Cuaca di Darwin

Cullen Bay Marina, Darwin, NT. © Tourism NT

Cuaca di Darwin

Darwin di Top End Wilayah Utara mengalami dua musim yang ketara iaitu musim 'lembap' dan 'kering'. Musim lembap berlanjutan dari bulan November hingga April dan bercirikan kelembapan tinggi, hujan dan ribut monsun. Julat suhu biasanya daripada minimum 25°C hingga maksimum 33°C. Musim 'kering’, dari bulan Mei hingga Oktober, dikenali dengan siangnya yang hangat, kering dan cerah serta malam yang dingin. Suhu biasanya adalah antara 21°C dan 32°C dan aras kelembapannya jauh lebih rendah. Di sini anda akan menemui maklumat tentang suhu, taburan hujan dan aktiviti bermusim untuk membantu anda merancang percutian di Darwin.

Cuaca di Wilayah Utara sangat dipengaruhi oleh kitaran monsun tahunan. Walaupun bulan November hingga April dirujuk sebagai musim ‘lembap’ dan Mei hingga Oktober pula musim ‘kering’; penduduk Orang Asli tempatan di kawasan Kakadu National Park yang luas ini mengenal pasti enam musim yang berlainan.

Kebanyakan orang menganggap bulan Januari dan Februari sebagai bulan-bulan yang paling indah di Top End. Hari yang cerah dan ribut pada waktu petang menyegarkan landskap dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan hidup subur dan berkembang biak. Sungai dan air terjun mengalir dan kawasan pedalaman bertukar hijau dan subur. Antara cara terbaik untuk menghargai semua keajaiban semula jadi ini adalah dari udara dengan menaiki penerbangan berpemandangan.

Disebabkan hujan lebat mula berkurangan pada bulan Mac dan April, sungai menjadi surut dan peralihan musim dari lembap kepada kering pun bermula. Pelbagai sungai dan sungai mati dipenuhi begitu banyak ikan. Ini dianggap sebagai kemuncak waktu memancing dan para pemancing berpusu-pusu ke sungai pasang surut di sekitar Darwin untuk menangkap ikan barramundi.

Cuaca yang secara relatif dingin tiba pada bulan Mei dan sehingga bulan Julai, udara malamnya segar manakala paginya berkabus dengan suhu antara 17-23 °C pada waktu malam dan 29-32°C yang nyaman pada waktu siang. Darwin menjadi rancak pada waktu ini apabila semua orang memanfaatkan cuaca yang cerah dan keluar melakukan aktiviti luar. Ini adalah masa yang sesuai untuk berbaring di kerusi geladak dan menonton filem di bawah kilauan bintang di Deckchair Cinema yang terbuka; atau menyaksikan matahari terbenam di Lautan Hindi selepas melawati Mindil Beach Markets yang terkenal. Ini juga saat terbaik untuk menerokai kawasan yang lebih jauh di wilayah ini yang mungkin dilarang dalam musim hujan. Festival Darwin, iaitu sambutan tahunan kesenian dan kebudayaan Top End, diadakan pada bulan Ogos.

Himpunan jutaan burung di lopak air dan sungai yang semakin mengecil di Kakadu National Park, Litchfield National Park dan tanah lembap Mary River pada bulan Ogos dan September. Pemerhati burung datang dari seluruh dunia untuk melihat hampir satu pertiga spesies burung Australia yang berkumpul di satu tempat di Fogg Dam Conservation Reserve.

Bulan Oktober hingga Disember merupakan musim ribut elektrik yang menakjubkan, peristiwa yang sangat dinanti-nantikan oleh penduduk tempatan yang melihat persembahan ini dari restoran dan bar di tepi pantai.

Lawatan dan pusat tarikan beroperasi sepanjang tahun di Top End, bagaimanapun, keadaan cuaca semasa musim lembap boleh mengehadkan perjalanan ke sesetengah kawasan dan sesetengah destinasi mungkin ditutup antara bulan Disember dan Mei.


Carta Iklim

Suhu

Jan

Feb

Mac

Apr

Mei

Jun

Jul

Ogos

Sep

Okt

Nov

Dis

Tahunan

Min suhu maksimum (°C)

31.8

31.4

31.9

32.7

32

30.6

30.5

31.4

32.6

33.2

33.3

32.6

32

Min suhu minimum (°C)

24.8

24.7

24.5

24

22.1

19.9

19.3

20.4

23

24.9

25.3

25.3

23.3

Sumber: Biro Meteorologi, 2013

Carta Kerpasan

Taburan Hujan

Jan

Feb

Mac

Apr

Mei

Jun

Jul

Ogos

Sep

Okt

Nov

Dis

Tahunan

Min taburan hujan (mm)

423.8

374.6

321.3

101.2

21.2

1.9

1.2

5

15.7

70.2

139.3

251.3

1734

Desil 5 (median) taburan hujan (mm)

411

361.4

 286

74.1

4.3

0

0

0

64

52.8

140.5

226.5

1720

Min bilangan hari hujan ≥ 1 (mm)

18.9

18

17

7.2

1.6

0.3

0.2

0.4

1.6

5

9.9

14.2

94.3

Sumber: Biro Meteorologi, 2013

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia