Hobart

Hobart

Cuba makanan, wain dan kreativiti Hobart di galeri, bar dan restoran MONA. Berehat, makan dan lawati pasar di pelabuhan binaan banduan dan batuan pasir Salamanca Place. Lawati subbandar tertua Battery Point, daki Mount Wellington dan sertai festival Taste Tasmania dan Perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart. Hobart menawarkan laluan ke Richmond, Kettering, Bruny Island, Wineglass Bay dan taman negara Tasmania.

Hobart ialah bandar yang padat yang dikelilingi oleh tarikan moden dan sejarah. Bersiar-siar melalui seni bina kolonial dan serapi tenaga bersemangat daripada orang-orang kreatif yang memilih untuk menetap di sini. Temui alam semula jadi yang murni dan hasil pertukangan, seni moden yang berani dan bar dan restoran yang bergaya. Hobart ialah sebuah tempat yang istimewa. Ketik ke keajaiban luar biasanya.

Jangan ketinggalan melawat ibu negeri kecil dan indah ini yang terkenal kerana bangunan berseni bina Georgia dan udaranya yang segar. Melihat-lihat Salamanca Market yang sibuk dan rasalah permukaan bangunan batu pasir dengan tangan anda di Salamanca Place. Daki Mount Wellington yang berceracak untuk melihat pemandangan yang luas merentas Hobart dan Derwent River yang lebar. Sertai lawatan hantu di Battery Point dan berjalan menyeberangi jambatan tertua di Australia di Richmond serta melawat perkampungan desa yang comel di pinggir pantai di Kettering. Ikut jalan berliku-liku melepasi hutan dan tanah ladang menuju ke ladang anggur berudara sejuk di Coal Valley.

Alami kesegaran udara laut, hayati budaya kreatif dan sejarah penjajahan Hobart yang terletak di Sungai Derwent yang luas di Mount Wellington yang menakjubkan. Berjalan kaki merupakan cara yang terbaik untuk benar-benar melihat batu pasir dan jalan air di bandar dari Salamanca Market yang sibuk hinggalah ke limbungan ikan. Nikmati hidangan makanan dan wain di restoran-restoran di North Hobart atau bersiar-siar di bawah gerbang agung Salamanca Place. Terokai Mount Wellington dengan dakian basikal , berjalan kaki atau menuju ke pelabuhan dan berkayak melepasi dermaga bandar di keheningan malam. Di bahagian selatan bandar itu terletaknya Kettering dan Pulau Bruny yang kecil dan berbatu-batu. Luangkan sehari untuk bersiar-siar di pantai bertadah angin, kawasan luar bandar yang sehijau zamrud serta puncak cenuram yang dramatik.

Semasa di Hobart, pastikan anda mengunjungi Salamanca Place di Sullivans Cove yang merupakan bandar tepi laut yang sangat sibuk. Pada tahun 1830-an, kehidupan di sini berkaitan dengan industri. Tetapi hari ini medan menarik yang dihiasi gudang batu pasir seni binaan Georgia dan gerbang unggul ini telah menjadi destinasi untuk makanan, budaya, membeli-belah dan muzik. Bersiar-siar di galeri, bersantai di bawah payung besar atau membeli-belah kraf Tasmania yang halus di Salamanca Market. Setiap malam Jumaat, suasana di Salamanca Arts Centre Courtyard disemarakkan dengan muzik Rektango, jadi pakailah kasut tarian anda dan menari mengikut muzik gipsi, jaz dan swing. Di sinilah kehidupan budaya Hobart bertembung dengan sejarahnya yang kaya.

Selami diri anda dalam sejarah menakjubkan iaitu tentang ‘penjara yang tidak dapat ditembusi’ di Tasmania. Jika Prison Break difilemkan pada pertengahan abad ke 19 di Australia, lokasinya sudah tentulah di tapak bersejarah Port Arthur di Tasmania. Terpisah dari Tasmania oleh genting yang dikelilingi perairan yang penuh dengan ikan yu, Port Arthur dikenali sebagai ‘penjara yang tidak dapat ditembusi’. Tetapi tidak seperti pengawasan kamera yang digunakan pada hari ini, pengawal dan anjing pemburu yang hampir kelaparan mengawal satu-satunya jalan keluar.

Sempena sambutan tahun baru pada setiap musim panas, Hobart menjadi tuan rumah acara terbesar di Tasmania iaitu Taste Festival. Kawasan pinggir Sullivans Cove menjadi meriah selama tujuh hari dan tujuh malam diiringi sajian pelbagai hasil Tasmania, makanan gourmet dan wain. Dengan adanya lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman serta pameran seni dan pertunjukan pentas, pelawat benar-benar dapat merasai budaya dan keunikan Tasmania.

Anda tidak perlu menjadi pakar pelayaran untuk menikmati perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart. Bermula dari Boxing Day, Disember 26, perlumbaan ini merupakan bahagian ikonik dalam musim panas Australia. Lihat kapal berlayar keluar di pelabuhan dengan piknik, barbeku atau krus kapal di Pelabuhan Sydney. Bersorak apabila mereka melepasi garisan tamat, tepat masanya untuk perayaan malam tahun baru di Hobart. Kagumi ketabahan pelayar dan sertai warga Australia yang lain ketika mereka bertarung dengan Bass Strait yang cukup bergelora.

Alami sejarah banduan Hobart sebelum menuju ke Taman Negara Freycinet dan lengkungan sempurna Wineglass Bay. Berenang di St Helens dan lakukan Bay of Fires Walk di Taman Negara Gunung William. Lihat melepasi Launceston dari Cataract Gorge dan berbasikal sepanjang kawasan dermaga Devonport. Damaikan jiwa anda di hutan Gunung Cradle yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia – Taman Negara Tasik St Clair. Menginap di Strahan dan susuri Gordon River atau berakit air tawar di Franklin yang mengganas.

Asyikkan diri anda dengan kecantikan pantai timur Tasmania dengan perjalanan yang menarik ini. Berkayak di laut dan kenali sejarah silam Maria Island, rasai beri segar, minum wain berdekatan Swansea dan nikmati kecantikan sempurna Wineglass Bay di Freycinet National Park. Berhenti di Bacheno dan hayati aktiviti luar yang ditawarkan dengan bermain golf atau melihat penguin kecil terkedek-kedek pulang ke rumahnya pada waktu senja. Kembara belukar di hutan hujan Douglas-Apsley National Park dan memancing secara santai atau menyelam di pelabuhan St Helens yang cantik. Berenang di air yang tenang lagi jernih di Binnalong Bay dan ikuti laluan Bay of Fires untuk melepasi peninggalan Orang Asli, hutan kayu dan pantai yang putih sekali. Akhiri perjalanan anda di rumah persinggahan eko terpencil yang mempunyai pemandangan laut yang memikat jiwa.

Udaranya mungkin sejuk dan segar, tetapi di Tasmania, musim sejuk jelas sekali tidak melumpuhkan aktiviti anda. Raikan solstis di Hobart atau meluncur salji di Ben Lomond National Park. Mendaki tanah tinggi Cradle Mountain yang diselaputi salji atau beristirehat di tepi perdiangan rumah persinggahan di Semenanjung Freycinet. Apa-apa sahaja yang anda lakukan, jangan lepaskan masa keemasan dalam setahun ini di Tasmania.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya