Pengembaraan di Brisbane River, Queensland

Pengembaraan di Brisbane River, Queensland

Jangan tertipu dengan pemandangan Brisbane River yang lebar dan dipinggiri pokok bakau sehingga ke pusat bandar Brisbane. Laluan air yang cantik dan damai ini merupakan latar belakang kepada pelbagai jenis aktiviti luar yang menyeronokkan. Berkayak berbumbungkan langit Brisbane yang berkilauan pada waktu malam atau nikmati panorama bandar ini dan kawasan sekitarnya dari atas Story Bridge. Daki atau menakik turun cenuram tajam di Kangaroo Point atau berjalan, berbasikal atau bermain rollerblade di atas laluan berjalan terapung Brisbane Riverwalk. Selepas itu, berehat sebentar di City Botanic Gardens atau di taman-taman tepi sungai yang subur di South Bank.

Dengan iklim sub-tropika yang panas, sungai yang tenang dan pelbagai tarikan sepanjang sungai, Brisbane ialah tempat yang amat sesuai untuk berdayung. Pakej melancong berkanu dan berkayak semuanya dikendalikan oleh pengajar yang bertauliah, jadi anda tidak memerlukan pengalaman. Pakai krim pelindung matahari dan lawati taman-taman hijau, pencakar langit berkaca, rumah papan lama dan bangunan bersejarah pada waktu makan tengah hari. Atau nikmati keajaiban bandar yang bergemerlapan pada waktu malam – termasuk bayang Story Bridge yang memukau pandangan pada waktu malam atau senja. Selepas itu, nikmati makan malam makanan laut, barbeku di tebing sungai atau hidangan keju lewat malam

Setelah anda melihat Story Bridge yang mempesona dari bawah, cubalah dakian 80 meter ke puncaknya! Ia pengalaman mengujakan yang hanya boleh dinikmati di tiga tempat di dunia ini. Mula dari Kangaroo Point dan belajar mengenai sejarah bandaraya ini, jambatan dan sungainya sambil anda mendaki struktur gergasi ini. Di puncaknya, anda dapat melihatpemandangan menakjubkan yang merentasi bandar, sungai, Moreton Bay Islands dan banjaran gunung berhampiran. Lihat bandaraya ini menjadi terang dalam cahaya merah jambu waktu subuh atau dapatkan perspektif dari atas jambatan bandar Brisbane sewaktu senja atau malam. Selepas itu, teruskan pengembaraan anda dengan minuman sejuk di bar yang dahulunya merupakan tempat perlindungan bom Perang Dunia Kedua. Ia salah satu dari tarikan unik untuk hotel bersejarah di bawah jambatan.
 
Kangaroo Point juga merupakan tempat untuk pendaki dan penakik turun bergegas naik dan turun cenuram setinggi 20m. Daki dinding yang dimamah cuaca dalam lawatan dakian batu, di mana pemandangan Brisbane dan sungai menanti anda di atas. Atau belajar untuk menakik turun dalam perjalanan menurun yang menggerunkan – langkah pertama anda sememangnya tidak akan dapat dilupakan. Pengajar berpengalaman mengetuai kumpulan melancong untuk semua tahap kemahiran dari permulaan hinggalah ke pakar, jadi anda pasti boleh mencari kumpulan yang sesuai untuk anda.

Untuk pengembaraan sepanjang sungai, sertai mereka yang berbasikal, berjalan dan berlari di Brisbane Riverwalk, lingkaran laluan kaki terapung sepanjang 20km. Berehat seketika dan  untuk menikmati arca seni atau bersantai di taman tepi sungai. Berkelah di bawah pokok bakau dan pokok makadamia liar di City Botanic Gardens pada tebing utara sungai. Di seberangnya pula, Riverwalk membawa anda melepasi lagun dan taman-taman luas di South Bank. Di sini anda boleh berehat dari pengembaraan seharian dengan merayau-rayau di pasar, makan di kawasan terbuka atau lihat persembahan tarian atau teater di Queensland Cultural Centre. Ataupun, luncuri Brisbane River dengan gondola emas atau bot dayung berkuasa stim yang bersejarah. Selepas mengikuti semua aktiviti yang mengujakan, anda mungkin bersedia untuk bersantai di sungai.

Pastikan pengembaraan di sepanjang Brisbane River menjadi sebahagian daripada perancangan percutian anda di Brisbane!

Idea Australia selanjutnya