Haiwan Australia

Haiwan Australia

Haiwan kami yang unik merupakan salah satu daya tarikan pelancong berkunjung ke negara kami. Australia mempunyai lebih daripada 378 spesies mamalia, 828 spesies burung, 4000 spesies ikan, 300 spesies kadal, 140 spesies ular,dua spesies buaya dan sekitar 50 jenis mamalia laut.

Lebih daripada 80 peratus tumbuhan, mamalia, reptilia dan katak kami adalah unik kepada Australia dan tidak ditemui di tempat lain. Beberapa haiwan kami yang terkenal ialah kanggaru, koala, echidna, dingo, platipus, walabi dan wombat.

Haiwan tempatan Australia sukar didapati secara liar, tapi anda dijamin dapat melihat haiwan ini di zoo berkelas dunia dan taman hidupan liar kami yang terdapat di sekitar kawasan bandar raya dan wilayah utama kami. Ini termasuk Zoo Taronga di Sydney, Rainforest Habitat di Port Douglas, Healesville Sanctuary di Victoria, Cleland Wildlife Park di Australia Selatan dan Zoo Australia di Queensland, dan lain-lain.

Australia kaya dengan haiwan asli yang kebanyakannya hanya dapat ditemui di sini.

Mamalia
Mamalia

Mamalia

Australia tiada haiwan pemangsa yang besar. Dingo atau dikenali sebagai anjing liar ialah mamalia karnivor terbesar kami. Haiwan karnivor unik yang lain termasuk Numbat, Quoll dan Tasmanian Devil, tapi kesemua ini saiznya lebih kecil daripada saiz kucing peliharaan yang biasa.

Dingo ditemui di seluruh Australia, kecuali di Tasmania. Tempat yang paling senang menemui haiwan ini ialah Fraser Island di Queensland, Kimberley di Australia Barat dan sekitar gurun Wilayah Utara dan Australia Selatan. Numbat hanya terdapat di Australia Barat; dan selain daripada di taman hidupan liar, anda hanya boleh mendapati Tasmanian Devil yang liar di Tasmania. Quoll yang terancam juga sukar ditemui secara liar, tetapi haiwan ini menghuni di hutan lembap di Australia Tenggara dan Tasmania, dan sebahagian kecil kawasan utara Queensland. Bilby, salah satu ahli golongan wiruk, boleh didapati di Francois Peron National Park di Australia Barat.

Marsupial
Marsupial

Marsupial

Australia mempunyai lebih daripada 140 spesies marsupial, termasuk kanggaru, walabi, koala dan wombat.

Terdapat 55 spesies kanggaru dan walabi tempatan yang berbeza-beza. Kanggaru dan walabi mempunyai perbezaan yang besar dari segi saiz dan berat, perbezaan berjulat daripada setengah kilogram kepada 90 kilogram. Perbezaan utama kedua-dua haiwan ini adalah saiz — biasanya walabi adalah lebih kecil. Anggaran populasi kanggaru Australia adalah antara 30 hingga 60 juta. Anda akan menemui kanggaru liar dengan mudahnya di kebanyakan tempat di luar bandar Australia. Di Victoria, haiwan ini boleh ditemui di Anglesea di Great Ocean Road dan di Grampians. Lihat haiwan ini di Kangaroo Island yang terletak di Australia Selatan dan di Flinders Ranges. Anda boleh melihat haiwan ini dari jarak dekat di Namadgi dan Kosciuszko National Park di Alp Australia, di Pebbly Beach di New South Wales dan Maria Island di Tasmania. Di wilayah kawasan pedalaman, kanggaru kerap ditemui melompat merentasi jalan. Walabi tinggal di merata-rata kawasan di Australia, terutamanya di kawasan terpencil, berbatu dan berceranggah. Lihat haiwan ini di Flinders Range di Australia Selatan, Freycinet National Park di Tasmania dan Namadgi dan Kosciuszko National Park di Alp Australia.

Koala adalah kegemaran setiap orang, tapi awas – ia bukannya beruang. Anda boleh lihat koala di sepanjang pantai timur Australia yang beriklim sederhana. Antara tempat berkumpul kegemaran haiwan ini termasuklah Tidbinbilla Nature Reserve, berdekatan dengan Canberra, Port Stephens di New South Wales dan Lone Pine Koala Sanctuary di Queensland. Lihat haiwan ini dalam hutan di Phillip Island, Victoria dan Yanchep National Park di Australia Barat.

Wombat adalah satu lagi haiwan yang boleh anda temui di sini – haiwan ini gempal, mengorek lubang dan beratnya boleh mencapai sehingga 36 kilogram. Haiwan ini juga sukar didapati secara liar, tapi tempat yang mudah untuk menemuinya ialah Blue Mountains National Park dan Kosciuszko National Park di New South Wales, Wilsons Promontory di Victoria, Cradle Mountain-Lake St Clair di Tasmania dan di taman negara di Australia Selatan.

Monotrem
Monotrem

Monotrem

Kumpulan haiwan lain yang boleh didapati di Australia ialah monotrem, atau mamalia yang bertelur. Monotrem yang paling unik ialah platipus, haiwan tinggal di sungai dengan muncungnya kelihatan seperti itik, badan berbulu kalis air dan kaki berselaput. Platipus hidup dalam lubang yang digali pada tebing sungai. Haiwan ini sangat pemalu dan sukar ditemui, tapi anda mempunyai peluang yang terbaik untuk melihat platipus di anak sungai kecil dan sungai yang tenang di kawasan persisiran timur. Tempat yang boleh melihat haiwan ini ialah di Tidbinbilla Nature Reserve yang berdekatan dengan Canberra, di Lake Elizabeth Great Otway National Park di Victoria, Cradle Mountain-Lake St Clair National Park di Tasmania dan di bahagian utara New South Wales dan Queensland.

Echidna, atau tenggiling yang berduri, ialah monotrem yang lain, haiwan ini mempunyai lidah yang panjang dan lekit serta kulit badan yang berduri seperti landak, jadi jangan cuba menangkapnya! Kangaroo Island adalah salah satu tempat yang senang menemui haiwan ini secara liar.

Burung
Burung

Burung

Daripada 828 spesies burung yang tersenarai di Australia, kira-kira separuh daripadanya tidak dapat ditemui di tempat yang lain. Spesiesnya berbeza daripada burung madu yang kecil kepada emu yang besar dan tidak tahu terbang di mana tingginya boleh mencapai dua meter. Anda berpeluang untuk melihat emu liar di padang rumput, hutan sklerofil dan hutan kayu savana.

Beraneka jenis burung air, burung laut dan burung menghuni di hutan kayu dan hutan terbuka kami. Contohnya termasuk burung kasuari, angsa hitam, penguin pari-pari, kokabura, burung lyre dan currawong. Anda boleh melihat penguin dengan mudah di Kangaroo Island di Australia Selatan dan Philip Island di Victoria.

Burung Lyre Albert dapat dilihat di Mt Warning National Park dan di hutan hujan Gondwana sekitar daerah pedalaman Gold Coast. Lihat burung superb lyre yang biasa dilihat di Dandenong Ranges dan Kinglake National Parks di sekitar Melbourne dan Royal National Park serta wilayah Illawarra di bahagian selatan Sydney. Anda juga boleh menemui burung ini di Tidbinbilla Nature Reserve yang berdekatan dengan Canberra, Tower Hill di Victoria dan taman-taman negara sepanjang pantai timur Australia.

Kokabura yang terkenal dengan gelak ketawa yang histeria dan mirip dengan bunyi ketawa manusia yang kedengaran pada waktu subuh dan senja, adalah biasa, dan anda berpeluang untuk menemui (atau mendengar) haiwan ini di kawasan desa dan biasanya di subbandar.

Broome Bird Observatory dan Kakadu National Park merupakan tempat yang terbaik untuk melihat pelbagai spesies burung kawasan paya dan burung berhijrah.

Terdapat 55 spesies burung nuri yang berwarna-warni di Australia, ini termasuk burung kakak tua, rosella, burung serindit, cockatiel, bayan dan budgerigar. Haiwan ini biasanya ditemui di kawasan bandar dan luar bandar.

Reptilia
Reptilia

Reptilia

Australia mempunyai lebih banyak spesies ular berbisa berbanding dengan benua-benua yang lain, iaitu terdapat 21 spesies daripada 25 spesies ular yang paling berbisa di dunia. Namun, bukan semuanya berbisa, kami juga ada ular sawa dan ular pokok yang menakjubkan.

Kami juga terkenal dengan buaya kami, kedua-dua jenis air tawar dan air masin. Kimberley dan Kakadu National Park adalah tempat yang sempurna untuk melihat buaya di habitat semula jadi haiwan ini.

Di sini terdapat lima spesies penyu terancam yang membuat sarang dan bertelur di sesetengah pantai mengikut musim, dan lapan spesies penyu air tawar. Ningaloo Reef di Australia Barat dan Eco Beach di Broome merupakan tempat yang ideal untuk melihat penyu.

Kami juga ada pelbagai jenis kadal, 'naga' dan goanna (biawak benggala) yang mengagumkan, termasuk Cicak Leher Beropol dan Naga Berjanggut yang unik. Di Kimberley terdapat kira-kira 178 spesies reptilia dan yang lebih terkenal adalah Cicak Leher Beropol dan Cicak ‘ta ta’ yang umum. Cicak berduri boleh ditemui di habitat gurun seperti Shark Bay, Carnarvon dan Exmouth di Australia Barat.

Pelbagai jenis reptilia seperti naga berjanggut, perentie dan kadal lidah biru boleh didapati di Australia Tengah dan Flinders Ranges di Australia Selatan.

Haiwan laut
Haiwan laut

Haiwan laut

Persekitaran laut kami menampung kira-kira 4000 jenis daripada 22,000 jenis ikan di dunia dan juga 30 spesies daripada 58 spesies rumput laut di dunia. Kami juga ada sistem terumbu karang yang terbesar di dunia, Great Barrier Reef yang tersenarai dalam senarai Warisan Dunia, di mana terdapat pelbagai jenis ikan berwarna-warni, termasuk ikan badut cantik yang jumlah bilangannya sememangnya tidak terhitung. Selain itu, terdapat juga kira-kira 1700 spesies karang yang berbeza-beza.

Hidupan laut yang lebih besar termasuk ikan yu paus yang jinak berhijrah, paus kelasa, paus southern right dan paus pembunuh, dugong, pelbagai spesies ikan lumba-lumba dan ikan yu. Ikan paus dapat dilihat di sepanjang kawasan pinggir laut timur dan barat dari Mei hingga November. Ningaloo Reef di Australia Barat merupakan salah satu tempat di dunia yang anda pasti dapat melihat ikan yu paus dan di sini terdapat berbilang pengendali aktiviti yang menjalankan aktiviti berenang bersama-sama dengan gergasi yang jinak ini. Kangaroo Island adalah salah satu tempat yang sempurna untuk melihat anjing laut berbulu Australia yang liar.

Haiwan unik Australia merupakan tarikan utama bagi pelawat antarabangsa dan banyak zoo di Australia merupakan antara yang terbaik di dunia. Australia mempunyai kedua-dua jenis zoo awam dan peribadi. Beberapa zoo di Australia mempamerkan spesies eksotik seperti kucing besar dan gajah; sementara zoo lain menumpukan kepada haiwan asli dan burung Australia. Zoo dan tempat perlindungan hidupan liar di Australia menitikberatkan pendidikan persekitaran dan kajian untuk pemuliharaan haiwan yang terancam. Banyak zoo di Australia mengadakan acara istimewa, lawatan ''di sebalik tabir' dan penginapan bermalam yang termasuk melihat haiwan-haiwan ini dari dekat. Di sini haiwan-haiwan menakjubkan seperti koala, kanggaru, wombat dan haiwan lain di Australia dapat dilihat.

Idea Australia selanjutnya