Seni Orang Asli di Canberra

Seni Orang Asli di Canberra

Hayati pelbagai koleksi seni Orang Asli yang kaya di National Gallery of Australia. Sejumlah 13 galeri kini mempamerkan lebih 7,500 hasil kerja, dari lukisan gaya dot and bark hinggalah ke warna air, tekstil, cetakan, seramik dan arca. Ayuh masuki bilik yang berbeza, pelajari mengenai landskap, legenda Dreaming dan peristiwa bersejarah yang tersulam rapi dalam setiap tradisi seni. Koleksi penting ini merupakan ungkapan budaya kehidupan yang tertua di dunia yang masih hidup dan berkembang.
 
Seni Orang asli amat pelbagai namun turun disatukan, dengan kisah dan tema yang sentiasa berkisar sekitar tanah dan semangatnya. Meninjau melalui koleksi yang besar ini di National Gallery of Australia, anda kini boleh benar-benar menghargai pelbagai gaya dan medium artistik, serta ilham yang menjadi kebiasaan.

Setiap ruang galeri mempamerkan seni Orang Asli dari tempoh atau wilayah tertentu, seperti pameran artifak Orang Asli sejak 1800an. Temui lembing, didgeridoo, bakul, alat dan objek istiadat yang berjaya mengungguli cabaran masa hasil kemahiran dan imaginasi penciptanya. Satu bilik lagi mempamerkan lukisan kulit kayu purba serta arca Tanah Arnhem Barat. Dekati reka bentuk sinar X yang unik yang didapati di Kakadu National Park dan saksikan leluhur Dreamtime digambarkan pada garisan silang.

Ketahui lebih lanjut mengenai lukisan Early Western Desert atau Gurun Barat Awal, atau Sekolah Papunya, daripada komuniti Papunya yang terpencil di Australia Tengah antara 1971 dengan 1974. Di bawah pimpinan guru seni Geoffrey Bardon, kanak-kanak, dan kemudian orang dewasa di Papunya mula melukis kisah Dreaming mereka di atas kanvas. Lukisan titik mereka yang menandakan permulaan gaya yang tersebar ke seluruh Gurun Tengah, mengubah pasaran seni Australia dan menjadikannya sesuatu yang dikenali di seluruh dunia.

Lihat bagaimana tradisi Papunya telah berubah di galeri seterusnya, yang memaparkan lukisan gurun sejak tahun 1975 Kerja yang semakin berbentuk eksperimental ini, sering menggunakan gaya berwarna warni dan abstrak dan menggambarkan peristiwa bersejarah atau kontemporari serta legenda Dreamtime.

Lihat lukisan warna air Albert Namatjira yang terkenal, antara pelukis Orang Asli pertama yang menggunakan teknik orang Barat. Turut dipamerkan adalah kerja pelukis Orang Asli dari Hermannsburg Mission yang belajar melukis dengan warna air daripada Namatjira. ukisan-lukisan ini mewakili tradisi seni Hermannsburg School.

Ketahui mengenai orang lidi Wandjina yang ditemui di wilayah Kimberley Australia Barat dan lihat tekstil cetakan skrin hasil kerja wanita Anmatyerr dan Alyawarr dari Australia Tengah. Satu galeri didedikasikan kepada seni Kepulauan Torres Strait yang bersemangat, termasuk topeng mereka yang teliti buatannya dan yang lebih terkini, tradisi membuat cetakan mereka. Di bilik lain anda boleh mengikuti jejak seni Orang Asli merentas Queensland Utara dan Top End, sambil menghayati lukisan, arca dan seramik.

Seniman Orang Asli kontemporari, dari jurugambar hinggalah ke pelukis bandar, juga mempunyai kehadiran yang amat dirasai dalam pameran ini. Kerja mereka berunsur politik dan sering bersifat provokatif, dengan menangani isu semasa yang dihadapi. Antara bahan pameran yang paling membangkitkan perasaan dalam galeri ini adalah Memorial Orang Asli. Disempurnakan pada tahun 1988, ia memperingati dua abad pendudukan Eropah dengan 200 keranda balak berongga.

Terpesona dengan kepelbagaian seni Orang Asli dan hargainya secara keseluruhan di National Gallery of Australia.

Idea Australia selanjutnya