Kehidupan budaya Brisbane

Kehidupan budaya Brisbane

Brisbane adalah sebuah bandar raya yang suasana kebudayaannya amat terkenal.  Di sinilah anda akan mendapati Pusat Kebudayaan Queensland yang luas di South Bank, yang menjadi hos kepada setiap jenis usaha seni dan pameran bertaraf dunia yang semakin meningkat bilangannya.  Namun khazanah nasional dalam bentuk galeri, muzium, teater dan ruang seni ini hanyalah permulaan.  Tempat kebudayaan paling popular di Brisbane termasuk New Farm dan Fortitude Valley yang eklektik serta banda rayanya, dengan bangunan seni awam dan warisannya.  

Anda boleh memuaskan semua keinginan pengetahuan anda tentang budaya di bangunan yang berbumbungkan reka bentuk seni bina unik di Pusat Kebudayaan Queensland di South Bank.   Bermula di Gallery of Modern Art, yang menempatkan lebih 10,000 hasil seni Australia dan antarabangsa dan merupakan galeri kategori ini yang terbesar di Australia.  Retrospektif Valentino dan Warhol merupakan antara beberapa pameran berprestij yang banyak diadakan di sini. 

Lihat rangka dinosaur Queensland di Muzium Queensland, di mana di tingkat bawahnya Queensland Sciencentre atau Pusat Sains Queensland, yang menawarkan keseronokan sains secara interaktif.  Berpakaian segak untuk acara balet, opera, konsert atau muzikal di Queensland Performing Arts Centre atau Pusat Seni Persembahan Queensland, atau kunjungi Perpustakaan Negeri Queensland. 

Di New Farm, ruang yang dahulunya merupakan tapak perindustrian Brisbane Powerhouse telah bertukar wajah dan berfungsi sebagai lokasi teater, komedi, tarian, seni, pasar dan restoran.  Makan tengah hari di restoran di tebing sungai, menjamu mata di pelbagai pameran di sini dan berseronok sambil menikmati festival yang sering diadakan di sini. Berjalan menyusuri laluan jalan kaki terapung dari sini hingga ke Fortitude Valley, yang bersebelahan, sebuah hab muzik live, dan menikmati kehidupan malam.  Lembah yang dahulunya kasar, kini telah diberi nafas baru dan dinaikkan taraf, tetapi masih mengekalkan komuniti pelbagai budaya dan kelainan bohemianya.  Saksikan filem seni, lawati teater bebas dan saksikan persembahan pemuzik di tempat yang sarat dengan sejarah muzik rock tempatan.

Di CBD Brisbane, tonton orkestra yang dipersembahkan di antara tiang-tiang Corinthian di Customs House yang tersenarai sebagai warisan.  Nikmati segala-galanya dari kabaret hinggalah ke komedi di Treasury Building (Bangunan Perbendaharaan), yang dibina mengikut gaya palazo Itali, atau tonton konsert di Brisbane City Hall (Dewan Bandar Raya Brisbane) yang bersejarah.   Mercu tanda warisan lain di bandar raya ini termasuk Katedral Anglican St John dan Old Parliament House, dengan pemandangan Botanic Gardens yang subur menghijau.  The Queensland University of Technology juga mempunyai presint kebudayaannya sendiri, yang meliputi Roundhouse Theatre, tempat La Boite Theatre Company membuat persembahan di bandaraya ini.  

Semangat kebudayaan bandar ini disemarakkan lagi semasa Festival Brisbane, yang berlangsung dari pertengahan bulan September hingga awal Oktober.  Bergembiralah semasa parti malam pembukaan di khemah Spiegel Queensland sendiri.  Gabung dan padankan pertunjukan sarkas yang seolah-olah di luar alam nyata dengan pameran  multimedia pada skrin plasma dan persembahan Queensland Ballet yang terkini.  Saksikan para penyanyi antarabangsa seperti Chris Isaak atau tonton komedi, kabaret,  silap mata dan pelbagai pertunjukan sampingan yang agak tersembunyi di kawasan pinggir pesta ini. 

Ibu negeri sub-tropika ini mungkin santai, tetapi atur cara kebudayaannya penuh dengan aksi.

Idea Australia selanjutnya