan peribumi kaum Kulin dan terokai budaya yang hidup ini dengan jurupandu Orang Asli di mana anda akan mempelajari kegunaan tradisional tanaman untuk makanan, alat-alat dan ubat-ubatan. Dalam musim panas, Royal Botanic Gardens menjadi hidup sebagai tempat budaya dengan panggung wayang terbuka, persembahan secara langsung dan pameran.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia