The Gabba, Queensland

The Gabba, Queensland.

The Gabba, Queensland

Brisbane Cricket Ground yang biasanya dipanggil ‘The Gabba’ merupakan antara ikon utama Brisbane. The Gabba yang dinamakan sempena nama pinggir bandar Woolloongabba, tempat ia terletak, berjarak hanya 1 kilometer dari pusat bandar Brisbane.

Semenjak bertahun-tahun lamanya, The Gabba telah menjadi tuan rumah bagi kejohanan kriket, olahraga, Australian Rules Football, besbol, lumba basikal, Rugby League, Rugby Union, bola sepak dan perlumbaan kuda padi serta anjing greyhound, di samping menjadi pentas bagi banyak konsert antarabangsa. The Gabba ialah tempat asal pasukan Brisbane Lions kejohanan Football League Australia; Queensland Cricket Association; dan pasukan kriket negeri Queensland Bulls.

Perlawanan kriket pertama telah diadakan di tempat ini pada tahun 1896 - satu perlawanan yang bersejarah antara Ahli-ahli Parlimen dan wakil pihak akhbar. Sejak itu, banyak legenda kriket telah dihasilkan. Perlawanan pertama Kriket Test di The Gabba telah dimainkan antara Australia dan Afrika Selatan dalam tahun 1931. The Gabba juga merupakan tempat pertama di Australia yang menjadi tuan rumah kepada perlawanan kriket International Twenty20 pada tahun 2006.

Pada hari ini, stadium dengan 42,000 tempat duduk hampir menyerupai Melbourne Cricket Ground mini, lengkap dengan menara lampu dan granstan moden besar yang mengelilingi lapangannya. Pemandangan permukaan lapangan berbentuk bujur yang tidak terhalang dari semua kawasan menjadikannya amat sesuai untuk menjadi tuan rumah bagi acara kesukanan dan hiburan antarabangsa. The Gabba biasanya menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kriket Test musim pertama pada setiap bulan November, di samping perlawanan kriket sehari, yang biasanya diadakan dalam bulan Januari. Ia juga merupakan tempat perlawanan pembukaan British and Irish Lions Australia Tour 2013 yang bersejarah.

Australian Rules football telah dimainkan di The Gabba seawal tahun 1905.
Dalam tahun 1950-an dan 1960-an, The Gabba menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak Inggeris bagi divisyen pertama termasuk Blackpool FC, Everton FC dan Manchester United. Pasukan kebangsaan China dan Afrika Selatan juga pernah bermain di lapangan ini.

Perlawanan Ujian Rugby League yang pertama telah dimainkan di The Gabba antara Australia dan New Zealand pada tahun 1909. Kehadiran khalayak yang terbesar pernah dicatatkan di The Gabba adalah bagi Perlawanan Ujian Rugby League Australia dan Great Britain pada tahun 1954, apabila lebih daripada 47,000 orang memenuhi arena ini. The Gabba telah juga menjadi tuan rumah kepada enam perlawanan Ujian Rugby Union.

Sepasukan sukarelawan yang berdedikasi membuat lawatan kerap ke Gabba. Lawatan di belakang tabir ini akan membolehkan anda melihat secara langsung kawasan yang biasanya tidak dibenarkan bagi orang awam. Daftar masuk lebih awal untuk mendapatkan jadual lawatan dan anda perlu membuat tempahan.

Antara cara terbaik untuk mendapatkan pandangan penduduk setempat tentang bandar ini adalah dengan perkhidmatan Brisbane Greeters, sebahagian daripada rangkaian Global Greeters Network, yang bermula di New York pada tahun 1992. Lawatan percuma selama dua jam ini akan membantu anda menemui Brisbane dengan penduduk setempat.

Kenderaan awam adalah salah satu cara paling mudah untuk sampai ke the Gabba; atau anda boleh tiba ke sana dengan berjalan kaki dengan mudahnya dari pusat bandar Brisbane. Stesen kereta api South Bank ialah stesen kereta api terdekat. Terdapat juga perkhidmatan bas yang tetap. Pada hari-hari semasa acara utama diadakan, bas ulang-alik tambahan disediakan dari pelbagai lokasi di seluruh Brisbane.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia