Cable Beach, Australia Barat

Cable Beach, Broome, WA. © Tourism Western Australia

Cable Beach, Australia Barat

Cable Beach di Broome, di kawasan Kimberley Australia Barat, adalah pantai putih bersih sepanjang 22 kilometer yang berlatarkan pinggir bukit merah oker dan dipinggiri perairan Lautan Hindi berwarna biru firus. Tunggangi unta di sepanjang pantai pada waktu matahari naik atau terbenam. Tidak jauh dari Broome, anda boleh menyelami sejarah mutiara dan masyarakat berbilang budaya bandar ini. Membeli-belah mutiara Laut Selatan. Kagumi fenomena semula jadi Staircase to the Moon. Ketahui tentang salah satu budaya tertua di dunia dari masyarakat Orang Asli setempat. Dari menyelam mencari mutiara hinggalah ke tapak kaki dinosaur, sejarah Broome memang menawan.

Cable Beach Broome dikenali di seluruh dunia untuk pantainya yang putih suci yang dilimpahi cahaya mentari sepanjang 22 kilometer, airnya yang biru firus serta tanah merahnya yang kaya dan pemandangan matahari terbenam di Lautan Hindi yang mengagumkan. Cable Beach adalah pantai yang panjang dan rata, dengan ombak yang bergulung lembut, yang amat sesuai untuk berenang, berjemur dan meredah pantai.

Pantai ini sememangnya sebahagian besar sejarah Broome yang mendapat namanya dari kabel telegraf yang dibentangkan di antara Broome dan Pulau Jawa pada tahun 1889, yang menghubungkan kawasan Barat Laut Australia dengan dunia.
Di hujung selatan Cable Beach terletak Gantheaume Point yang mana ketika air surut, anda boleh melihat jejak kaki dinosaur berusia 130 juta tahun. Rumah Api Gantheaume Point merupakan tempat yang baik untuk menyaksikan ikan lumba-lumba dan ikan paus yang berhijrah pada musimnya.

Pemandangan matahari terbenam di Cable Beach sememangnya amat menakjubkan. Salah satu aktiviti yang paling popular adalah menunggang unta di sepanjang pantai. Pandulah kenderaan 4WD anda ke pantai untuk makan malam perkelahan dan memancing ikan. Hirup koktel di bar tepi pantai di salah satu tempat peranginan tepi pantai.

Minyirr Park adalah kawasan rizab pantai yang terletak di belakang bukit pasir sepanjang Cable Beach yang diuruskan oleh Shire of Broome dan Orang Asli Rubibi. Pelajari tentang budaya tertua di dunia, tumbuhan asli dan haiwan Australia, dan ubat-ubatan belukar yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

Broome terletak di Roebuck Bay yang terlindung, dengan Cable Beach hanya enam kilometer jauhnya. Antara Mac dan Oktober anda akan dapat melihat Staircase to the Moon, fenomena semula jadi yang disebabkan oleh bulan penuh yang naik merentasi Roebuck Bay ketika air surut, yang mewujudkan ilusi optik anak tangga yang indah menuju ke bulan.

Dalam tahun 1800-an, penyelam mutiara berbangsa Jepun, Filipina dan Melayu tiba untuk mengadu nasib di sini. Pada hari ini, masyarakat berbilang bangsa pekan ini memastikan wujudnya pelbagai makanan gourmet, personaliti dan budaya berwarna-warni. Broome terkenal sebagai ibu kota perusahaan mutiara Australia dan menjadi 'rumah' kepada mutiara Laut Selatan. Lihat bagaimana mutiara Broome dibesarkan dalam pelayaran ke ladang mutiara tempatan. Asyikkan diri anda dengan kisah romantik kapal mutiara asli, atau beli cenderamata lawatan anda di ruang pamer mutiara di Chinatown Broome. Bersiar-siar di galeri kawasan kejiranan berdekatan dan kagumi hasil kerja artis kontemporari dan Orang Asli Kimberley.

Tidak cukup dengan kehebatan Cable Beach, Broome juga merupakan pintu masuk untuk pengembaraan kawasan pedalaman di belantara Kimberley yang memegunkan, jadi pastikan anda meluangkan masa untuk menikmati kontras muka bumi di lokasi yang unik ini.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia