Salamanca Place, Hobart

Salamanca Place, Hobart

Semasa di Hobart, pastikan anda mengunjungi Salamanca Place di Sullivans Cove, pusat dermaga bandar raya yang sibuk. Kehidupan di sini dalam tahun 1830an berkisar sekitar industri, namun hari ini, dataran berturap batu bundar yang indah pemandangannya ini merupakan destinasi bagi makanan, seni, membeli-belah dan muzik. Kunjungilah galeri yang terdapat di sini dan bersantai di bawah payung untuk melindungi diri daripada sinaran mentari. Membeli-belah hasil kerja tangan Tasmania di Salamanca Market dan menari di laman dalam Salamanca Arts Centre atau Pusat Seni Salamanca. Di sini, kehidupan budaya Hobart, bertemu sejarahnya yang kaya.

Gudang Georgian ringkas yang membarisi Salamanca Place dibina pada tahun 1830an untuk menyimpan bijirin, bulu bebiri, minyak paus dan barangan import. Hari ini gudang ini diberi nafas baru dan dijadikan galeri, teater, kafe, bar dan restoran. Jamu mata di butik yang menjual barangan kemas, fesyen dan reka bentuk bandar atau berjalan-jalan melalui kedai buku bawah tanah. Nikmati makanan atau minuman di bawah gerbang batu yang pernah dilalui oleh para pelayar, pemburu paus dan para pekerja.

Pastikan anda meninjau Salamanca Arts Centre atau Pusat Seni Salamanca, koleksi galeri dan ruang seni merentas tujuh gudang warisan. Lihat persembahan di Peacock Theatre, saksikan seniman tempatan berkarya di studio mereka atau saksikan pameran mereka. Setiap Jumaat malam, laman dalam pusat seni dipenuhi dengan muzik gipsi, jaz dan swing. Hayati suasana ini sepanjang tahun.

Pada hari Sabtu dataran dermaga menjadi penuh bersemangat dengan Salamanca Market yang berwarna-warni. Beli salah satu hasil kerja peniup kaca, pembuat pasu, tukang kayu atau pelukis tempatan, dengari kuartet alat bertali atau berbual dengan peladang mengenai epal organik. Pasar ini mempamerkan hasil segar Tasmania, seni dan krafnya yang unik, serta rekaan fesyen, barangan kodi dan antik. Selami diri anda dalam kesibukan yang penuh kemesraan atau tonton aksi di bawah teduhan pepohon yang besar di seberang jalan.

Di belakang Salamanca Place yang penuh sejarah, terdapat Salamanca Square, yang moden di mana anda boleh bersantai di sebelah pancutan air dan menyaksikan orang ramai lalu lalang. Bersantai di kafe, terokai butik fesyen atau beli keju tempatan dan jam buatan sendiri yang lazat daripada saluran runcit gourmet. Padang rumput yang dipelihara rapi di tengah-tengah dataran ini adalah tempat yang hebat untuk berehat selepas makan tengah hari yang panjang.

Dari Salamanca Place anda juga boleh bersiar-siar di dermaga yang dihubungkan dengannya. Di sinilah tempatnya di mana satu ketika dulu para banduan British pernah mendarat serta tempat pemburu paus menaikkan muatan mereka. Pada hari ini, jeti ini dibarisi restoran makanan laut, perahu layar dan bot nelayan yang menari-nari dipukul ombak. Di Constitution Dock anda boleh melihat kapal persiaran yang besar yang berkunjung atau bersorak untuk para pemenang yang letih dipukul angin semasa perlumbaan perahu layar Sydney ke Hobart pada bulan Disember.

Dermaga bersejarah ini juga merupakan tempat untuk perayaan Taste of Tasmania Festival, sebuah perayaan makanan dan wain Tasmania yang berlangsung selama seminggu yang diadakan sempena tahun baru. Makan tiram yang baru dipungut dan salmon yang segar, rasai wain iklim dingin dan saksikan pertunjukan bunga api pada malam tahun baru di Sullivans Cove.

Di tengah-tengah semua aksi ini terletak Salamanca Place, di mana nadi Hobart berdenyut.

Idea Australia selanjutnya