Port Douglas, Queensland

Four Mile Beach, Port Douglas, QLD. © Tourism Queensland

Port Douglas, Queensland

Port Douglas hanya sejauh satu jam memandu ke utara Cairns di sepanjang jalan pesisir pantai yang paling cantik pemandangannya di Australia. Menempatkan pantai keemasan dan beberapa tempat peranginan paling eksklusif di Tropika Utara Queensland, bekas kampung nelayan Port Douglas ini canggih dan santai, tempat paling sesuai untuk menenangkan diri serta bersantai.

Bersiar-siarlah di sepanjang Macrossan Street, pusat aktiviti desa ini dan nikmati pelbagai restoran, bar, kafe, butik, kedai buku dan galeri yang penuh gaya. Manfaatkan peluang membeli-belah barangan berjenama yang terkenal atau manjakan diri anda di salah satu spa penjagaan diri yang mewah.

Di satu hujung Macrossan Street terdapat Four Mile Beach yang dibarisi pokok palma, tempat terbaik untuk menikmati keindahan matahari terbenam yang mengagumkan. Anzac Park terletak di hujung satu lagi jalan ini, tempat di mana gereja St Mary’s by the Sea Chapel berdiri megah dan pasar Ahad mingguan diadakan.

Port Douglas juga menawarkan percutian keluarga yang penuh dengan keseronokan dan pengembaraan. Belajar menyelam, bersnorkel, menunggang jet-ski, ski air atau berkayak di pantai yang terlindung. Pelayaran ke Great Barrier Reef berlepas setiap hari dari Marina Mirage, melawati kawasan terumbu yang dianggap terbaik dan paling murni. Lawati Low Isles dengan kapal layar; atau luangkan beberapa hari atas kapal layar mewah dengan bersiar-siar sehingga ke terumbu di kawasan luar. Terbang atas seluruh panorama menakjubkan ini dengan menyertai penerbangan berpemandangan menggunakan helikopter atau kapal terbang laut.

Untuk mendapatkan pengalaman sekali seumur hidup ini, berenanglah bersama ikan paus minke kerdil dalam bulan Jun dan Julai, atau saksikan pembiakan karang tahunan yang mengagumkan dalam bulan November.

Port Douglas juga tidak jauh dari Daintree National Park, di mana terumbu karang bertemu dengan hutan hujan. Mossman Gorge, salah satu tempat yang paling kerap dikunjungi di hutan hujan Daintree, terletak hanya sejauh 20 minit pemanduan ke utara Port Douglas. Sertai lawatan memerhati buaya di Daintree River atau terokai pantai-pantai murni
Cape Tribulation dengan pacuan empat roda. Jika anda berani, bawa lampu suluh dan ikuti perjalanan berpandu pada waktu malam merentasi hutan. Inilah masanya haiwan menjadi paling aktif dan hutan menjadi benar-benar hidup.

Bulan-bulan yang paling lembap di Port Douglas ialah dari Februari hingga April. Walaupun basah, kelembapan ini membawa kelegaan dan hutan hujannya sangat indah dengan air terjun yang mengalir deras.

Di utara Port Douglas, pemanduan di sepanjang pantai membawa ke Cooktown dan Cape York Peninsula yang terpencil.

Kebanyakan pelawat tiba di Port Douglas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Cairns. Anda boleh menuju ke Port Douglas dengan menaiki bas, limousin peribadi atau menyewa kereta.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia