Acara Alam Semulajadi Australia

Acara Alam Semulajadi Australia

Dari enam musim Kakadu hingga Phantom Falls di Blue Mountains, Australia mempunyai pelbagai acara sepanjang tahun di mana para pengunjung boleh mendekati alam semula jadi Australia yang indah. Lihat pelbagai burung, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tidak wujud di tempat lain. Terdapat juga 15 keajaiban yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan lebih 500 taman negara. Saksikan sendiri peneluran karang atau penetasan penyu di Terumbu Sawar Besar atau Terumbu Ningaloo. Pergi memerhati ikan paus atau bersiar-siar di antara bunga liar yang berwarna-warni. Renungi ‘Jenjang ke Bulan’ di Kimberley. Australia juga amat menyeronokkan untuk memerhati burung dengan begitu banyak spesies singgah di perairan kami.

Wildflowers in bloom
Bunga liar memekar

Bunga liar memekar

Di mana: New South Wales, ACT, Victoria, Australia Barat, Australia Selatan
Bila: Januari; Jun – November; Ogos – Disember

Dalam suatu tahun, pada waktu tertentu dan di lokasi berlainan di seluruh Australia, anda akan dapat melihat berbagai-bagai bunga liar asli Australia yang indah yang dapat dilihat merentasi pandangan darat ini. Dalam bulan Januari, bunga liar asli alp berkembang mekar di Alp Australia. Dari bulan Jun hingga November, lebih daripada 12,000 spesies bunga liar dapat dilihat memekar di seluruh Australia Barat, termasuk ratusan spesies bunga orkid yang halus. Lebih daripada 100 jenis bunga liar boleh dilihat di Kangaroo Island di Australia Selatan, yang kebanyakannya hanya terdapat di pulau ini sahaja. Bunga liar yang paling mudah didapati dan paling popular termasuk bunga wattle, bottlebrush, melaleuca, banksia dan kangaroo paw.

The Horizontal Falls
The Horizontal Falls

The Horizontal Falls

Di mana: Australia Barat, Talbot Bay, Kimberley
Bila: Mac - Mei

Terletak jauh ke dalam Talbot Bay di Kepulauan Buccaneer di Kimberley adalah fenomena semula jadi Horizontal Waterfalls, yang diterangkan oleh ahli alamiah Sir David Attenborough sebagai ‘salah satu keajaiban semula jadi yang terbesar di dunia’. Kesan air terjun sehingga lima meter tinggi terbentuk kerana air laut dipaksa melalui gaung sempit Banjaran McLarty yang berusia 1.8 bilion tahun. Di setiap pertukaran pasang surut air, arah jatuhnya bertukar, yang mewujudkan lubuk pusar yang besar di sebelah yang satu lagi. Dapatkan pemandangan terbaik air berwarna firus yang menderu di antara bukit merah yang berceranggah pada penerbangan berpemandangan atau pelayaran sewa khas.

The Phantom Falls
Air Terjun Phantom

Air Terjun Phantom

Di mana: New South Wales, Jamison Valley, Greater Blue Mountains
Bila: Mac – Mei/September – November

Musim luruh dan musim bunga adalah masa yang paling baik bagi anda melihat fenomena misteri Phantom Falls di Blue Mountains. Peristiwa semula jadi ini disebabkan udara di Jamison Valley dihangatkan oleh sinar mentari dan naik ke atas dan bertemu dengan udara lebih sejuk di Megalong Valley. Layar kabus yang terhasil mencipta kesan ‘air terjun’ sehingga 800 meter lebar dan 50 meter tinggi, yang jatuh dengan perlahan dan dengan dramatiknya ke atas cenuram dan turun ke lembah. Kadangkala pada waktu malam, ‘air terjun’ ini mengalir ke belakang dan ini mewujudkan pemandangan yang menakjubkan di bawah cahaya bulan mengambang.

Staircase to the Moon
Staircase to the Moon

Staircase to the Moon

Di mana: Australia Barat, Broome, Kimberley
Bila: Mac – Oktober

Antara Mac dan Oktober setiap tahun, apabila suasananya sesuai, Staircase to the Moon yang ajaib terbentuk selama tiga malam setiap bulan di barat laut Australia Barat. Fenomena semula jadi ini berlaku apabila bulan penuh berada di atas kukup lumpur ketika air surut dan ini mewujudkan ilusi optik suatu tangga menuju ke bulan. Tempat memerhati terbaik adalah di Roebuck Bay di Broome di samping lokasi di sekitar Kimberley, termasuk Cooke Point di Pelabuhan Hedland, Lookout di Cossack, Hearson's Cove berhampiran Karratha dan Pantai Sunrise di Onslow. Pasar malam tempatan biasanya diadakan di Broome pada tarikh-tarikh ini.

Coral spawning
Pembiakan karang

Pembiakan karang

Di mana: Ningaloo Reef & Shark Bay, Australia Barat; Great Barrier Reef, Queensland
Bila: Mac – April; Oktober – Disember

Setiap tahun dalam bulan Mac atau April, tak lama selepas bulan penuh, Ningaloo Reef kembali hidup apabila lebih 200 spesies karang bertelur, yang mencipta pertunjukan bawah laut yang mengagumkan ketika lautan bercahaya merah jambu. Tak lama selepas itu, ikan yu paus akan sampai untuk mencari makanan di dalam perairan yang kaya itu. Lawatan sambil berenang untuk melihat ikan yu paus beroperasi dari Exmouth dan Coral Bay dari pertengahan Mac hingga pertengahan Julai. Pembiakan karang yang luar biasa ini juga berlaku selama hanya beberapa malam di Great Barrier Reef antara bulan Oktober dan Disember. Sertai lawatan malam bersnorkel atau menyelam skuba untuk pertemuan dekat yang mengagumkan.

Bird migrations
Penghijrahan burung

Penghijrahan burung

Di mana: New South Wales, Landskap Kebangsaan Greater Blue Mountains
Bila: April; Julai – Januari; Ogos - November

Australia merupakan tempat persinggahan tahunan bagi banyak spesies burung berhijrah yang mengagumkan. Pada setiap bulan April, Little Penguins kembali ke Kangaroo Island untuk membiak. Populasi yang besar juga boleh didapati di Pulau Montague, di mana ia membesarkan anak-anaknya dari bulan Julai sehingga Januari. Little Tern yang berhijrah tiba ke Coastal Wilderness Australia dalam penghujung bulan Oktober selepas penerbangan epik dari Eurasia. Tanjung tinggi di Mallacoota adalah tempat yang sesuai untuk melihat koloni ini sebelum ia berlepas dalam bulan Mac. Dari bulan Ogos hingga November, langit yang cerah dan biru di Australia Barat dipenuhi kawanan burung yang sedang berhijrah di sekitar negeri ini.

Turtle nesting and hatching
Penyu bersarang dan menetas

Penyu bersarang dan menetas

Di mana: Great Barrier Reef, Queensland; Ningaloo Reef & Shark Bay, Australia Barat; Broome, Kimberley, Australia Barat
Bila: September – April

Pulau dan pantai Great Barrier Reef merupakan tempat perlindungan bermusim bagi enam daripada tujuh spesies penyu laut: Agar (Green), Tempayan (Loggerhead), Karah/Sisik (Hawksbill), Daun (Flatback), Lipas Pasifik (Olive Ridley) dan Belimbing (Leatherback), yang naik ke darat pada masa dan lokasi berbeza antara bulan November dan April. Pada masa yang sama, penyu Agar, Tempayan dan Karah naik ke darat pada waktu malam untuk bertelur di pantai berhampiran Ningaloo Reef. Penyu Daun dapat dilihat bersarang dan menetas di Pantai Eco di utara Broome dalam kawasan Kimberley di Australia Barat antara bulan November dan Januari. Para pelawat boleh menyertai program pemuliharaan yang dijalankan oleh Sukarelawan Pemuliharaan Australia secara sukarela.

Di mana: Pantai Utara, Selatan, Timur Australia
Bila: Mei – November

Pada setiap musim sejuk, ikan paus kelasa dapat dilihat dari banyak tempat di sepanjang garis pantai timur dan barat Australia ketika ia berhijrah ke utara dari tempat makannya yang sejuk di Antartika ke lautan yang lebih panas untuk membiak dan melahirkan anak. Untuk melihat ikan paus dari jarak dekat, sertai pelayaran memerhati ikan paus yang bertauliah. Di tempat perlindungan ikan paus Head of Bight dan Victor Harbor di Australia Selatan, ikan paus 'southern right' akan datang untuk membesarkan anak-anaknya. Ikan paus biru yang jarang didapati kadang kala boleh dilihat di Geographe Bay, di Australia Barat dan Portland di Victoria. Di Great Barrier Reef anda boleh berenang bersama-sama ikan paus minke kerdil yang bersikap ingin tahu, suatu pengalaman yang tidak akan didapati di mana-mana jua.

Snow season
Musim salji

Musim salji

Di mana: New South Wales/ACT/Victoria, Alps Australia
Bila: Jun – September

Memang sukar untuk dibayangkan, namun salji memang turun di Australia pada musim sejuk. Meluncur ski di Australia boleh dilakukan di kawasan tinggi negeri New South Wales, Victoria, Tasmania dan Wilayah Ibu Kota Australia dalam bulan Jun - September. Australia mempunyai tempat peranginan ski menuruni bukit yang telah dibina dengan sempurna, termasuk yang tertinggi di Thredbo dan Perisher di New South Wales dan Mount Hotham, Falls Creek dan Mount Buller di Victoria. Luncur ski merentas desa adalah popular di taman negara seperti Taman Negara Kosciuszko dan Taman Negara Alpine, dan boleh juga dilakukan di dalam kawasan Taman Negara Namadgi dan Hutan belantara Tasmania.

Six seasons
Enam musim

Enam musim

Di mana: Top End, Wilayah Utara
Bila: Sepanjang tahun

Di Taman Negara Kakadu, kaum Bininj setempat mentafsirkan enam musim berbeza, setiap satunya menawarkan sudut pandangan yang berlainan di negara ini. Di sekitar bulan April, air terjun yang menderu dan pertunjukan petir yang berkilauan menandakan Banggerreng atau ‘musim ribut’. Angin yang mengering membawa musim lembap Yegge dalam bulan Mei-Jun. Wurrgeng dari pertengahan Jun hingga pertengahan Ogos adalah masa yang 'sejuk', tetapi suhu masih lagi sekitar 30°C. Dari bulan Ogos hingga Oktober, menjadi panas dan kering. Gurrung. Awan petir menandakan kembalinya Gunumeleng, musim sebelum musim tengkujuh dari bulan Oktober hingga Disember. Disember hingga Mac adalah Gudjewg atau tengkujuh atau musim ‘basah’, apabila hujan lebat menjadi perkara biasa.

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia