Kehangatan unggun api Canberra

Kehangatan unggun api Canberra

Alami kemesraan dan jamu selera bertemankan unggun api pada musim dingin. Itulah panggilan Pesta Fireside, yang diadakan di Canberra dan kampung-kampung berhampiran, seperti Yass, Hall, Murrumbateman dan Gundaroo setiap Ogos. Atur cara yang berlangsung selama sebulan ini menjanjikan makanan, wain dan hiburan yang mampu menyemarakkan semangat anda di samping api yang dapat memanaskan suasana yang dingin.

Para penggemar makanan pasti amat menggemari perayaan yang amat mesra di wilayah yang terkenal dengan hasil keluaran wain musim dinginnya. Mulakan hari anda dengan marshmallow bakar dan secangkir coklat panas dalam sarapan lewat berhampiran pendiangan di Hall, hanya 25 minit perjalanan dari Canberra. Di perkampungan gourmet Gundaroo, anda boleh duduk untuk menikmati pizza yang dibakar dengan api di kandang kuda lama atau menikmati makan malam pelbagai jenis sajian, dengan diiringi penari pemutar api apabila setiap jenis sajian dihidangkan.

Selepas itu, lawati ladang anggur Lake George atau hirup muscat dalam bilik simpanan wain Murrumbateman dengan disinari cahaya lilin. Pembuat wain tempatan akan memberitahu anda mengenai gaya amat berbeza wilayah ini - dari sangiovese ke riesling, chardonnay, pinot noir dan shiraz – serta mikro-iklim berbeza yang menghasilkannya.

Uji reputasi Canberra sebagai tempat makanan kelas pertama dengan makan tengah hari di kafe bersebelahan unggun api daripada kayu api yang dinyalakan. Anda akan mengetahui dengan segera bahawa rahsia kejayaan bandar raya ini berpunca daripada kesetiaannya pada hasil segar ladangnya sendiri. Perhubungan di antara nikmat masakan dan sifat berdaya tahan adalah perkara teras dalam kejayaan pergerakan Makanan Bukan Segera di seluruh wilayah ini. Ketahui lebih lanjut semasa pesta ini dengan menyertai kelas masakan makanan bukan segera dalam dapur organik.

Makanan dan wain bukan satu-satunya ciri keseronokan pesta fireside ini. Persembahan oleh Orkestra Simfoni Canberra dalam bilik simpanan wain yang dibarisi tong-tong wain adalah satu keistimewaan yang hampir bersifat lazim. Pesta-pesta yang lalu telah turut menonjolkan persembahan piano, jazz tengah hari dan konsert gitar virtuoso. Untuk mendengar muzik dalam suasana musim dingin yang cukup unggul, mengerekot di atas kerusi besar dengan segelas port (sejenis wain) atau pinot noir.

Semarakkan kreativiti anda di pameran seni, pembacaan sajak oleh penulis tempatan atau demonstrasi membuat tembikar menggunakan tanur kayu api. Anda juga boleh berjual beli lukisan untuk keseronokan serta cuba menggembala kambing dengan menaiki kuda sebelum makan tengah hari unggun api. Kemudian, semasa finale pesta ini – makan malam barbeku atau hidangan lima jenis sajian diikuti pertunjukan bunga api yang bergemerlapan di padok tempatan.

Jangan biarkan unggun api padam begitu sahaja pada penghujung hari. Bersantai dengan urutan batu panas sebelum anda masuk untuk tidur di kotej, perkhidmatan menginap dan sarapan butik atau hotel di bandar raya Canberra.

Jika anda tidak berpeluang menyertai aktiviti panas bulan Ogos, teruskan ke Murrumbateman Moving Feast yang bermaksud Hidangan Bergerak Murrumbateman dalam minggu pertama Oktober. Kilang membuat wain yang mengambil bahagian dalam acara ini akan memadankan anggur iklim dingin tempatan dengan sepinggan hidangan yang enak untuk anda. Atau sertai Pesta Menuai Wain Daerah Canberra dalam minggu pertama April. Kilang-kilang wain dari Lake George, Bungendore, Murrumbateman dan Hall meraikan musim menuai dengan perayaan dua hari yang diisi dengan makan, minum dan muzik.

Sudah tentu, tiada yang dapat menandingi kehangatan tempat pendiangan kolektif Canberra untuk percutian musim dingin.

 

Idea Australia selanjutnya