Sydney Cricket Ground, Sydney

Sydney Cricket Ground, Sydney, NSW. © SCG Trust & Hamilton Lund

Sydney Cricket Ground, Sydney

Sydney Cricket Ground (SCG) merupakan salah satu tempat perlawanan sukan Sydney yang paling bersejarah dan popular. Terletak bersebelahan dengan Allianz Stadium (Stadium Ragbi Sydney) di Moore Park, ia ialah tempat utama bagi perlawanan kriket dan Australian Rules Football.

Sydney Cricket Ground pertama sekali dibuka pada tahun 1886 dan sejak itu telah berkembang menjadi stadium hebat seperti pada hari ini, dengan menempatkan sehingga 48,000 orang. Sebelum Allianz Stadium dibina bersebelahan, SCG juga merupakan tempat perlawanan utama bagi kejohanan Rugby League di Sydney dan perlawanan utama peringkat akhir diadakan di sini selama beberapa tahun lamanya. Ia juga menampilkan sejarah kesatuan ragbi, bola sepak, besbol dan lumba basikal yang mengagumkan.

Hampir setiap pemain kriket, pemain bola sepak liga dan ragbi yang terkenal di Australia telah bertanding di dalam kawasan ini. Kebanyakan bangunan Sydney Cricket Ground masih bangunan asal, dengan Members Pavilion (dibina pada tahun 1886) dan Ladies Stand (dibina pada tahun 1896) merupakan khazanah seni bina.

Sydney Cricket Ground juga merupakan pentas bagi kebanyakan konsert utama. Antara bintang antarabangsa utama yang telah muncul di SCG semenjak dahulu lagi ialah Rolling Stones, Billy Joel dan Elton John, mendiang Michael Jackson, Madonna, Eagles, Prince dan Green Day.

SCG Tour Experience merupakan perjalanan bersejarah di sebalik tabir melalui Sydney Cricket Ground dan Allianz Stadium. Pada lawatan ini, anda akan menyaksikan bilik bersiap tempat para pemain menyediakan diri untuk perlawanan penting mereka, berlari melalui terowong pemain, mengalami tradisi Members Pavilion dan melihat para juara ditampilkan dalam Walk of Honour. Lawati lapangan yang dimuliakan, tempat Michael Clarke membuat skor triple century sehingga mendapat skor SCG Test yang tertinggi, bersama dengan banyak lagi pemain legenda seperti Sir Donald Bradman dan Shane Warne.

Bersiar-siar melalui SCG Museum yang bersejarah, dikhususkan untuk mengumpul, mendokumenkan, memelihara serta menampilkan aktiviti sukan dan sosial yang unik ini, yang mana semuanya berlaku di lapangan Sydney Cricket Ground dan Allianz Stadium semenjak pertengahan tahun 1800-an.

Item-item penting dalam koleksi muzium ini termasuk topi hijau begi para legenda kriket seperti Victor Trumper, Don Bradman dan Steve Waugh; kayu pemukul kriket 207 kepunyaan Ricky Ponting, serta gambar-gambar perlawanan sukan antarabangsa yang dimainkan di SCG.

Di antara Sydney Cricket Ground dan Allianz Stadium, anda akan dapati sepuluh buah arca bersaiz sebenar para ahli sukan Australia yang terbaik, yang mewakili keempat-empat kod kesukanan yang paling berpengaruh dan telah bertarung di SCG serta Sydney Sports Ground.

Centennial Parklands yang mengelilingi Sydney Cricket Ground dan Moore Park Entertainment Quarter menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi seluruh ahli keluarga. Selain itu, di pinggir bandar ke timur Sydney anda boleh dapati balapan lumba kuda Randwick Racecourse yang berusia 150 tahun itu. Pinggir bandar Sydney iaitu Surry Hills, Paddington dan Bondi juga terletak tidak jauh, dengan pelbagai pilihan makanan mewah serta tempat membeli-belah. Paddington Markets, yang diadakan setiap hari Sabtu, menjadi sinonim dengan Sydney dan merupakan tempat bermulanya kerjaya para pereka terbaik di bandar ini.

Sydney Cricket Ground terletak kira-kira 4 km dari pusat bandar Sydney di Moore Park dan mudah dicapai dengan menaiki kereta api, bas atau berjalan kaki dari bandar ini.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia