Kuranda, Queensland

Kuranda Scenic railway Stoney Creek Falls bridge, Kuranda, QLD. © Tourism Australia

Kuranda, Queensland

Dilingkungi Hutan Hujan Warisan Dunia, tempat peranginan pergunungan Kuranda, 25 kilometer ke barat laut Cairns, dinamakanl ‘Desa di dalam Hutan Hujan’.

Kaum Orang Asli Djabugay telah tinggal di kawasan ini lebih daripada 10,000 tahun dan budaya mereka terus bersemarak hingga ke hari ini. Mereka memanggil desa Kuranda yang ada sekarang Ngunbay, atau tempat platipus.

Pada akhir tahun 1960-an, Kuranda telah menarik pelawat yang inginkan gaya hidup alternatif, lalu budaya seni dan kraf yang bertenaga telah berkembang. Sebilangan besar tukang tembikar, pelukis, pekerja kaca dan kraf, pengukir dan tukang emas tinggal di Kuranda. Hasil tangan mereka dipersembahkan di kebanyakan kedai, galeri dan pasar di desa ini dan kita boleh juga menyaksikan mereka ketika sedang tekun bekerja.

Desa yang kecil ini mengekalkan suasana santainya, tetapi pada hari ini jalan utamanya dibarisi dengan kedai dan galeri. Bangunan bersejarah dari dahulu kini menempatkan pelbagai restoran dan kafe bergaya. Kuranda Original Rainforest Markets telah beroperasi mulai tahun 1978 dan merupakan tempat untuk dikunjungi bagi mendapatkan fesyen setempat yang direka cipta dan dihasilkan di sini, di samping madu, kopi tempatan, buah-buahan tropika dan kacang makadamia.

Cubalah ais krim berperisa buah hutan hujan yang lazat dan jangan terlepas Kuranda Honey House yang terkenal, yang telah beroperasi lebih setengah abad. Luangkan masa untuk mengagumi pokok buah tin gergasi yang membarisi jalan utama, di mana burung kakak tua berwarna-warni dan rama-rama berwarna biru terang bertumpu di antara paku pakis dan bunga orkid di puncak pokok.

Anda boleh juga mengalami budaya Orang Asli, dengan melawati galeri artis Peribumi tempatan atau mengetahui cara bermain alat didgeridoo. Membeli-belah batu opal yang jarang dijumpai atau ketahui tentangnya di Fossil dan Gemstone Museum.

Lihat burung dan haiwan asli Australia serta rama-rama tropika yang mengagumkan di BirdWorld, Kuranda Koala Gardens, Rainforestation Nature Park dan Australian Butterfly Sanctuary.

Pandu atau naiki bas ulang-alik melalui hutan hujan hingga ke Barron Gorge dan air terjun yang mengagumkan. Layari Barron River dengan bot sungai, sambil mencari-cari platipus di sepanjang perjalanan.

Iklim gunung tropika Kuranda yang dingin membuatkannya begitu sesuai untuk aktiviti berjalan kaki di dalam hutan hujan dan kebanyakan aktiviti ini bermula dari tengah pekan. Jum Rum Creek Walk bersambung dengan Jungle Walk, yang berterusan melalui hutan hujan ke River Walk di sebelah Barron River. Pelantar laluan tergantung tinggi di atas hutan menyambungkan Barron Falls Road dengan Barron Falls Lookout. Barron Gorge National Park dan Davies Creek National Park juga menawarkan serangkaian aktiviti berjalan kaki yang pelbagai jaraknya. Speewah Trailhead dan kawasan perkhemahan merupakan titik mula bagi denai di Barron Gorge National Park. Davies Creek National Park adalah kawasan yang amat disukai para pencinta alam semula jadi, dengan kolam air sejernih kristal di antara batu tongkol granit yang melakar jeram dan luncuran batu asli.

Perjalanan ke Kuranda itu pun merupakan suatu pengalaman yang tersendiri. Anda boleh memandu atau menaiki bas melalui jalan yang melingkungi hutan hujan ini dari Cairns; menyertai perjalanan bersejarah di Kuranda Scenic Railway; atau meluncuri lelangit hutan hujan dengan selesanya di dalam gondola kereta kabel Skyrail Rainforest Cableway.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia