Pantai Glenelg

Pantai Glenelg

Anda akan dapati perkampungan tepi pantai yang menarik dan lebih banyak lagi perkara ceria dan menarik di Glenelg, yang terletak di Holdfast Bay, 25minit perjalanan dengan tram dari pusat bandar Adelaide. Terdapat pantai berpasir putih bersih, hotel warisan yang indah dan kedai yang sibuk, kafe kaki lima serta hiburan musim panas. Anda juga boleh berenang dengan ikan lumba-lumba liar, pergi menyelam atau bersnorkel atau sertai rombongan memancing. Jejaki sejarah Glenelg di galeri dan muzium, sertai keseronokan pelbagai festival dan berjalan-jalan di sepanjang pantai ke pekan di pantai bersebelahan.

Untuk ke Glenelg, naiki tram vintaj yang berulang-alik mengangkut penumpang dari Teres Utara Adelaide sejak tahun 1920an. Ia menurunkan anda di Moseley Square, betul-betul di belakang jeti. Anda boleh menjejaki perubahan sejarah di Holdfast Bay di pusat penemuan Glenelg Town Hall.

Kepopularan Glenelg sebagai destinasi tepi pantai tidak suram sama sekali setelah sekian lama, seperti yang anda akan lihat apabila anda menyusuri tempat makan dan jalur beli-belah di Jetty Road. Menjamu mata di ratusan gedung pakar atau makan di restoran al fresco. Untuk santapan dengan lebih bergaya, menghala ke Holdfast Marina, sebuah tempat yang hebat untuk menikmati matahari terbenam yang memukau di Glenelg

Marinanya juga merupakan tempat berangkat bagi rombongan pelayaran melihat ikan lumba-lumba yang berulang-alik beberapa kali dalam sehari. Tinjau ikan lumba-lumba muncung botol dan ikan lumba-lumba biasa dalam pelayaran siang atau senja atau sertai rombongan yang membolehkan anda berenang dengan mereka. Glenelg merupakan hab bagi pelbagai kembara lautan lain. Belajar meluncur ombak, pergi bersnorkel atau menyelam skuba di pelbagai karang dan tempat pelancong diturunkan. Naiki bot jet yang mengujakan di pesisir pantai  atau mendaftar untuk rombongan memancing dalam perjalanan sehari atau bermalam. Glenelg juga tempat letaknya taman hiburan dan balapan golf tepi pantai yang indah pemandangannya.

Selami pemandangan dan sejarah Glenelg dalam laluan berjalan kaki dan menunggang basikal. Federation Trail berliku-liku mengelilingi Holdfast Bay melewati kotej pekerja, bangunan kolonial yang besar dan perlindungan serangan udara Perang Dunia II. Lihat gomok pasir yang mudah berubah yang telah kekal terpelihara oleh penduduk Eropah dan kunjungi Tjilbruke Spring, sumber air tawar suci bagi penduduk Orang Asli setempat. Berjalan kaki ke Kingston House di rizab tepi pantai Kingston Park yang memukau.

Susuri boardwalk ke arah selatan untuk ke Marino Rocks atau bersiar-siar di sepanjang esplanad ke Brighton yang terletak bersebelahan. Dari Glenelg, anda juga boleh berjalan atau menunggang basikal ke perkampungan tepi pantai yang di sekitarnya seperti Grange, Henley Beach dan West Beach.

Dengar karol dalam pertunjukan Krismas tahunan yang gilang gemilang, sambut Hari Australia di sepanjang pantai atau nikmati suasana Glenelg Jazz Festival dan larian City to Bay Fun Run.

Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Glenelg, di mana keindahan tepi pantai klasik disertai beberapa kejutan.

Idea Australia selanjutnya