Menunggang ombak di Gold Coast

Menunggang ombak di Gold Coast

Temui ombak besar yang terbaik atau belajar meluncur air di syurga luncur air kami.
Dengan 70 kilometer pantai yang disinari mentari dan empat tempat meluncur ombak yang terkemuka, tidak hairanlah Gold Coast menjadi tuan rumah bagi bandar raya yang dipanggil Syurga Peluncur Air.
Di samping menjadi destinasi parti antarabangsa, Gold Coast mempunyai antara ombak yang paling konsisten dan terbaik di Australia dan telah menjadi hos kepada pelbagai pertandingan luncur air antarabangsa. Kesemua 35 pantai ini dikawal oleh anggota penyelamat sepanjang tahun dan mempunyai ombak yang sesuai dengan semua tahap pengalaman luncur air. Jika anda peluncur air yang baru, Gold Coast merupakan tempat yang ideal untuk belajar. Mendaftar dengan salah sebuah sekolah meluncur air yang banyak terdapat di sini, dan anda akan dibantu oleh guru yang bertauliah untuk berdiri di atas papan luncur dan menunggang ombak yang pertama.
Anda hampir pasti mendapat ombak di Gold Coast, terutamanya di The Spit, Pantai Main, Narrowneck, Pantai Palm dan Pantai Mermaid. Angin dan gelombang timuran bergabung untuk menghasilkan gelombang setinggi dua kaki lebih kurang seminggu sekali, dan apabila ombak memecah pantai, gelombang di bahagian lain tidak sesak dan terganggu. Setiap beberapa bulan, siklon luar pesisir pantai menghasilkan ombak setinggi empat kaki yang menjadi tarikan ramai peluncur air yang berbekalkan papan luncur dengan keazaman utuh terbayang di wajah masing-masing. Menaiki papan boogie paling elok dilakukan pada waktu pagi sebelum angin melanda, dan tempat terbaik untuk meluncur layang-layang adalah Narrowneck.

Jika anda tidak menggeruni jerung dan kapal, dayunglah merentas Gold Coast Seaway ke Pulau Stradbroke Selatan dan terokai antara gelombang yang paling hebat dan konsisten di Queensland. Usaha mencari gelombang ini tidak sia-sia, terutamanya apabila anda dapat menikmati fajar menyingsing yang damai dan bernada merah jambu.

Di selatan Pantai Mermaid dan Miami, anda boleh menunggang papan badan atau meluncur gelombang tangan kanan atau classic right-handers dan ombak selebu di Burleigh Heads. Setelah itu, bersantai di hadapan pepohon pain yang tinggi menggapai awan yang menjadikan pantai terpelihara di Pulau Norfolk ini begitu popular di kalangan mereka yang berkeluarga.

Lebih jauh sedikit di sepanjang pantai ini, berhampiran sempadan New South Wales, terletak Snapper Rocks Superbank yang amat terkenal. Di seberang Snapper Rocks Point, Pantai Rainbow, terletak Greenmount Headland, Pantai Coolangatta dan Kirra, bar pasir yang terbina apabila pasir dipindahkan dari Sungai Tweed untuk membanteras hakisan pantai.

Hari ini, Superbank menghasilkan antara ombak yang terpanjang di dunia termasuk yang dilaporkan sebagai pernah ditunggangi sejauh 1.97 kilometer dari Snapper Rocks ke Kirra. Luncur air yang tiada penghujungnya! Atas sebab inilah ia menjadi tempat luncur air yang paling sesak di Australia dan biasanya dimonopoli oleh peluncur tempatan dan mahir. Kirra adalah satu-satunya pantai di mana para peluncur telah diancam kerana pembinaan Superbank telah menukar bentuk Rainbow Bay. Namun apabila gelombang siklon berlaku, anda masih boleh mendapat ombak yang berkualiti di sini.

Apabila anda sudah selesai menunggang ombak terakhir pada hari itu, pergi ke salah sebuah kelab luncur air setempat yang berderet di sepanjang Gold Coast untuk makan, minum atau menonton pertandingan luncur air persahabatan. Ada sesiapa menyebut syurga?

 

Idea Australia selanjutnya