Terokai sejarah Perang Dunia Kedua Darwin

Terokai sejarah Perang Dunia Kedua Darwin

Ketahui mengenai hari Perang Dunia Kedua tiba di Australia dalam tarikan sejarah Darwin.
Sebelum bom mulai jatuh, Khamis, 19 Februari 1942 adalah satu pagi seperti pagi-pagi lain, yang panas dan lembap di Darwin. Suhu mencecah 33 darjah di bawah teduh dengan kelembapan 90 peratus, penduduk Darwin yang seramai 2,000 orang – termasuk hanya 63 wanita – sudah pun dibasahi keringat.

Haba ini bukanlah sesuatu yang terlalu menggusarkan mereka, apabila kapal terbang Jepun melepaskan bomnya yang pertama di atas Pelabuhan Darwin pada pukul 9.58 pagi. Dalam tempoh satu jam yang berikutnya, lebih 300 bom dilepaskan, mengorbankan 243 orang manakala 300 lagi tercedera. Kebanyakan daripada 188 kapal terbang Jepun ini telah pun menyerang Pelabuhan Pearl beberapa bulan sebelum itu.

Meskipun Darwin mempunyai pangkalan tentera yang agak besar, ia tidak bersedia untuk menghadapi serangan musuh Australia yang pertama ini. Tanpa air, elektrik, komunikasi dan kepimpinan yang jelas, di samping desas desus yang berleluasa mengenai serangan luar, penduduk Darwin cemas.

Ramai askar meninggalkan latihan mereka dan menyertai orang awam dalam rempuhan keluar dari bandar. Ada yang berlari, menunggang motosikal, menunggang kuda dan memandu kereta, tanpa henti hingga mereka tiba di Adelaide River, sebuah komuniti kecil luar bandar, 115 kilometer di selatan Darwin. Peristiwa orang pergi ke selatan secara beramai-ramai ini kemudiannya diistilahkan sebagai ‘Tuntutan milik Adelaide River’, dan telah didokumentasikan oleh Baz Lurhman dalam filem epik baru Australia.

Serangan ke atas Darwin, dan keadaan kelam kabut, rasa takut dan orang ramai berlari lintang pukang selepas ia berlaku, sebahagian besarnya disembunyikan oleh kerajaan Australia. Disebabkan bimbang berita ini akan melemahkan semangat warganya, beberapa hari selepas Jepun menawan Singapura, Australia hanya melaporkan bahawa cuma 17 orang terbunuh dan 24 tercedera di Darwin, sebahagian kecil sahaja daripada bilangan mangsa yang sebenar. Sepanjang 18 bulan yang berikutnya, Darwin kehilangan lebih 1,000 nyawa dalam 64 serangan udara. Namun penggelapan berita menyebabkan kebanyakan warga Australia tidak tahu betapa seriusnya serangan yang dilakukan ke atas negara ini dalam tempoh yang agak lama.

Anda boleh menerokai sejarah Perang Dunia Kedua Darwin di tapak-tapak di seluruh dan sekitar bandar ini. Di Pusat Warisan Penerbangan, terdapat kapal terbang pengebom B52 dan pelbagai lapangan terbang kecil lama di dalam dan sekitar bandar ini. Kunjungi kubu pertahanan senjata api yang membentuk sebahagian daripada barisan pertahanan utara Australia di Taman Negara Charles Darwin atau lihat tinggalan khemah berehat bagi 100,000 kakitangan ketenteraan di Taman Alam Semula Jadi Berry Springs, 47 kilometer ke selatan Darwin.

Di Muzium Ketenteraan East Point, berhampiran dengan pusat bandar, anda boleh berjalan melalui kubu pertahanan tempat strategi pertahanan Top End telah dirancang dan menonton futej pengeboman yang telah membawa Perang Dunia Kedua ke Australia. Berjalan melalui terowong simpanan minyak zaman perang yang dibina di bawah bandar atau saksikan pos pemerhatian artileri di Rizab Pantai Casurina, yang turut menjadi tapak suci kaum Orang Asli.

Anda juga boleh mengetahuinya dalam lawatan sejarah zaman perang Top End atau perjalanan pandu sendiri dari Darwin turun ke Lebuh Raya Stuart. Lihat lapangan terbang kecil yang membarisi lebuh raya dan kunjungi muzium dan tempat persemadian perang di Adelaide River. Ketahui lebih lanjut mengenai kehidupan zaman perang di Katherine dan dengar kisah perang tempatan sambil minum bir dingin di pekan-pekan bersejarah dan penuh bertenaga Larrimah dan Daly Waters.

 

 

Idea Australia selanjutnya