Cita rasa Top End

Cita rasa Top End

Nikmati cita rasa Asia dalam seting tropika di Pasar Senja Pantai Mindil Darwin di antara bulan Mei dan Oktober.
Nikmati aroma sate yang sedang dibakar dan bihun pedas di udara, di bawah lambaian pepohon kelapa kala senja. Selamat datang ke Pasar Senja Pantai Mindil Darwin – di mana anda boleh menikmati cita rasa Asia-Pasifik dan seni dan kraf setempat dalam persekitaran tropika yang panas lembap.

Ia diadakan setiap Khamis dalam musim kering, iaitu di antara bulan Mei dan Oktober, pasar ini hampir seperti sebuah institusi di Darwin. Penduduk tempatan mula tiba bila senja melabuhkan tirainya dengan membawa meja, kerusi, hamparan dan kanak-kanak untuk berehat di tepi pantai atau di atas rumput untuk menyaksikan matahari tenggelam dan bintang-bintang mula bersinar.

Seperti Darwin, pasar-pasar ini merupakan wadah tumpuan pelbagai kuisin dan budaya. Individu yang berasal dari 50 negara tinggal di Darwin dan terdapat lebih daripada 30 cita rasa kebangsaan yang eksotik – termasuk Orang Asli, Orang Pulau, Thai, Indonesia, Cina dan Eropah – diperagakan di gerai-gerai makanan yang lazat di Pantai Mindil.

Darwin lebih hampir dengan Indonesia berbanding Sydney dan anda boleh merasai makanan tradisional Indonesia yang sangat enak seperti kuah kacang sate, gado-gado dan pelbagai sajian mi. Atau uji deria rasa anda dengan makan semangkuk sup tom yam Thailand yang pedas berapi atau kari ayam hijau. Dengan aroma serai di udara panas lembap ini, memang tergoda untuk ke Vietnam (atau sekurang-kurangnya ke gerainya) untuk menikmati popia Vietnam yang dibalut dalam kertas tepung wangi. Hirup laksa Melayu yang harum baunya, cuba sate daging Halal atau nikmati bush tucker tempatan. Buaya, kerbau dan baramundi hanya antara beberapa keistimewaan segar dan istimewa di Wilayah Utara ini. Jika anda mendambakan sesuatu yang lebih tradisional, terdapat daging panggang, burger dan ikan dan kentang goreng. Seterusnya layani deria rasa manis anda dengan bermacam ragam buah-buahan tropika, jus dan sajian pencuci mulut. Manjakan diri dengan krep Perancis, kek nasi seperti ketupat pulut atau kastard taro dalam pinggan buluh olok-olok.

Apabila anda telah puas menjamu selera, lawati pula gerai-gerai kraf tangan tempatan di pasar ini. Beli belah seni belukar, pakaian buatan tangan, boneka dan tembikar. Bawa pulang didgeridoo, seni Orang Asli atau dompet atau gelang yang diperbuat daripada kulit buaya, sebagai kenang-kenangan. Imbas masa depan anda dengan tukang tilik kad tarot atau belajar cara memukul cemeti daripada pakar. Dengar sajak bush atau nikmati urutan oleh tukang urut Thai. Pelbagai hiburan dari penyanyi kabaret hinggalah ke kumpulan rock Orang Asli menyempurnakan aktiviti malam eklektik di Mindil.

Namun tempah ruang dengan kerusi malas dan berbaring di sana. Pantai Mindil adalah lokasi untuk menikmati cita rasa berbilang budaya di Darwin, pemandangan matahari tenggalam yang sangat indah dan kebebasan santai di pasir pantai yang amat menenangkan.

 

Idea Australia selanjutnya