Bandar raya, negeri dan wilayah

Bandar raya, negeri dan wilayah

Geografi

Dengan kawasan seluas 7.69 juta kilometer persegi, tanah besar Australia ialah pulau terbesar di dunia dan pada masa yang sama ia juga merupakan benua yang terkecil di dunia.

Dari segi jarak, benua ini berjarak 3700 kilometer dari utara ke selatan dan 4000 kilometer dari timur ke barat, ini menjadikannya negara yang keenam terbesar selepas Rusia, Kanada, China, Amerika Syarikat dan Brazil.

Australia juga adalah satu-satunya benua yang ditadbir di bawah sebuah negara sahaja. Negara ini kadang-kala digelar secara tidak formal sebagai benua "pulau" yang dikelilingi lautan.

Wilayah lautan kami ialah wilayah lautan yang ketiga terbesar di dunia, merentangi tiga lautan dan meliputi kira-kira 12 juta kilometer persegi. Kami juga ada populasi bandar dan persisiran pantai yang terbesar di dunia, dengan lebih daripada 80 peratus penghuni tinggal dalam lingkungan 100 kilometer dari pinggir laut. Kini Australia mempunyai populasi sebanyak hampir 23 juta orang.

Kerajaan Australia

Australia mempunyai tiga aras kerajaan – kerajaan persekutuan Australia, kerajaan bagi enam negeri dan dua wilayah, dan kira-kira 700 pihak berkuasa kerajaan tempatan. Australia menjadi negara dengan kerajaan nasional tunggal sejak 1 Januari 1901. Walaupun Australia dibahagikan kepada negeri dan wilayah yang masing-masing mempunyai kerajaan negeri sendiri, kami masih bersatu sebagai sebuah negara.

Australia ialah kerajaan raja berperlembagaan dengan Ratu Elizabeth II United Kingdom sebagai ketua negara, inilah sebabnya bendera negara Australia terbentuk daripada bendera Union Jack (mengandungi Bintang Komanwel dan Bintang Pari).Ratu melantik Gabenor Jeneral Australia sebagai wakil baginda dalam menasihati hal-hal mengenai Kerajaan Australia yang dipilih. Gabenor Jeneral melantik menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri. Sistem kerajaan Australia berdasarkan tradisi demokrasi liberal yang merangkumi toleransi agama, kebebasan bersuara dan kebebasan persatuan.

Perlembagaan Australia menjadi panduan bagi peranan Kerajaan Australia, seperti hubungan dan perdagangan luar negeri, pertahanan dan imigrasi. Negeri dan wilayah bertanggungjawab bagi perkara yang tidak diperuntukkan kepada kerajaan persekutuan.

Terdapat dua kumpulan politik utama yang biasanya membentuk kerajaan, persekutuan dan dalam negeri: Parti Buruh Australia dan Perikatan yang merupakan perkumpulan formal Parti Liberal dan rakan minornya, iaitu Parti Nasional.

Parti atau perikatan majoriti akan menjadi kerajaan, dipilih oleh rakyat Australia pada pilihan raya. Parti atau perikatan politik utama yang lain digelar 'pembangkang'.

Australia Yang Berbilang Budaya

Masyarakat Australia terbentuk daripada orang yang berbilang budaya, etnik, bahasa dan latar belakang agama, inilah takrifan moden bagi masyarakat Australia. Orang Asli dan orang Kepulauan Selat Torres telah menghuni Australia sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Kebanyakan orang Australia merupakan penghijrah atau keturunan penghijrah yang datang dari lebih daripada 200 negara sejak dua ratus tahun yang lalu. Bahasa yang paling biasa dituturkan di Australia ialah Bahasa Inggeris dan agama Kristian merupakan agama yang paling ketara, namun bahasa asing dan agama yang lain adalah biasa juga.

Bandar raya, negeri dan wilayah

Australia dibahagi kepada enam negeri dan dua wilayah.

Canberra merupakan ibu negara dan kerajaan pusat. Ia terletak kira-kira 290 kilometer ke selatan Sydney dalam Wilayah Ibu Negara Australia (ACT). Canberra terletak di tanah purba masyarakat Peribumi Ngunnawal dan namanya bermaksud 'tempat bertemu' yang berasal daripada perkataan bahasa Orang Asli 'Kamberra'. Tempat ini ialah rumah kepada institusi nasional yang penting termasuk Parlimen Australia dan Mahkamah Tinggi Australia.

New South Wales ialah negeri Australia yang paling tua dan berpopulasi tertinggi. Pada asasnya ia merupakan perkampungan banduan di persisiran Port Jackson yang kini menjadi ibu negeri Sydney yang sibuk. Lebih daripada satu per tiga orang Australia tinggal di New South Wales dan Sydney ialah bandar raya yang terbesar.

Victoria ialah negeri tanah besar yang paling kecil tetapi populasinya kedua tertinggi. Melbourne ialah ibu negeri dan bandar raya Australia yang berpopulasi kedua tertinggi. Semasa zaman kerubut emas pada tahun 1850-an, ia merupakan salah sebuah bandar raya yang terbesar dan terkaya di dunia. Melbourne kadang-kala dirujuk sebagai "ibu negeri kebudayaan Australia" dan merupakan tempat lahir filem, rancangan televisyen, seni, tarian dan muzik Australia. Penduduk Victoria juga terkenal dengan minat mereka dalam bidang sukan dan inilah tempatnya di mana bola sepak Peraturan Australia dibentuk.

Queensland ialah negeri kedua terbesar Australia. Ibu negeri Queensland ialah Brisbane iaitu bandar yang berpopulasi ketiga tertinggi di Australia. Queensland menerima lebih banyak cahaya matahari dan cuacanya lebih panas semasa musim dingin berbanding dengan negeri-negeri Australia yang lain dan negeri ini sesuai untuk menjalankan semua jenis aktiviti luar dan aktiviti sukan air. Queensland juga rumah kepada Great Barrier Reef yang terkenal sedunia dan juga lima tempat yang tersenarai dalam senarai Warisan Dunia.

Australia Selatan ialah negeri yang terletak di bahagian tengah selatan negara ini dan kebanyakan kawasan di negeri ini adalah terpencil. Negeri ini ialah negeri keempat terbesar di Australia dan berkongsi sempadannya dengan semua negeri tanah besar dan Wilayah Utara. Ibu negerinya ialah Adelaide, bandar raya yang kelima terbesar di Australia. Bidang seni di Australia Selatan kian berkembang dan negeri ini kadang-kala dikenali sebagai ‘Negeri Pesta’ dengan lebih daripada 500 pesta dilangsungkan di sini setiap tahun.

Di bahagian paling atas Australia terletaknya Wilayah Utara. Darwin yang terletak di persisiran utara ialah ibu negeri Wilayah Utara dan Alice Springs ialah bandar pedalaman utama. Alice Springs ialah jantung fizikal bagi Australia, hampir-hampir berada di pusat negara ini. Di Wilayah Utaralah terletaknya Uluru (Ayers Rock), Kata Tjuta (Olgas) dan taman negara Kakadu yang terkenal.

Australia Barat ialah negeri Australia yang paling besar. Kira-kira tiga suku populasi negeri ini tinggal di Perth yang merupakan bandar raya keempat terbesar di Australia. Sebahagian besar bahagian timur negeri ini ialah gurun manakala bahagian barat negeri ini ialah persisiran pantai bersih sepanjang 13,000 kilometer. Pada tahun 1890-an emas telah ditemui dan aktiviti perlombongan masih merupakan salah satu aktiviti yang paling giat bagi negeri tersebut.

Tasmania dipisahkan daripada tanah besar Australia oleh Bass Strait dan negeri ini ialah negeri terkecil Australia. Ibu negerinya iaitu Hobart terbentuk pada tahun 1804 sebagai perkampungan banduan dan merupakan bandar raya ibu negeri Australia yang kedua tertua selepas Sydney. Satu per lima daripada Tasmania diliputi taman negara dan hutan belantara. Negeri ini adalah salah satu pulau bergunung-ganang di dunia yang mana geologinya menggambarkan sambungan Australia dengan Antartika berjuta tahun dahulu.

Australia juga mentadbir Ashmore dan Cartier Islands, Christmas Island, Cocos (atau Keeling) Islands, Coral Sea Islands, Heard dan McDonald Islands, Norfolk Island dan Wilayah Antartika Australia (meliputi 42 peratus benua Antartika) sebagai wilayah-wilayah luaran.

Idea Australia selanjutnya