10 Perkara Utama yang boleh Dilakukan di Canberra

Pemandangan di Mount Ainslie, Canberra, ACT

10 Perkara Utama yang boleh Dilakukan di Canberra

Canberra bukan sahaja merupakan ibu kota Australia yang paling baru, ia juga bandar yang paling memeranjatkan. Ibu kota persekutuan memiliki banyak institusi kebudayaan negara, malah ia menyokong komuniti seni yang meriah serta fenomena makanan dan bar yang menggalakkan. Dengan campuran kepelbagaian daya tarikan binaan manusia dan semula jadi, Canberra ialah bandar penerokaan, pembelajaran dan keseronokan.

Fahami Sejarah Australia di War Memorial

Lawatan ke Australian War Memorial adalah penting bagi pengunjung yang mahu memahami sejarah Australia. Memorial ini mencatatkan penglibatan askar negara dalam peperangan, dari zaman penjajahan sehinggalah ke hari ini. Terdapat banyak jenis pameran baru, termasuklah suara ANZAC, dan pembangunan semula galeri First War.

Lihat Demokrasi Dipraktikkan di Parliament House

Lawati Parliament House, kompleks moden yang dibuka pada tahun 1988. Pelawat boleh menyaksikan proses demokrasi semasa Sesi Soal Jawab, di Dewan Perwakilan atau Senat. Sesi ini bermula pada jam 2 ptg semasa Parlimen bersidang. Bangunan yang menakjubkan ini juga menempatkan beberapa pameran dan galeri awam. Lawatan berpandu secara percuma disediakan pada jam 10 pg, 1 ptg dan 3 ptg.

Atau anda boleh Mencuba Cara Alternatif di Old Bus Depot Markets

Selain melawat bangunan kerajaan, anda juga boleh melihat bandar Canberra yang funki. Nikmati pengalaman ini di pasar mingguan Old Bus Depot Markets yang diadakan setiap hari Ahad dari jam 10pg hingga 4 ptg. Pasar ini dipenuhi dengan banyak barangan menarik untuk dibeli, dimakan dan dicuba – contohnya pakaian hipster, barangan rumah dan hasil tani organik yang enak. Tempat yang sesuai untuk mencari cenderahati yang asli dan unik.

Alami Dunia Galeri Canberra

Penggemar seni akan dapat menikmati begitu banyak acara seni di sini. Galeri seni kecil memenuhi bandar ini, namun sesetengah koleksi awam yang penting disimpan di sini. National Gallery of Australia ialah galeri awam negara ini yang menempatkan koleksi seni Australia, Orang Asli dan Asia. Untuk sesuatu yang luar dari kebiasaan, lawati National Portrait Gallery.

temui seorang Bintang di Institute of Sport

Anda boleh mendekati atlet elit, ahli gimnastik, perenang dan pelumba basikal yang berlatih di Australian Institute of Sport di Canberra. Institut ini mengalu-alukan kedatangan pelawat dan menawarkan lawatan kerap di mana pelawat dapat melihat atlet terbaik Australia menjalani latihan. Banyak kemudahan, termasuklah kolam renang 50-meter, gelanggang tenis dan gim lengkap, terbuka untuk kegunaan orang awam.

Melihat Bunga di Canberra

Hadiri festival tahunan Floriade, salah satu acara paling berwarna-warni di Canberra, yang menarik minat penggemar tumbuh-tumbuhan dari serata dunia. Untuk lebih kepelbagaian, anda boleh melawat National Arboretum. Projek besar ini yang dilancarkan pada tahun 2005, menampilkan 48,000 batang pokok, berserta pusat pelawat, restoran dan kedai cenderamata. Masuk percuma.

Berbasikal Mengelilingi Tasik Buatan Manusia

Terokai Lake Burley Griffin — salah satu daya tarikan penting Canberra. Kawasan takungan air ini digunakan untuk aktiviti seperti belayar, berkayak dan meluncur angin. Cara terbaik untuk menikmati keindahan tasik buatan manusia ini adalah dengan berbasikal mengelilingi sempadannya yang sepanjang 35 kilometer. Mr Spokes Bike Hire mempunyai pelbagai jenis basikal Avanti, malah mereka juga boleh menghantar basikal ke hotel anda.

Mendaki Mount Ainslie

Di ibu kota negara ini, amat mudah untuk melakukan aktiviti luar. Berjoging, berbasikal dan mendaki adalah antara hobi yang popular. Bandar ini telah membangunkan beberapa laluan warisan yang menampilkan reka bentuk urban. Lokasi paling terkenal ialah Mount Ainslie Lookout, yang menawarkan pemandangan menakjubkan mercu tanda seperti Australian War Memorial, Anzac Parade dan Parliament House. Masuk percuma.

Minum dan Makan di Sekitar Canberra

Poachers Pantry, perjalanan dekat dari Canberra, menawarkan makanan dan minuman yang berlatarkan persekitaran luar bandar. Cubalah wain iklim rendah di bilik simpanan wain, dan nikmati hidangan di Smokehouse Café. Singgahlah di Grazing untuk menikmati hidangan lazat yang disediakan daripada bahan mentah tempatan, dan belilah satu atau dua botol wain dari Lerida Estate, sebuah kilang wain yang terletak menghadap Lake George.

Luaskan Minda Anda di Questacon dan National Museum

Habiskan masa beberapa jam di National Museum of Australia dan anda akan dapati, walau pun Canberra mempunyai imej yang serius, ia juga mempunyai sifat lucu yang terkenal di negara ini. Muzium ini mempunyai koleksi objek yang banyak – dari objek suci sehinggalah yang pelik. Bagi anda yang berminat dengan sains dan teknologi, anda perlu melawati Questacon tempat anda boleh menyerlahkan minat sains anda.