Acara pantai Australia

Coolangatta Gold, QLD. © Harvie Allison

Acara pantai Australia

Australia ketika musim panas adalah mengenai matahari, luncur air, pasir dan acara pantai. Aksi luncur air benar-benar meriah antara bulan Februari hingga April, apabila Australia menjadi tuan rumah kepada Siri Lawatan Kejohanan Dunia Persatuan Profesional Luncur Air. Terpegunlah dengan aksi luncur air yang hebat, kemudian sertai pesta muzik dan parti Belayar di dalam kapal layar di Pesta Layar atau Piala Dunia Berlayar ISAF. Bina arca pasir anda sendiri di dalam Kejohanan Mengarca Pasir Australia atau saksikan hasil karya Sculpture by the Sea. Lihat para penyelamat nyawa Australia sedang beraksi di Kejohanan Luncur Menyelamat Nyawa Australia.

Festival of Sails
Festival of Sails

Festival of Sails

Geelong
Januari

Pertama kali dilangsungkan pada tahun 1844, Festival of Sails merupakan acara sukan tertua Victoria yang masih terus diadakan sehingga kini, dan merupakan regata tahunan perahu lunas yang terbesar di Hemisfera Selatan. Pesta ini selalu menarik lebih daripada 400 kapal layar dan 4,300 peserta ke Melbourne dan Geelong sepanjang hujung minggu cuti percutian Hari Australia. Bagi mereka yang tidak bertanding di atas air, terdapat banyak yang menguja di atas darat dengan lebih 100,000 orang berpusu-pusu ke tepian air Geelong untuk menyaksikan pemandangan yang berwarna-warni ini. The Waterfront Festival menampilkan lebih 60 aksi dalam tiga pentas, tempat makan dan wain dan pameran marin dan demonstrasi.

Renang Lautan Australia
Renang Lautan Australia

Renang Lautan Australia

Januari - April

Dengan pantai keemasan yang disinari mentari, antara lautan yang paling jernih dan beribu kilometer garis pantai, tak hairanlah berenang di lautan merupakan bentuk sukan renang di air terbuka yang paling popular di Australia. Dari pertandingan antarabangsa yang utama seperti ‘Cooly Classic’ di Coolangatta, Queensland hingga acara setempat yang menyeronokkan seperti Lumba Renang Lorne Pier ke Pub di Victoria, ada yang sesuai untuk setiap peringkat dan kebolehan. Pakai baju mandi anda dan sertai salah satu acara renang yang hebat ini.

Australian Sand Sculpting Championships
Kejohanan Mengarca Pasir

Kejohanan Mengarca Pasir Australia

Surfers Paradise
Februari

Setiap tahun, Surfers Paradise Beach bertukar menjadi galeri keemasan mengenai keindahan dan keganjilan sepanjang Kejohanan Mengarca Pasir Australia. Menggabungkan yang terbaik dalam bidang seni dan budaya, acara ini sesuai untuk semua peringkat umur dan setiap ahli keluarga boleh melibatkan diri membina istana pasir. Tema yang berbeza dipersembahkan pada setiap tahun, dan artis yang berbakat mendorong diri mereka lebih jauh lagi untuk mencipta hasil kerja seni pasir terbaik.

Australian Open of Surfing
Luncur Air Terbuka Australia

Luncur Air Terbuka Australia

Sydney, New South Wales
Februari

Festival Sukan Luncur Air Terbuka Australia menggabungkan atlet, artis dan peminat bertaraf dunia dalam meraikan kebudayaan belia, inovasi dan keolahragaan di Pantai Manly, Sydney - tempat lahirnya luncur air moden. Acara bebas ini berlangsung selama sembilan hari dan menarik lebih daripada 125,000 orang penonton untuk meraikan aksi sukan, muzik, seni dan fesyen terbaik Australia. Sukan Luncur Air Terbuka Australian adalah sukan lanjutan Luncur Air Terbuka AS dan menyertakan sukan luncur air papan roda serta pertandingan luncur air pro dan remaja yang diluluskan Persatuan Luncur Air Profesional Di samping peluncur air papan dan peluncur papan roda elit dunia, terdapat juga persembahan muzik yang menampilkan artis hangat antarabangsa.

Quicksilver Pro Gold Coast
Quicksilver Pro Gold Coast

Quicksilver Pro Gold Coast

Gold Coast, Queensland
Februari - Mac

Quicksilver Pro adalah acara besar dalam kalendar luncur air, yang menarik lebih 52,000 penonton setiap tahun. Acara selama dua minggu ini membuka Siri Lawatan Kejohanan Dunia Persatuan Profesional Luncur Air pada hujung bulan Februari. Pantai yang putih bersih dan terumbu yang terkenal di serata dunia serta suasana parti yang bertenaga di Gold Coast Australia merupakan latar yang amat sesuai. Saksikan para pakar menyempurnakan gerak gaya mereka di Kirra, Pantai Duranbah dan Snapper Rocks yang menjadi legenda, tempat ombak yang paling panjang di dunia dan bergenerasi peluncur air yang mengagumkan. Lihat sendiri mengapa Gold Coast begitu terkenal untuk keseronokan – sama ada ia luncur air, taman tema atau makan malam masakan lazat yang hebat.

Surfest
Surfest

Surfest

Newcastle, New South Wales
Mac

Pantai Merewether di Newcastle, dua jam ke utara Sydney, adalah tempat diadakan Surfest pada awal Mac. Dimulakan pada tahun 1985 untuk mempromosi pantai luncur air Newcastle yang indah, Surfest kini telah menjadi antara pesta luncur air yang terbesar di Australia. Lebih daripada 10,000 orang membarisi Pantai Merewether untuk menyaksikan peluncur air menguji kemahiran mereka dalam pecahan ombak sebelah kanan dan alun selatan yang besar yang menjadi legenda itu. Pesta ini merangkumi dua Acara Siri Kelayakan Dunia dan banyak acara luncur air yang lain termasuk pertandingan sekolah menengah rendah dan sekolah tinggi, atau saksikan peluncur air Orang Asli yang berbakat mengharung gelombang pada pertandingan Indigenous Classic.

[Telstra] Drug Aware Pro Margaret River
[Telstra] Drug Aware Pro

[Telstra] Drug Aware Pro Margaret River

Margaret River, Australia Barat
Mac

Sehingga 200 orang peluncur air terhandal dunia berhimpun di Surfers Point di Margaret River untuk menyertai kejohanan Drug Aware Pro pada pertengahan bulan Mac. Ia menyaksikan persaingan sengit untuk mendapatkan gelaran juara, yang menjanjikan wang hadiah di samping mata rating yang bernilai bagi Siri Kelayakan Dunia. Antara masa anda menikmati luncur air yang menguja dan tinggi pertaruhannya anda boleh menikmati juga acara muzik, seni dan fesyen. Dengari persembahan Australia yang hebat di pesta muzik ini dan renungkan pameran seni sambil menguji deria rasa anda ketika bersiar-siar di sekitar Margaret River yang indah ini. Di samping ombak, wilayah ini terkenal dengan wainnya yang bertaraf dunia, gua bawah tanah yang ajaib dan hutan karri yang tinggi menjulang.

Australian Surf Life Saving Championships
Kejohanan Luncur Menyelamat Nyawa

Kejohanan Luncur Menyelamat Nyawa Australia

Gold Coast, Queensland
Mac

Penyelamat nyawa dari lebih daripada 300 kelab luncur air di seluruh Australia berhimpun di Gold Coast untuk menyertai Kejohanan Australia selama empat hari dalam bulan Mac. Ini merupakan acara sukan jenis ini yang terbesar di dunia. Remaja, warga tua, mereka yang ingin menjadi juara dan peserta Olimpik adalah antara lebih 7,000 peserta acara ini. Setiap aspek menyelamatkan nyawa dipertunjukkan dalam pesta yang unik kepada Australia ini. Saksikan ski luncur air dan mengayuh papan luncur, lumba bot luncur dan menyelamat berganti-ganti serta pertandingan Ironman dan Ironwoman. Bersantai di pasir dan nikmati tenaga suasana pesta yang begitu bersemangat, dengan dilengkapi muzik dan hiburan tepi pantai.

Rip Curl Pro
Rip Curl Pro

Rip Curl Pro

Pantai Bells, Victoria
April

Setiap Hari Easter, komuniti luncur air antarabangsa menuju ke Surf Coast di Victoria untuk menyertai Rip Curl Pro, pertandingan luncur air yang paling lama diadakan. Juara dunia Kelly Slater, Mick Fanning dan Mark Richards semuanya telah menempa kemenangan di sini. Pantai Bells terkenal di seluruh dunia kerana terumbu penghalangnya dan ombak yang mencapai sehingga lima meter. Beribu orang membarisi tempat duduk di tebing tinggi yang dramatik untuk menyaksikan antara peluncur air terbaik dunia bertanding. Di samping luncur air elit, acara ini turut memperagakan antara bakat muzik terhebat Australia dalam pesta muzik yang diadakan sepanjang cuti hujung minggu Easter yang panjang.

Cooly Rocks On
Cooly Rocks On

Cooly Rocks On

Coolangatta, Gold Coast
Mei/Jun

Cooly Rocks On adalah pesta berasaskan nostalgia tahun 1950-an dan 1960-an yang diadakan di sempadan Coolangatta dan Tweed Heads pada bulan Jun setiap tahun. Pesta selama 11 hari ini terdiri daripada 1200 kenderaan diubah suai, kereta tersuai dan klasik, di samping hiburan rock ‘n roll, rockabilly dan swing. Begitu banyak hiburan keluarga yang percuma, begitu juga gerai pasar gaya retro 1950-an, perarakan di jalan-jalan, dan bengkel tarian rock ‘n roll, rockabilly dan swing. Pesta ini adalah percuma dan menarik kira-kira 50,000 pelawat.

Australian IRB Championships
Kejohanan IRB Australia

Kejohanan IRB Australia

Kebangsaan
Julai

Kejohanan IRB Australia menyediakan peluang kepada para petugas IRB dari sekitar Australia untuk bertanding sesama sendiri dalam pertandingan menaiki bot. Dengan kejuaraan kebangsaan menjadi taruhan, para krew kapal menunjukkan kebolehan terbaik mereka di beberapa pantai yang paling terkenal di Ausralia. Lebih daripada 500 penyelamat nyawa Australia menyertai acara ini, yang akan merangkumi pertandingan di lautan, pantai dan kolam renang. Acara terdahulu telah diadakan di tepi pantai Pantai Ocean di New South Wales Central Coast dan Glenelg di Australia Selatan.

[Audi] Hamilton Island Race Week
[Audi] Minggu Perlumbaan Pulau Hamilton

[Audi] Minggu Perlumbaan Pulau Hamilton

Pulau Hamilton, Queensland
Ogos

Para penonton dan pelayar dari seluruh dunia berlayar ke Pulau Hamilton dalam bulan Ogos untuk menyertai regata perahu lunas luar pantai tahunan yang terbesar di Australia. Minggu Perlumbaan merupakan acara perahu layar yang paling disukai di Australia dan kekal dalam kalendar pelayaran antarabangsa. Para peserta, keluarga dan rakan bersepakat datang untuk menikmati suasana karnival di dalam dan di luar air. Sertai perayaan dan acara kalendar yang bertenaga termasuk hidangan gourmet yang disediakan oleh jurumasak terkenal, pertunjukan fesyen, pertandingan golf serta merasa wain. Tuan rumah Minggu Perlumbaan Pulau Hamilton ialah Kelab Perahu Layar Pulau Hamilton.

Coolangatta Gold
Coolangatta Gold

Coolangatta Gold

Coolangatta, Queensland
Oktober

Triatlon Coolangatta Gold digambarkan sebagai antara acara fizikal yang paling menjerihkan di planet ini. Sekurang-kurangnya 500 atlet dari seluruh dunia mendaftar untuk cabaran ini setiap tahun. Para peserta mengayuh ski, berenang luncur, berkayuh papan dan berlumba lari dalam pertandingan ketahanan di sepanjang pantai dalam litar 50 kilometer dari Surfers Paradise. Program acara lanjutan termasuk Great Gold Coast Ocean Swim, larian suka-suka di pantai, perlawanan bola tampar pantai, dan perlumbaan ikonik Ironman Coolangatta Gold. Sertai ribuan penonton yang membarisi pantai dan bantu mereka bersorak untuk para atlet ini.

Rescue Surf Life Saving World Championships
Menyelamat Nyawa Rescue Surf

Kejohanan Menyelamat Nyawa Dunia Rescue Surf

Australia Selatan
November

Para penyelamat nyawa dari seluruh dunia akan menuju ke Pantai Glenelg Adelaide untuk menyertai kejohanan dunia pada setiap November. Acara ini menarik ribuan peserta dan penonton, dari dalam dan luar Australia. Saksikan penyelamat nyawa terkenal menguji bakat mereka di sepanjang Pantai Glenelg dan Pantai Christies atau di Pusat Renang Marion. Raikan atlet yang berkunjung dan penduduk setempat dalam upacara pembukaan dan penutup sebelum menerokai Australia Selatan dengan lebih lanjut. Barossa Valley, Kangaroo Island, Semenanjung Fleurieu bahkan Flinders Ranges yang berceranggah semuanya hanya sehari perjalanan dari Adelaide.

ISAF Sailing World Cup
Piala Dunia Pelayaran ISAF

Piala Dunia Pelayaran ISAF

Melbourne
November

Bakat-bakat Olimpik terbaik dalam sukan pelayaran kembali ke Melbourne untuk bertanding dalam peringkat pertama Piala Dunia Pelayaran ISAF dalam bulan November. Kelab Kapal Layar Sandringham menjadi tuan rumah dalam peringkat pertama Piala Dunia Pelayaran ISAF yang berprestij manakala mereka berlumba di Teluk Pelabuhan Phillip. Piala Dunia Pelayaran merupakan tambahan yang menguja kepada kalendar acara musim panas dan termasuk karnival bertemakan laut. Piala Dunia Pelayaran ISAF dijalankan di enam negara yang berbeza dan disertai oleh kelasi Australia dan antarabangsa terbaik di dunia.

Sculptures by the Sea
Sculptures by the Sea

Sculptures by the Sea

Bondi, New South Wales; Cottesloe, Australia Barat
November/Mac

Setiap tahun di sekitar bulan November, laluan pejalan kaki di pantai dari Bondi ke Tamarama yang luar biasa bertukar menjadi taman arca sementara sepanjang dua kilometer yang menampilkan lebih daripada 100 arca oleh artis dari Australia dan serata dunia. Pameran di kawasan terbuka ini merupakan antara acara awam percuma yang terbesar di dunia. Acara kembarnya, Sculpture by the Sea Cottesloe, diadakan setiap tahun di Pantai Cottesloe, Perth di tepi Lautan Hindi dalam bulan Mac. Pameran ini bermula dari dinding air sehingga sepanjang pasir menuju North Cottesloe dan di atas kawasan berumput di sekelilingnya yang mewujudkan taman arca yang indah.

Cari acara









Lebih Lanjut mengenai Idea Australia