Bandar elegan ini terkenal dengan seni bina batu kolonial, taman yang besar, festival yang ceria dan ruang yang besar. Jelajahi muzium dan perpustakaan di North Terrace, menjamu selera di ‘jalan makan’ atau berkelah di taman yang terbentang di hampir separuh bandar ini. Berbasikal di Botanic Park atau mendayung melepasi taman ros di Rymill Park. Berenang bersama dolfin atau belajar belayar di Glenelg atau memancing dari jeti di Henley. Di sebelah sana dari pusat bandar anda dapat melihat Adelaide Hills yang cantik dan ladang anggur bertaraf dunia di Barossa Valley.
5 cara yang mengasyikkan anda di Adelaide:
Cuba semua jenis makanan dari juadah Asia hingga ke juadah Argentina di tempat makan eksotik dan sibuk di Chinatown. Nikmati suasana makan di luar di Rundle Street di Adelaide's East End atau berseronok di salah satu bar wain yang elegan dan restoran yang popular di bandar ini. Nikmati makanan anda sambil melihat matahari terbenam di tepi pantai subbandar di Glenelg dan Henley Beach atau minum wain di National Wine Centre. Jika anda seorang penggemar makanan segar, Adelaide Central Markets menawarkan hasil tanaman premium dari penanam di seluruh negeri.
Sewa bot dayung dan basikal di Elder Park atau berdayung melepasi taman ros rasmi di Rymill Park. Berkelah di Botanic Park yang digemari penduduk tempatan atau berbasikal dari kawasan bukit-bukau ke persisiran pantai di River Torrens Linear Park. Untuk mendapatkan ketenangan sepenuhnya, pergi ke oasis klasik Jepun di Adelaide-Himjei Garden. 29 buah taman di Adelaide meliputi hampir separuh bandaraya ini dengan laluan pejalan kaki, ruang sunyi dan kawasan bersukan bagi semua jenis sukan dari bola sepak hingga ke memanah.
Berenang bersama dolfin atau belajar belayar di Glenelg yang sibuk dengan kafe di tepi jalan, tempat makan di luar dan hiburan musim panas. Di pantai di subbandar Henley, anda boleh memancing dari jeti atau sertai lawatan masakan dunia di kedai makanan etnik dan kedai makan lain. Jelajahi muzium, pasar dan pelabuhan bersejarah di Port Adelaide yang merupakan pusat maritim bandar ini. Atau lihat bangunan warisan dan rancangan sampingan musim panas yang berwarna-warni di Semaphore yang mesra keluarga. Jauh di sepanjang Le Fevre Peninsula yang menakjubkan, anda boleh berenang di pantai yang dilindungi dan berjalan di salah satu jeti negeri yang tersenarai sebagai warisan di Largs Bay.
Sertai lawatan kebudayaan di Adelaide Botanic Garden dengan penjaga tradisional iaitu kaum Kaurna (disebut sebagai Gar-na). Anda akan ketahui cara tumbuhan asli telah digunakan sebagai makanan, tempat berlindung, perayaan dan ubat-ubatan selama beribu-ribu tahun. Lihat koleksi purba kala Orang Asli terbesar di dunia di Aboriginal Cultures Gallery di South Australian Museum dan kunjungi Tandanya iaitu National Aboriginal Cultural Institute. Adelaide juga mempunyai warisan Eropah yang membanggakan untuk anda jelajahi- di muzium dan perpustakaan di North Terrace, di Adelaide Town Hall dan di Port Adelaide yang merupakan kawasan pertama yang diisytiharkan sebagai kawasan warisan.
Memandu ke Adelaide Hills dan di sini tanah ladang yang cantik dan perkampungan indah telah memberikan inspirasi kepada banyak generasi artis. Menginap di chalet yang diinspirasikan dari Bavaria dan melihat-lihat kedai roti, kedai kraf dan galeri di Hahndorf iaitu perkampungan Jerman tertua yang masih ada di Australia. Kunjungi The Cedars yang pada suatu masa dahulu merupakan rumah lama mewah dan studio bagi artis lanskap terkenal iaitu Sir Hans Heysen. Kemudian pergi ke pasar di Lobethal, sebuah bandar dongeng yang meraikan Krismas dengan lampu berwarna-warni yang bermeter-meter panjang.