Acara dan Festival Orang Asli Australia

Ord Valley Muster, WA. © Caleb Davenport.

Acara dan Festival Orang Asli Australia

Masyarakat Peribumi Australia meraikan dan berkongsi kebudayaan mereka di festival tradisional dan kontemporari yang berwarna-warni sepanjang tahun. Alami kehidupan bersama komuniti Gove Peninsula yang terpencil di Garma Festival atau mengembara ke masa lampau di festival Dreamtime di Walking with Spirits. Tujulah ke Semenanjung Cape York untuk menyertai Festival Tarian Orang Asli Laura. Lihat dan belek seni Orang Asli yang pelbagai rupa di Pesta Seni Orang Asli Darwin atau Cairns. Nikmati semuanya dari acara konsert hingga acara komedi di Saltwater Freshwater Festival di Pantai Utara New South Wales. Saksikan persembahan Bangarra Dance Theatre, sebuah syarikat seni pentas Peribumi terkemuka Australia semasa ia menjelajahi bandar dan tempat-tempat di seluruh Australia.

Yabun Festival
Yabun Festival, NSW

Yabun Festival

Sydney, New South Wales
Januari

Yabun ialah festival Peribumi paling besar yang diadakan dalam sehari di Australia yang menarik antara 10,000 dan 15,000 orang penonton pada Hari Australia. Ia antara acara muzik masyarakat Peribumi paling penting di dalam negara yang mencerminkan bakat kreatif Peribumi yang beraneka. Beberapa muzik terbaik Orang Asli Australia dan muzik Orang Pulau Torres Strait ditampilkan dari artis yang telah lama bertapak hingga ke mereka yang hanya muncul di festival. Yabun juga menyampaikan program kebudayaan semasa dan bermaklumat, dengan perbincangan dan syarahan oleh beberapa orang pemimpin, ahli akademik, ahli politik dan artis terkemuka komuniti Orang Asli dan Orang Pulau.

Saltwater Freshwater
Saltwater Freshwater, NSW

Saltwater Freshwater

Pelbagai lokasi, New South Wales
Januari

Festival Saltwater Freshwater adalah acara gaya nomad yang bergerak ke lokasi berbeza di Pantai Utara Tengah New South Wales pada setiap Hari Australia dengan menyediakan aktiviti sihat, mesra keluarga untuk dinikmati oleh komuniti. Ia adalah satu-satunya festival kebudayaan Orang Asli yang tersendiri di New South Wales. Festival ini memaparkan kesenian, muzik, tarian, bengkel kerja dan tradisi kebudayaan. Pengalaman orang asli yang tulen dapat diserap oleh para pengunjung, keluarga dan komuniti tempatan yang ingin merasai pengalaman tradisional dan kontemporari kebudayaan Orang Asli Australia. Saltwater Freshwater Festival 2013 diadakan pada 26 Januari setiap tahun.

Spirit Festival, SA
Spirit Festival, SA

Spirit Festival

Adelaide, Austaralia Selatan
Februari

Spirit Festival Roh ialah Festival Kesenian dan Kebudayaan Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait Australia Selatan. Festival ini mempersembahkan keraian budaya, seni, tarian dan muzik tradisional dan kontemporari Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait dengan membawakan lebih daripada 100 orang penari dan penyanyi dari seluruh negara. Upacara mengasap dilakukan bagi menyambut para pengunjung ke Palti Yerta (tapak tarian) di negeri Kaurna iaitu pemilik tradisional tanah tempat acara ini diadakan. Spirit Festival ialah satu acara istimewa yang hebat dan mempunyai erti budaya.

Melbourne Indigenous Arts Festival, VIC
Melbourne Indigenous Arts Festival, VIC

Melbourne Indigenous Arts Festival

Melbourne, Victoria
Februari

Melbourne Indigenous Arts Festival meraikan budaya Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait dengan menampilkan pelbagai acara termasuk teater tradisional dan kontemporari Orang Asli, skrin, tarian, kabaret, seni visual, kata ucapan, opera dan perbualan. Penghibur kebangsaan yang terkenal dan yang sedang menempa nama menghadiri festival sebelas hari ini yang dapat menarik minat penonton negara yang dijemput untuk menikmati pelbagai acara kesenian. Acaranya termasuk Koorioboree, satu perhimpunan tarian budaya dan Perjalanan Warisan Orang Asli yang memberi gambaran tentang Wurundjeri, Boonerwrung, Taungurong, Djajawurrung dan Wathaurung yang membentuk Bangsa Kulin.

Message Sticks
Homeground, NSW

Homeground

Sydney, New South Wales
April

Homeground, dahulunya dikenali sebagai Message Sticks, iaitu acara tahunan berbagai seni diadakan di Sydney Opera House, meraikan artis Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait. Ia memaparkan lagu, tarian, filem, perbincangan dan seni, kontemporari lakuran dan bentuk kesenian budaya tradisional. Kini dalam tahun ke-13, festival ini diadakan di tanah Gadigal Peoples di salah sebuah tempat perjumpaan yang hebat iaitu Bennelong Point. Sorotan festival lalu antaranya ialah Dancestry - tarian corroboree gaya moden yang diadakan ketika matahari terbenam.

Tjungu Festival
Tjungu Festival, NT

Tjungu Festival

Voyages Ayers Rock Resort, Wilayah Utara
April

Diadakan di Voyages Ayers Rock Resort dalam bulan April, Tjungu Festival yang mesra keluarga ini dijalankan selama empat hari secara percuma untuk meraikan budaya Peribumi merangkumi segalanya dari budaya hingga fesyen, sukan hingga muzik dan seni hingga makanan. Dalam bahasa tempatan Anangu, Tjungu bermakna perjumpaan atau perhimpunan dan menyediakan peluang hebat untuk hadirin menyelami Peribumi Australia dan budaya tempatan Anangu. Terdapat kelas kemahiran bush tucker dengan jurumasak Orang Asli, konsert kontemporari dan muzik tradisional serta Tjungu Cup - satu perlawanan AFL.

Kununurra, Australia Barat
Mei

Ord Valley Muster adalah festival dua minggu diadakan di kawasan terpencil wilayah Kimberley timur Australia Barat. Dari acara satu malam yang menyeronokkan – makan malam di kawasan pedalaman untuk perniagaan tempatan – ia kini telah bertukar kepada festival dua minggu dengan lebih daripada 50 acara meraikan semangat, bakat dan kepelbagaian kebudayaan Kimberley. Program ini termasuk acara sukan, kesenian, muzik dan acara semula jadi dari cabaran berbasikal bukit hingga ke demonstrasi memasak ke berjalan merentas belukar dan karnival bola keranjang. Terdapat pasar, pameran seni dan persembahan muzik bertemankan bintang; parti jalanan dan acara Peribumi termasuk tarian tradisional Waringarri Corroboree.

National Indigenous Music Awards
National Indigenous Music Awards, NT

National Indigenous Music Awards

Darwin, Wilayah Utara
Mei


Muzik Peribumi Australia diiktiraf melalui The National Indigenous Music Awards (NIMAs) yang diadakan setiap bulan Ogos di Darwin. Anugerah ini menonjolkan persembahan baru, mereka yang menerima pengiktirafan antarabangsa dan memberi penghormatan kepada persembahan yang telah merintis jalan beberapa tahun yang lampau. Malam anugerah NIMAs yang berkonsep mesra keluarga ini diadakan setiap tahun di Darwin bertempat di Gardens Amphitheatre dan menampilkan persembahan muzik secara langsung yang dimainkan oleh ahli muzik Peribumi tersohor sepanjang malam. Pada tahun 2013, NIMA meraikan 10 tahun pengiktirafan muzik Peribumi dan kekal menjadi acara utama dalam kalendar muzik Peribumi.

Laura Aboriginal Dance Festival
Laura Aboriginal Dance Festival, QLD

Festival Tarian Orang Asli Laura

Semenanjung Cape York, Queensland
Jun

Setiap dua tahun dalam bulan Jun, ratusan penari dan ribuan pengunjung membanjiri pekan kecil Laura di kawasan terpencil Semenanjung Cape York untuk meraikan Festival Tarian Orang Asli Laura. Masyarakat Orang Asli dari seluruh Semenanjung Cape York merayakan dan berkongsi budaya mereka melalui tarian, nyanyian, seni dan persembahan. Ahli keluarga menjalin hubungan semula dan menyampaikan kisah mereka sementara para pengunjung mendapat pengalaman tentang budaya yang berusia lebih 40,000 tahun ini. Pasangkan khemah di tapak perkhemahan festival, yang diadakan di atas tanah suci berhampiran seni batu pra-sejarah Laura yang terkenal. Laura boleh ditemui melalui Laluan Great Tropical antara Cooktown dan Mareeba.

Mowanjum Festival
Mowanjum Festival, WA

Mowanjum Festival

Kimberley, Australia Barat
Julai

Alami seni yang unik dan budaya orang Worrorra, Ngarinyin dan Wunumbal di Kimberley Barat dalam acara mesra keluarga ini selama satu hari satu malam. Diadakan di Pusat Kesenian dan Kebudayaan Mowanjum, festival ini memaparkan lebih daripada 100 penari Peribumi, ukiran pokok boab, bengkel kerja didgeridoo dan corroborree yang hebat. Pusat Kesenian dan Kebudayaan Mowanjum terletak kira-kira 12 kilometer dari Derby sepanjang Gibb River Road dalam wilayah Kimberley yang terpencil di Australia Barat.

Walking with Spirits
Walking with Spirits, NT

Walking with Spirits

Beswick, Wilayah Utara
Julai

Jiwai acara Dreamtime Orang Asli di Walking with Spirits, acara hujung minggu yang unik dengan penjiwaan kebudayaan yang diadakan pada hujung Julai atau awal Ogos. Lokasinya ialah di Malkgulumbultu, sebuah air terjun yang suci dan tepi tasik kira-kira 100 kilometer ke tenggara Katherine. Di sini Orang Jawoyn berkongsi kisah mereka melalui corroborree tradisional berserta tarian, muzik, pertunjukan boneka, filem dan imej yang penuh semangat. Berkhemahlah antara pokok-pokok paperbark dan berhubung dengan roh nenek moyang yang membentuk muka bumi, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan musim. Inilah sahaja masanya dalam setahun untuk anda berkunjung ke kawasan pedalaman yang cukup indah ini, dan tiket ke acara ini amat terhad.

NAIDOC Week
NAIDOC Week

NAIDOC Week

Pelbagai lokasi, seluruh Australia
Julai

Dalam bulan Julai setiap tahun, NAIDOC Week meraikan sejarah, budaya dan pencapaian Masyarakat Aboriginal and Torres Strait Islander Australia. NAIDOC pada mulanya bermakna ‘National Aborigines and Islanders Day Observance Committee’ bertanggungjawab dalam menganjur aktiviti kebangsaan yang kemudiannya dipanggil dengan nama minggu itu sendiri. Hari ini, bandar-bandar besar dan komuniti setempat meraikannya dengan hari keluarga yang menyeronokkan yang mempamerkan budaya Peribumi dan menyediakan tempat untuk berkumpul. Selain daripada itu, bandar yang berlainan akan dipilih untuk menjadi hos kepada National NAIDOC Awards Ceremony yang memberi penghormatan pencapaian masyarakat Aboriginal and Torres Strait Islander.

Darwin Aboriginal Art Fair
Pesta Seni Orang Asli Darwin, NT

Pesta Seni Orang Asli Darwin

Darwin, Wilayah Utara
Ogos

Pameran Seni Orang Asli Darwin yang diadakan pada bulan Ogos menampilkan lukisan kulit kayu, arca logam, didgeridoos, seni fiber dan barang kemas antara beberapa hasil seni untuk dijual. Ini merupakan peluang unik bagi pengunjung untuk membeli terus daripada lebih 40 pusat seni Orang Asli milik komuniti di seluruh Australia. Anda juga boleh menemui para artis yang baru muncul dan telah lama berkecimpung dalam dunia seni, berbual dengan mereka dan pelajari mengenai gaya artistik berbeza yang terdapat dalam kumpulan kebudayaan yang berlainan. Saksikan bakul anyaman dari East Gippsland, lukisan titik Dreamtime dari Alice Springs dan lukisan kanvas berwarna kuning oker yang dihasilkan oleh para pelukis Warmun di wilayah Kimberley.

Cairns Indigenous Art Fair
Pesta Kesenian Peribumi Cairns, QLD

Pesta Kesenian Peribumi Cairns

Cairns, Queensland
Ogos

Pesta Kesenian Peribumi Cairns (CIAF) adalah acara tiga hari yang menggabungkan pasar seni dengan perayaan kebudayaan Peribumi dan Orang Pulau Torres Strait Queensland. Ia adalah satu-satunya pesta seni di Australia yang menjual dan mempamerkan karya seni artis Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait Queensland secara eksklusif. Terdapat syarahan dan forum awam termasuk Simposium CIAF di mana pemimpin Australia dan penceramah, artis dan pengumpul antarabangsa membincangkan kesenian Peribumi Queensland. Kanak-kanak dan seisi keluarga boleh melibatkan diri dalam aktiviti seni secara amali. Terdapat program tarian Peribumi secara percuma dan sambutan mesra daripada pemilik tradisional iaitu Yidinji.

Aboriginal and Torres Strait Islander Art Award
Anugerah Kesenian Orang Asli, NT

Anugerah Kesenian Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait

Darwin, Wilayah Utara
Ogos - Oktober

Anugerah Kesenian Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait telah diperkenalkan oleh Galeri Muzium dan Kesenian Wilayah Utara pada tahun 1984. Kini ia menawarkan hadiah kemenangan paling tinggi untuk mana-mana anugerah seni di Australia. Anugerah ini menarik bakat artistik yang meluas dari seluruh negara mempersembahkan kepelbagaian gaya dengan lebih daripada 150 karya seni dipamerkan. Ia satu wadah untuk kedua-dua artis yang telah lama bertapak dan artis yang baru muncul dan telah menjadi salah satu acara kebangsaan unggul dalam kalendar kesenian Peribumi Australia.

Garma Festival, NT
Garma Festival, NT

Garma Festival

Gukula, Wilayah Utara
Ogos

Kebudayaan Yolngu Wilayah Utara diraikan dalam acara tiga hari yang terkenal dan menjadi ikutan di seluruh Australia. Festival tahunan ini dimulakan dengan persembahan Yidaki (didjeridu) kemudian diikuti dengan acara festival pameran seni visual, penceritaan zaman purba, tarian, muzik, forum, program pendidikan dan latihan. Garma Festival amat dikenali kerana hubungan antara masyarakat Peribumi dan Bukan Peribumi Australia yang ditunjukkan menerusi amalan kebudayaan dan pembelajaran silang budayanya.

Desert Mob
Desert Mob, NT

Desert Mob

Alice Springs, Wilayah Utara
September

Simposium Desert Mob ialah satu penerokaan artis Orang Asli, kesenian mereka dan Pusat Kesenian mereka. Program ini satu-satunya forum yang membuka jendela kepada dunia Pusat Kesenian Orang Asli. Artis Orang Asli dari ahli Desart Pusat Kesenian dengan tetamu antara negeri mempersembahkan program cerita, lagu, imej, filem dan tarian tentang budaya, negeri dan seni. Desert Mob MarketPlace ialah pasar besar dalam dan luar bangunan terdiri daripada gerai-gerai yang menjual barang seni Orang Asli, kraf dan produk termasuk ukiran kayu, ubat tradisional, tenunan dan hidangan minuman.

Corroboree Sydney, NSW
Corroboree Sydney, NSW

Corroboree Sydney

Sydney, New South Wales
November

Diadakan dalam bulan November, Corroboree Sydney merupakan festival tahunan Sydney yang menggabungkan artis, penulis, penari dan ahli muzik Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait dalam mempamerkan bakat unik mereka. Sepanjang acara yang berlangsung selama sebelas hari ini, terdapat persembahan seni visual, kesusasteraan dan seni pentas serta bengkel artis. Acara ini telah diadakan buat julung kalinya pada 2013.

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia