Trend makanan dan wain Australia 2014

Makanan asli bush tucker, buah-buahan dan beri. © Tourism Australia

Trend makanan dan wain Australia 2014

Australia mungkin digelari dengan “down under”, tetapi ia menduduki tempat teratas dalam trend makanan agenda sedunia bagi tahun 2014.

Terdapat tenaga baru dalam suasana makanan dan wain Australia yang mempelopori trend sedunia bagi tahun 2014. Berikut adalah beberapa pengalaman baru paling panas yang ditawarkan di Australia bagi tahun 2014, sebagaimana yang dimaklumkan oleh penulis makanan terkemuka, Jill Dupleix serta beberapa orang yang berpengaruh dalam hal makanan dan wain Australia.

Kylie Kwong, Eveleigh, NSW
Kylie Kwong, Eveleigh, NSW

Ternakan mini

Ketua jurumasak Cina-Australia, Kylie Kwong, mencadangkan agar lebih banyak jurumasak dan pemilik restoran memasak serta memakan serangga yang boleh dimakan sebagai sumber protein yang menyihatkan dan mudah didapati. “Serangga adalah lazat, dapat dihasilkan dengan mampan, amat tinggi kandungan zatnya, pilihan protein yang amat bagus dan bagi saya, bahagian warisan tradisi Cina saya yang amat dalam,” jelas Kwong. Dia mempelopori idea ini di restorannya yang menyajikan masakan Cina, Billy Kwong di Sydney dengan menghidangkan cengkerik goreng kilas dengan cili dan kacang hitam, serta nasi goreng Kantonis dengan larva kumbang mealworm, lipas kayu hancur dan sambal cengkerik cili untuk pengunjung yang berani.

Makanan Belukar, QLD
Makanan Belukar, QLD

Bahan asli

Rakyat Australia semakin mengamalkan cara-Australia dari segi pemakanan. Mereka mencari bahan makanan setempat dengan perisa asli sebenar negara mereka yang bercuaca panas. Tanaman liar seperti sayur hijau warrigal yang telah diketahui dan dinikmati oleh peribumi Australia semenjak berkurun lamanya kini mudah didapati di pasar tani. Haiwan walabi dan kanggaru menjadi sumber protein yang popular dalam makan malam bertemakan Australia oleh dan untuk jurumasak yang datang melawat, seperti Rene Redzepi dari Copenhagen. Buah beri muntrie dan quandong asli yang cantik, sederhana dan berasid terdapat dalam menu restoran Attica di Melbourne, iaitu masukan baru tertinggi (pada kedudukan ke-21) dan restoran Peter Gilmore di Sydney’s Quay (pada kedudukan ke-48).

Rockpool, Sydney, NSW
Rockpool, Sydney, NSW

Austral-Asian

Ketua jurumasak Australia yang paling banyak memenangi anugerah, Neil Perry dari Rockpool telah lama menjadi pelopor cita rasa Asia-Australia. “Saya rasa kami menyepadukan rasa Asia dengan lebih baik daripada tempat lain di dunia, tanpa dihalang oleh ikatan budaya dan tradisi,” katanya. “Bukankah kita sebahagian daripada Asia. Bagi saya, inilah keistimewaan kami.” Restorannya, Spice Temple, yang berilhamkan bandar Sichuan telah disertai oleh berdozen tempat makan moden Asia yang lain. Yang paling terkemuka di antaranya ialah Mr Wong milik Merivale Group, iaitu restoran Kantonis yang luas di tengah bandar dengan bankuet yum cha dan itik Peking.

fermentAsian, Tanunda, SA
fermentAsian, Tanunda, SA

Tidak ketinggalan… Hipster Asia

Pengkritik restoran terkemuka Australia, Terry Durack, berkata makanan hipster Asia akan datang, sama ada kita suka atau tidak, manakala makanan Asia terus berkembang serta diraikan dalam cara Australia yang moden dan unik ini. “Jangkakan gabungan hot dog dengan kim chi, sotong “salt ‘n’ pepa”, burger itik Peking, bing (lempeng Cina) rusuk pendek Korea dan koktel Singapore Sling,” katanya. “Kami memahami makanan Asia kerana kami membesar dengannya. Kini kami menggunakan hasil tani yang hebat untuk membuatnya dan kefahaman tentang bahagian tradisi yang perlu kami kekalkan dan yang boleh kami tinggalkan.”

Piadina Slowfood, Lonsdale Street, Melbourne, VIC
Piadina Slowfood, Lonsdale Street, Melbourne, VIC

Sisa Sifar

Joost Bakker, seniman, pencinta alam sekitar dan kini pemilik kafe, mahukan restoran di Australia untuk berusaha ke arah masa hadapan bersisa sifar. Baru-baru ini dia telah membina kafe sisa sifar yang pertama di dunia, di salah satu lorong bersuasana menawan yang terdapat di serata bandar Melbourne. Bijirin organik hasil tani setempat dikisar di sini untuk digunakan dalam masakan, susu biodinamik untuk membuat kopi dibawa dengan baldi keluli tahan karat yang boleh dikembalikan, manakala pengering makanan Gaia menukarkan semua sisa makanan menjadi baja bersih penuh zat dalam satu malam sahaja. Baja itu kemudiannya akan kembali kepada para peladang untuk menyuburkan tanaman mereka.

Ballarat, VIC
Ballarat, VIC

Rise and Shine: Sarapan sepanjang hari

Perlukan sarapan pada pukul 3 petang? Pastikan anda terjaga di Australia. “Kafe sarapan dan kudapan Australia semakin digemari ramai,” kata Terry Durack, pengkritik dan pemerhati industri. Hidangan popular di hampir kesemua kafe ini ialah gulungan telur dan bakon, shashouka telur bakar (telur direbus carak dalam sos tomato pedas) serta avokado dan limau hancur di atas roti sourdough bakar, tersedia pada bila-bila masa sepanjang hari.

Torquay, VIC
Torquay, VIC

Taman Bir kini kembali

“Taman bir” kini kembali dengan perlahan-lahan. Lihat pemuda dan pemudi Australia yang pintar berkumpul di perkarangan The Garden di Perth atau Cowraramup Brewery di kawasan perladangan wain Margaret River di Australia. Saksikan mereka bersandar pada bangku bar bergaya dengan jalur hitam putih sambil memegang tin tomato berisi minuman Bloody Mary di Bali Bar di Darwin, Brisbane Hotel di Queensland atau The Norfolk di Sydney.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia