Adelaide Central Markets

Adelaide Central Markets

Hayati suasana Adelaide Central Market yang meriah, juga merupakan satu tarikan yang amat digemari di tengah-tengah bandar raya ini. Para peladang dari seluruh negeri datang ke sini untuk menjual pelbagai bahan yang menguja selera dari tiram hinggalah ke minyak zaitun dan pelbagai jenis keju. Peniaga gerai menjadi penyemarak dapur di Adelaide  dengan kesibukan dan keramahan yang pasti jadi perhatian. Penuhkan bakul anda bersama-sama dengan peminat makanan dan chef tempatan atau sertai rombongan untuk melihat suasana di sebalik tabir gerai dalam dunia gourmet Australia Selatan.

Ayuh dapatkan  hasil segar daripada 80 gerai pakar masakan di Adelaide Central Market, yang sentiasa sibuk, dari Selasa hingga Sabtu. Beli bekalan buah-buahan dan sayuran organik atau berbual dengan penjual daging yang tinggi pengetahuannya mengenai daging premium. Anda boleh memilih untuk membeli makanan laut yang ditangkap atau dipelihara di sini, rasai keju gourmet dan manjakan diri dengan hidangan istimewa pastri yang menguja selera. Jika anda ingin menikmati makan tengah hari sambil duduk bersantai, ayuh ke salah sebuah kafe atau pilih daripada tempat makan yang menyajikan segala-galanya dari sushi hingga piza.

Lebih daripada sejuta pengunjung datang ke Adelaide Central Market setiap bulan. Di sini, anda boleh menyaksikan chef jemputan membuat demonstrasi masakan dan anda boleh   mendaftar untuk kelas masakan. Dengar muzik live, sertai promosi gourmet, dan dengar para peniaga melaungkan tawaran istimewa di tengah-tengah keriuhan jual beli di sini. Terdapat juga pelbagai jenis lawatan berpandu, yang menawarkan peluang untuk melihat cara pasar ini beroperasi dengan lebih dekat, di sebalik tabir berwarna-warni dan kesibukannya. Pelajari sejarah pasar ini dan pelbagai pengaruhnya yang berbeza, berbual dengan para peniaga dan nikmati sesi merasa yang eksklusif.

Anda boleh pilih sama ada untuk mengalami suasana tenang pasar seawal pagi  atau juga pasar ketika tengah hari iaitu waktu pasar paling sibuk. Pemandu pelancong yang banyak pengetahuannya akan membawa anda mengelilingi pasar beraneka makanan dan barangan yang pasti memikat selera anda.. Pasar ini telah wujud sejak lebih 140 tahun yang lalu dan ramai peniaga telah berniaga di sini sejak berdekad-dekad lamanya. Temui penjual, rasai hasil mereka dan ketahui mengenai urus niaga harian mereka dengan para pembekal, pengeluar dan peruncit.

Mendaftar untuk kursus apresiasi keju atau pelajari rahsia chef Asia di Adelaide dalam lawatan pasar Asia. Pasar ini menjual pelbagai bahan eksotik, menggambarkan kepelbagaian makanan Adelaide yang semakin berkembang. Bahkan anda juga boleh mencari bahan tradisional yang digunakan oleh Orang Asli dan saksikan restoran yang menyajikan bush tucker, diberi nafas baharu.

Adelaide Central Market merupakan hab makanan dan gaya hidup yang sibuk di bandar ini, jadi sesetengah lawatan bermula di presint pasar dan menyusuri jalan-jalan merentas bandar. Kunjungi lorong makanan utama Gouger Street, di Adelaide,  dan rasai keju istimewa di bilik keju terbesar di Australia Selatan serta lawati studio pejuang seni tempatan. Bahkan anda juga boleh mengunjungi wilayah Australia Selatan tempat asal hasil-hasil ini dengan menggunakan kapal terbang carter persendirian. Pulau Kangaroo, Eyre Peninsula dan Barossa Valley adalah antara tempat yang anda akan kunjungi dalam kembara makanan hebat dalam enam hari ini.

Sudah tentu anda tidak perlu berjalan lebih jauh dari Adelaide Central Market untuk menikmati hasil Australia Selatan yang terunggul dan paling segar.

Idea Australia selanjutnya