Cuaca di Australia

Cuaca di Australia

Australia mengalami cuaca sederhana kebanyakan masa dalam setahun tetapi cuaca mungkin berbeza-beza kerana saiz benua ini. Negeri-negeri di utara biasanya mengalami cuaca hangat kebanyakan masa dengan negeri-negeri di selatan mengalami musim sejuk yang lebih sejuk. Australia juga merupakan salah satu benua yang terkering di bumi ini dengan purata hujan tahunan kurang daripada 600mm. Seperti semua negeri di hemisfera selatan, musim-musim di Australia adalah bertentangan dengan negeri-negeri di utara hemisfera. Bulan Disember hingga Februari adalah musim panas, Mac hingga Mei adalah musim luruh, Jun hingga Ogos adalah musim sejuk dan September hingga November adalah musim bunga.

New South Wales terletak di zon iklim sederhana. Great Dividing Range (Banjaran Pemisah Besar), yang terletak di timur negara ini, memberikan kesan yang ketara pada iklim, mewujudkan empat zon berbeza: jalur pantai, tanah tinggi, Western Slopes (Cerun Barat) dan desa mendatar ke arah barat. Iklim Sydney adalah nyaman suhunya sepanjang tahun dengan lebih daripada 340 hari yang cerah dalam setahun. Pada musim panas (Disember hingga Februari), purata suhu maksimum di Sydney adalah sekitar 26°C. Ia juga mungkin lembap pada masa ini dengan purata kelembapan 65 peratus. Purata suhu maksimum pada musim sejuk (Jun hingga Ogos) adalah sekitar 16°C. Jumlah hujan di Sydney adalah paling tinggi antara Mac dan Jun.

Cuaca di Victoria dibahagikan kepada pelbagai zon iklim berbeza, daripada kawasan panas, kering di barat laut ke padang salji alpine di timur laut. Purata hujan tahunan adalah antara kurang daripada 250mm di sebahagian kawasan kepada lebih daripada 1800 mm di beberapa kawasan pergunungan. Melbourne terkenal dengan keadaan cuacanya yang berubah-ubah, tetapi secara amnya bandar ini menikmati iklim sederhana dengan musim panas yang hangat kepada panas, musim bunga dan luruh yang sederhana dan nyaman, serta musim sejuk yang sejuk. Purata suhu adalah 25°C pada musim panas dan 14°C pada musim sejuk. Hujan turun paling lebat dari bulan Mei hingga Oktober.

Iklim di Australia Selatan berbeza daripada panas dan kering di pedalaman ke iklim sederhana, lebih basah di selatan serta pantai tenggara. Secara amnya Adelaide mempunyai musim sejuk yang sederhana dan basah, dan musim panas yang panas dan kering. Ia merupakan bandar yang paling kering antara semua ibu kota Australia yang lain. Purata hujan pada bulan Januari dan Februari (musim panas) adalah sekitar 20mm, tetapi berbulan-bulan tanpa hujan adalah biasa. Bulan Jun adalah bulan yang paling basah dalam setahun, dengan purata sekitar 80 mm. Purata suhu maksimum adalah 29°C pada musim panas dan 15–16°C pada musim sejuk.

Australia Barat mempunyai beberapa zon iklim kerana saiznya yang besar. Hujan lebat di barat laut menandakan musim hujan di musim panas walaupun sebahagian besar kawasan pedalaman kering dengan suhu musim panas yang tinggi, sementara barat daya mempunyai musim sejuk yang sederhana dan basah, serta musim panas yang panas dan kering. Perth mengalami hujan paling lebat antara Mei dan September. Biasanya Februari merupakan bulan terpanas dalam setahun, dengan purata suhu 31°C. Angin laut yang dipanggil 'The Fremantle Doctor' (Doktor Fremantle), bertiup dari barat daya memberikan kelegaan daripada haba. Musim sejuk agak sejuk dan basah dengan suhu sekitar 18°C. 

Brisbane mempunyai iklim subtropika dengan cuaca hangat atau panas pada kebanyakan masa dalam setahun. Pada musim panas (Disember – Februari), purata suhu maksimum adalah sekitar 30°C. Kota ini mengalami hujan terbanyak pada musim panas yang kadang kala melanda sebagai ribut petir dengan hujan mencurah-curah. Keadaan boleh menjadi terlalu lembap semasa musim ini.

Umumnya musim sejuk adalah kering, sederhana dan nyaman. Kebanyakan hari-hari dalam musim sejuk adalah bermatahari dengan purata suhu sekitar 17°C. Purata hujan bulanan pada sepanjang tahun adalah 96 mm.

Iklim Queensland dicirikan dengan hujan yang sedikit dan musim panas yang panas di barat kawasan pedalaman, musim monsun di utara, dan keadaan sederhana panas di sepanjang jalur pantai. Tanah rendah di pedalaman yang kering mencatat suhu terpanas semasa musim panas, apabila median hujan tahunan adalah di bawah 200mm. Cairns menikmati iklim tropika dengan musim panas yang panas dan lembap serta musim sejuk yang sederhana dan kering. Purata hujan tahunan adalah 1992 mm yang kebanyakannya turun antara Januari dan Mac. Suhu biasa pada waktu siang di Cairns adalah 23-31°C pada pertengahan musim panas dan 18°C pada pertengahan musim sejuk. Siklon tropika kadang-kadang berlaku dari bulan November hingga Mei di kawasan pantai.

Memandangkan Tasmania adalah sebuah pulau yang tidak mempunyai tempat lebih daripada 115km jauhnya dari laut, iklimnya dikelaskan sebagai iklim maritim sederhana. Musim panasnya adalah sederhana dan taburan hujan adalah sekata di sepanjang tahun walaupun musim sejuk adalah bulan yang paling basah. Disebabkan latitudnya, musim-musimnya adalah lebih ketara di Tasmania daripada tempat-tempat lain di Australia. Hobart mempunyai empat musim yang berbeza. Bulan yang paling panas, Januari dan Februari, juga merupakan terpanas dengan purata suhunya sekitar 21°C. Sementara terdedah kepada angin selatan dari Antartik, Hobart dilindungi oleh Mt Wellington daripada cuaca yang buruk.

Canberra mempunyai iklim yang selalunya kering dan kebenuaan dengan musim panas yang hangat atau panas serta musim sejuk yang sejuk. Purata hujan tahunan adalah 629 mm yang disebarkan agak sama rata pada sepanjang tahun. Bulan yang paling basah adalah bulan Oktober dan bulan terkering adalah bulan Jun. Semasa musim sejuk, salji turun di Alps Australia yang berhampiran. Januari adalah bulan terpanas dengan purata suhu maksimum 28°C. Bulan yang paling sejuk adalah bulan Julai dengan purata suhu harian 11°C yang boleh mencecah di bawah sifar pada waktu malam. Canberra mempunyai sekitar sembilan jam cahaya matahari sehari pada musim panas, dan menurun ke sekitar lima jam pada musim sejuk.

Iklim Wilayah Utara betul-betul berlainan daripada Australia selatan, dan besar bezanya antara bahagian utara, dikenali sebagai 'Top End' (Hujung Atas) dengan hujung bahagian selatan. Terdapat dua musim yang nyata: 'basah ' (Oktober hingga April) dan 'kering' (Mei hingga September). Alice Springs mempunyai iklim yang keterlaluan dengan musim panas yang panas dan musim sejuk yang sejuk dan suhu waktu malam boleh jatuh di bawah sifar. Hujan berubah dengan dramatiknya dari tahun ke tahun, tetapi purata tahunan adalah sekitar 286mm. Umumnya suhu waktu siang di musim panas adalah tinggi iaitu 30 dengan waktu malam yang kering dan sejuk. Musim Bunga boleh dilanda ribut petir, ribut hujan batu dan ribut debu.

Broome mempunyai iklim tropika dengan musim panas yang panas dan lembap dan musim sejuk yang hangat serta dua musim yang nyata: 'basah' (Disember hingga Mac) dan 'kering’ (bulan-bulan lain dalam setahun). Suhu mencecah sekitar 33°C dari bulan Oktober hingga April. Musim sejuk (Jun-Ogos) adalah sederhana dengan purata suhu bulan Julai sekitar 27°C pada waktu siang. Suhu waktu malam jarang sekali turun di bawah 5°C atau lebih tinggi pada musim panas. Purata hujan tahunan adalah 532 mm tetapi kadang kala hujan tidak turun berbulan-bulan lamanya. Januari hingga Mac adalah masa yang paling basah dalam setahun. Siklon tropika boleh berlaku dari bulan November hingga April, paling biasa pada bulan Januari dan Februari.

Darwin di Top End Wilayah Utara mengalami dua musim yang ketara iaitu musim 'lembap' dan 'kering'. Musim lembap berlanjutan dari bulan November hingga April dan bercirikan kelembapan tinggi, hujan dan ribut monsun. Julat suhu biasanya daripada minimum 25°C hingga maksimum 33°C. Musim 'kering’, dari bulan Mei hingga Oktober, dikenali dengan siangnya yang hangat, kering dan cerah serta malam yang dingin. Suhu biasanya adalah antara 21°C dan 32°C dan aras kelembapannya jauh lebih rendah. Di sini anda akan menemui maklumat tentang suhu, taburan hujan dan aktiviti bermusim untuk membantu anda merancang percutian di Darwin.

Gold Coast Queensland mempunyai iklim subtropika nyaman yang ideal untuk berseronok di luar sepanjang tahun. Gold Coast secara purata mengalami 245 hari cuaca nyaman dan cerah setiap tahun dan hujan purata sekitar 1400mm setiap tahun, dengan kebanyakan hujan turun dalam musim panas (Disember – Februari). Suhu siang hari di pantai biasanya dalam pertengahan 20°C. Kawasan pedalaman lebih sejuk sedikit dengan suhu maksimum musim sejuk sekitar 16°C. Pada musim sejuk, langit cerah dan udara kering menandakan suasana malam yang dingin. Di sini anda boleh mendapat maklumat tentang suhu, taburan hujan dan aktiviti bermusim untuk membantu anda merancang percutian anda ke Gold Coast.

Untuk maklumat terkini mengenai cuaca di negeri-negeri dan ibu kota Australia lawati laman Bureau of Meteorology (Biro Meteorologi)

Cuaca di Australia

Untuk maklumat terkini mengenai cuaca di negeri-negeri dan ibu kota Australia lawati laman Bureau of Meteorology (Biro Meteorologi)

 

Idea Australia selanjutnya