Terokai suasana beli-belah tempatan Canberra

Terokai suasana beli-belah tempatan Canberra

Di Canberra, pusat beli-belah tempatan lebih popular daripada pusat beli-belah mega dan label antarabangsa. Bandar ini bercirikan pasar, butik dan ruang runcit yang menjual hasil kraf tangan mengikut wilayah dan makanan serta wain segar dari kawasan perkampungan berhampiran. Anda pasti teruja dengan kerja seni, barang kemas, barangan rumah dan fesyen yang terdapat di sepanjang Lonsdale Street yang meriah atau terokai ratusan gerai di Old Bus Depot Market yang telah memenangi anugerah. Di mana sahaja anda membeli belah di Canberra, anda pasti menemui khazanah tempatan yang pelbagai.

Tinjau seni dan kraf yang unik yang dipamerkan di gedung kraf tangan yang besar di tengah-tengah bandar raya Canberra. Ia mempamerkan pelbagai produk oleh artis tempatan, dan ia juga turut merupakan tempat bagi pasar suku tahunan yang menjual pelbagai barangan kraf tangan. Anda juga akan menemui hadiah menarik untuk kanak-kanak seperti rumah anak patung, boneka, anak patung lembut, permainan kayu, boneka charlotte dan marionette. Pilih alat muzik atau permainan bertemakan Australia, sama ada koala, kangaru atau pun witchetty grub.

Terdapat juga pelbagai pilihan hadiah yang menarik untuk orang dewasa. Menjamu mata dan beli barang kemas vintaj, kasut inspirasi retro atau jag dan balang seramik putih yang mengimbau kenangan dapur kampung di Perancis. Temui hamparan kulit beruang tiruan, gumboot dengan corak yang sesuai untuk perempuan, kerusi sandar pereka terkenal dan hasil seni yang mampu membuat anda terpegun.

Teruskan pengembaraan membeli belah anda di sepanjang Lonsdale Street yang berhampiran, yang dibarisi kedai hadiah bergaya dan butik fesyen. Pilih lilin anggun, beg hasil kraf tangan atau barang kemas yang benar-benar unik. Temui kad yang istimewa, beli pasu yang berbeza atau tinjau pakaian dan aksesori yang dicipta oleh para pereka Canberra yang hip.

Canberra merupakan pusat bagi pelbagai pasar yang hebat. Temui khazanah vintaj, buku terpakai, barang kemas dan makanan antarabangsa di Gorman House Market, yang diadakan di Braddon, dekat pusat bandar, setiap hari Sabtu. Pasar ini menggabungkan pelbagai saluran runcit eklektik yang merangkumi restoran, salun rambut dan kedai yang menjual barangan rumah yang luar biasa serta fesyen Australia yang bergaya.

Terdapat semangat komuniti yang utuh di Old Bus Depot Market yang popular di Canberra. Pasar ini diadakan setiap hari Ahad di depot bas lama di sepanjang Kingston Foreshore. Terdapat juga hampir 200 gerai, yang menjual barangan rumah, barang kemas buatan tangan, seni, pakaian, perabot dan permainan, serta hasil dan wain daripada wilayah ini. Makan tengah hari merupakan tradisi tempatan, dengan pelbagai pilihan kuisin yang luas untuk memikat deria rasa anda. Dengar para pemuzik jalanan sambil anda mengunyah makanan ringan yang dibuat segar atau menghirup kopi yang baru dipanggang.
 
Juga diadakan pada pagi Sabtu, adalah Capital Regional Farmers Market atau Pasar Peladang Wilayah Ibu Negeri, di mana anda boleh membeli buah-buahan, sayuran, tumbuhan, bunga, makanan laut, daging dan keju. Pada hari Ahad pertama setiap bulan, Dewan berhampiran menjadi hos kepada pasar kraf yang cukup besar.

Membeli-belah seperti orang tempatan di Canberra, sebuah hab untuk makanan dan wain serta cenderahati yang diperbuat di sini.

Idea Australia selanjutnya