Acara makanan dan wain Australia

Acara makanan dan wain Australia

Australia terkenal dengan hasil gourmetnya yang segar dan wain yang diiktiraf dunia. Pada setiap tahun hampir setiap bandar menjadi hos festival makanan dan wain yang utama. Kunjungi Festival Makanan & Wain Melbourne untuk merasa hidangan musim luruh; atau Pesta Makan Great Barrier untuk merasa hidangan makanan laut yang segar. Galilah tanah untuk mencari trufel di Australia Barat atau Canberra. Nikmati konsert ladang anggur di Margaret River. Raikan Tahun Baru dengan wain terbaik Tasmania di Hobart atau seluruh semaian terbaik negara dengan adanya Bulan Wain Australia. Di semua wilayah Australia anda akan dapat menikmati festival diiringi dengan keseronokan dan hiburan.

Cellar Door Wine Festival
Festival Wain Cellar Door

Festival Wain Cellar Door

Adelaide, Austaralia Selatan
Februari

Jelajahi 12 wilayah wain Australia Selatan yang ikonik dan nikmati acara merasa wain tanpa had dari lebih daripada 150 pengeluar wain pada acara tahunan Festival Wain Cellar Door di Adelaide. Ribuan wain dipamerkan di acara ini daripada jenama yang terkenal di seluruh dunia sehinggalah pengeluar wain butik yang ingin menonjolkan produk terbaru dan terbaik mereka. Rasai wain dari wilayah wain Australia Selatan yang terkenal di seluruh dunia seperti Barossa Valley, Coonawarra, McLaren Vale dan Limestone Coast. Sertai kelas bersama pakar wain dan nikmati pelbagai hasil istimewa tempatan di Pasar Tani.

Festivale
Festivale

Festivale

Launceston, Tasmania
Februari

Tasmania terkenal kerana iklim sejuknya yang menghasilkan wain, bir dan hasil segar bertaraf dunia. Festivale adalah acara tahunan yang diadakan dalam bulan Februari yang memberikan satu peluang untuk merasa dan menikmati hasil terbaik Negeri ini. City Park yang bersejarah dan indah terletak di Launceston menambah suasana selesa untuk acara luar ini. Festivale adalah salah satu acara utama di Tasmania, menarik seramai 40,000 pengunjung setiap tahun. Para pengunjung berpeluang untuk merasa dan menikmati makanan dan wain Tasmania yang terkenal apabila disediakan oleh lebih daripada 65 buah gerai dalam acara keluarga yang menyeronokkan manakala tarian, muzik dan teater jalanan dipersembahkan oleh artis tempatan dan negeri lain.

Melbourne dan wilayah Victoria
Mac

Setiap tahun berduyun-duyun penggemar makanan dan wain datang untuk menikmati lebih daripada 300 acara bertaraf dunia dan selama 20 hari pada bulan Mac di mana mereka memenuhi restoran Melbourne serta rangkaian jalan kecil, bilik bawah tanah dan di bumbung di seluruh bandar dan wilayah Victoria. Ia adalah masa yang sesuai untuk menikmati hasil keluaran musim yang segar, makanan dari pasar-pasar yang sibuk, jurumasak yang inovatif serta restoran mereka yang diiktiraf, pakar pembuat wain dan layanan yang amat mesra. Reputasi unggul festival ini menarik personaliti masakan dan wain yang terhebat dari seluruh dunia. Program ini juga menonjolkan personaliti Victoria seperti jurumasak, pemilik restoran, pembuat wain, pakar wain, pengeluar dan artis.

Tastes of the Outback
Rasa Outback

Rasa Outback

Wilayah Australia Selatan
Mac – April

Setiap bulan April, Flinders Ranges dan Outback memberikan latar belakang yang mempesona selama empat hari di keraian berkaitan makanan semasa acara Rasa Pedalaman. Menampilkan yang terbaik di Australia Selatan – dari Jamestown di selatan ke Innamincka di utara, acara Rasa Pedalaman memberi peluang pengunjung untuk memenuhi kehendak hati dengan beberapa makanan dan wain terkenal Australia Selatan disertakan dengan hiburan bertaraf dunia. Tungganglah unta ke makan malam yang eksklusif atau tonton filem dan ambil kelas memasak bertemankan bintang. Sorotan di sini ialah Aussie Tea Cookout, masakan dimasak di atas unggun api di kelilingi Banjaran Flinders yang menakjubkan.

Aussie Wine Month
Bulan Wain Australia

Bulan Wain Australia

National
April

Bulan Wain Australia, dianjurkan oleh Wine Australia, adalah gabungan lebih kurang 100 buah acara, merasa wain, promosi dan sambutan di seluruh negara sambil mempamerkan reputasi Australia sebagai pengeluar wain terbaik dunia. Acara ini mengumpulkan komuniti wain untuk mempromosikan kualiti, kelainan dan nilai wain Australia dan mempromosikan wilayah pengeluar wain Australia yang ternama di seluruh dunia. Bulan Wain Australia memberikan satu peluang besar untuk mencuba hasil terbaik Australia, sama ada Pinot Noir Tasmania, Semillon Lembah Hunter, Cabernet Sungai Margaret, Chardonnay Lembah Yarra atau Barossa Shiraz atau jenis lain dari lebih daripada 60 wilayah wain terpilih.

Kangaroo Island Seafood Feastival
Pesta Makan Makanan Laut Pulau Kangaroo

Pesta Makan Makanan Laut Pulau Kangaroo

Pulau Kangaroo, Australia Selatan
April

Pesta Makan Makanan Laut Pulau Kangaroo adalah perayaan makanan laut dan hasil keluaran gourmet Pulau Kangaroo yang terkenal. Sembilan acara makan malam yang berlainan diadakan selama enam hari di beberapa tempat yang indah di tepi pantai sekitar pulau. Antara acaranya termasuklah makan malam gustatori, masakan unggun api dan barbeku makanan laut di tepi pantai. Terdapat juga demonstrasi kelas pakar dan makan malam ekslusif dengan jurumasak terkenal. Setiap acara memberi peluang unik untuk menikmati keunikan gaya hidup di Pulau Kangaroo, bertemu pengeluar dan merasai hasil keluaran organik, makanan laut yang segar, daging, keju dan wain dari wilayah yang terkenal ini.

Orange, New South Wales
April

Setiap April, wilayah tengah Orange di New South Wales menjadi hos selama 10 hari kepada makanan segar yang sangat enak di Minggu Orange F.O.O.D. Kurang daripada empat jam dari Sydney, pelawat boleh menikmati citarasa wilayah ini dan juga bertemu ornag yang menghasilkannya pada lebih daripada 60 acara. Sarapan di ladang anggur, merayau-rayau di dusun epal atau sertai kelas memasak di salah satu restoran tempatan yang terkenal. Hadiri makan malam gustatori dan parti topeng. Apabila acara rasmi telah tamat pastikan anda pergi lebih jauh dan jelajahilah kawasan ladang wain cuaca sejuk yang terkenal di seluruh dunia.

Adelaide, Australia Selatan
April-Mei

Festival Rasa Australia yang diadakan dua tahun sekali adalah satu festival makanan dan wain yang berjaya di peringkat antarabangsa, berlangsung selama lapan hari dalam bulan April dan Mei. Program acara termasuk kelas memasak amali, demonstrasi memasak oleh personaliti terkenal bersama jurumasak tempatan dan personaliti terkenal masak-memasak antarabangsa. Puaskan hati anda dengan makan tengah hari yang berlanjutan di ladang anggur atau makan malam istimewa gustatori yang disediakan oleh jurumasak berlainan. Kunjungi pasar-pasar tani dan sertai keraian di sepanjang tebing sungai Adelaide yang indah. Wain juga menjadi tumpuan di festival ini di mana beberapa wilayah wain seperti Barossa Valley, McLaren Vale, Clare Valley, Coonawarra dan Adelaide Hills menawarkan acara merasa wain, melelong wain dan kelas pakar makanan dan wain.

Noosa International Food & Wine Festival
Festival Makanan & Wain Antarabangsa Noosa

Festival Makanan & Wain Antarabangsa Noosa

Noosa, Queensland
Mei

Bertapak di Noosa di Pantai Queensland, Festival Makanan dan Wain Antarabangsa merupakan salah satu yang acara gilang-gemilang Australia. Festival ini membariskan lebih daripada 200 orang jurumasak antarabangsa dan kebangsaan, pembuat wain yang tersohor, media makanan dan wain berprofil tinggi, para pemilik restoran dan pencinta makanan, yang bertumpu di persisiran pantai Noosa untuk merasai, berbincang, berdebat, menikmati dan memuaskan keinginan diri sepanjang empat hari yang meriah ini. Beberapa gabungan acara menarik dipaparkan di festival ini termasuk makan tengahari yang berlanjutan, merasai wain, kembara jejak makanan, konsert, menu hidangan istimewa gustatori, makan malam bersama jurumasak jemputan, pasar tani dan demonstrasi memasak oleh jurumasak terkenal.

Darwin, Wilayah Utara
Mei - Oktober

Setiap hari Khamis dan Ahad ketika matahari terbenam di bulan Mei sehingga Oktober, pantai Darwin menjadi hidup di Pasar Matahari Terbenam Mindil. Pasar ini mempunyai pelbagai gerai yang menarik seperti karya seni tempatan, kraf dan hiburan, begitu juga juadah masakan dari seluruh dunia. Rangkaian penjual eklektik termasuk tukang urut, penilik nasib, pembuat barangan kulit, artis orang asli, artis, tukang jahit dan juga tukang emas. Hiburan percuma dipersembahkan oleh teater jalanan, ahli silap mata dan pelbagai seniman jalanan tempatan dan antarabangsa. Setelah melihat gerai-gerai, nikmati perkelahan makan malam di tepi pantai sambil melihat matahari tropika terbenam ke dalam lautan.

delectable Brisbane
delectable Brisbane

delectable Brisbane

Brisbane, Queensland
Julai

Untuk 14 hari yang lazat dalam bulan Julai, festival ‘delectable’ Brisbane menampilkan hasil tanaman, penanam, jurumasak, pekebun, penghibur dan pemuzik yang terbaik Queensland. Tarikan utama 'delectable' ialah Siri FOOD yang memaparkan jurumasak tempatan dan kebangsaan dalam program yang luas, dari demonstrasi memasak sehingga ke ceramah tentang tren makanan terkini. Siri GROW pula menyaksikan South Bank Cultural Forecourt berubah kepada taman moden dengan restoran terbaik Brisbane menyediakan sajian yang tidak dapat dilupakan. Siri SOUND yang berlangsung serentak mempersembahkan persembahan muzikal dan kebudayaan selama sembilan hari di atas pentas yang dibina khas. Kebanyakan acara menggunakan kawasan terbuka Brisbane yang menghijau serta taman-taman botani.

Canberra & Capital Region Truffle Festival
Festival Trufel Canberra & Wilayah Ibu Negara

Festival Trufel Canberra & Wilayah Ibu Negara

Canberra dan kawasannya, Wilayah Ibu Negara Australia
Julai

Musim sejuk di Australia menandakan mulanya musim trufel di wilayah Canberra, salah sebuah tempat menanam trufel yang utama di Australia. Penanam trufel, jurumasak, restoran dan pencinta makanan dari jauh dan dekat meraikan musim trufel ini dan Trufel Hitam Perancis paling bernilai di Festival Trufel Canberra & Wilayah Ibu Negeri ini. Festival termasuk acara mencari trufel, kelas memasak pakar dan demonstrasi oleh jurumasak terkenal, menu trufel penuh inspirasi dan sesi merasa wain di beberapa restoran dan kilang wain terbaik. Ada juga peluang untuk mengambil bahagian dalam pengalaman sebenar menanam trufel dan ceramah tentang trufel asli Australia.

Mundaring Truffle Festival
Festival Trufel Mundaring

Festival Trufel Mundaring

Mundaring, Australia Barat
Julai

Festival Trufel Mundaring meraikan trufel hitam Perancis yag bernilai, ditanam di Australia Barat dan dihasilkan di sini dalam kuantiti yang lebih banyak daripada tempat lain di Hemisfera Selatan. Festival ini berlangsung pada kemuncak musim menanam trufel di Australia Barat. Bintang pertunjukan ini ialah trufel Oak Valley yang menonjol dari segi rasa, demonstrasi, makan tengah hari di meja panjang dan kelas pakar trufel. Ada juga pasar hasil gourmet, aktiviti makanan kanak-kanak, sesi maklumat santapan fikiran, pertunjukan latihan anjing mencari trufel. Hujung minggu gourmet yang menghiburkan ini berlangsung di Mundaring yang indah, hanya 45 minit dari Perth CBD.

Great Barrier Feast
Pesta Makan Great Barrier

Pesta Makan Great Barrier

Pulau Hamilton, Queensland
September

Jamuan Great Barrier di Pulau Hamilton yang sangat berjaya turut mengandungi siri hujung minggu makanan istimewa di kawasan peranginan mewah. Diadakan beberapa kali sepanjang tahun, mereka menawarkan tetamu peluang ekslusif untuk melibatkan diri secara intim 'di belakang tabir' pengalaman gourmet dan belajar terus daripada jurumasak bertaraf dunia di tempat yang bertaraf dunia. Acara gourmet hujung minggu ini bermula dengan makan malam berserta wain yang direka khas oleh jurumasak eksekutif. Tetamu boleh menyertai kelas masakan pakar. Makan malam istimewa ini membenarkan tetamu menonton jurumasak bertaraf dunia menyediakan masakan melalui kamera yang dipasang di dapur.

Crave Sydney International Food Festival
Festival Makanan Antarabangsa Crave Sydney

Festival Makanan Antarabangsa Crave Sydney

Sydney, New South Wales
Oktober

Suasana Sydney menjadi hidup dengan ratusan pengalaman masak-memasak untuk diterokai semasa acara tahunan Festival Makanan Antarabangsa Crave Sydney. Festival Crave Sydney yang berlangsung selama satu bulan meraikan pesta makanan bandar Sydney, serta hasil tempatan utama dari wilayah New South Wales. Sepanjang bulan Oktober, penggemar makanan boleh menerokai bar-bar kecil Sydney dan tempat-tempat makanan lazat; menghadiri acara makanan berskala besar dan menikmati makan malam yang dimasak oleh jurumasak tersohor di dunia. Sydney memberikan anda tradisi Australia dengan barbeku di seluruh bandaraya dan sarapan pagi ketika terbit mentari di Bondi Beach. Hyde Park bertukar rupa dengan gerai makanan Asia dan hiburan secara langsung.

Margaret River Gourmet Escape
Percutian Gourmet Sungai Margaret

Percutian Gourmet Sungai Margaret

Sungai Margaret, Australia Barat
November

Percutian Gourmet Sungai Margaret adalah acara empat hari makanan dan wain yang membawa jurumasak terkenal dunia, pengkritik masak-memasak dan personaliti terkenal. Selama empat hari, kelas pakar, merasa wain dari ladang anggur terkenal dunia, restoran segera, demonstrasi memasak, teater wain, program memadankan wain dan muzik secara langsung dipentaskan berlatarkan lokasi pantai yang mempesona. Restoran tempatan menjadi pelengkap rangkaian wain terpilih di seluruh wilayah. Percutian Gourmet Sungai Margaret memberi peluang untuk meluangkan masa beberapa hari bersama jurumasak antarabangasa di salah sebuah wilayah masak-memasak dan wain Australia yang paling diiktiraf dunia.

Hobart, Tasmania
Disember

Pengunjung boleh menyambut Tahun Baru di Festival Rasa, acara ulung ketika musim Tahun Baru yang mempamerkan makanan dan wain Tasmania di pinggiran air Hobart. Hasil keluaran istimewa Tasmania seperti makanan laut segar, keju Pulau Bruny dan buah beri Bicheno adalah sebahagian makanan kegemaran yang ada. Ia adalah peluang untuk mencuba hasil keluaran terkenal negeri ini seperti wain cuaca sejuk, wiski malta sulingan gambut dan bir butik. Festival ini juga mempamerkan pelbagai juadah antarabangsa yang menggunakan ramuan segar dari Tasmania. Festival Rasa ini juga berlaku pada penghujung Perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart, lalu menambahkan lagi kehangatan festival.

Cari acara









Lebih Lanjut mengenai Idea Australia