Federation Square, Victoria

Federation Square, Melbourne, VIC.

Federation Square, Victoria

Federation Square adalah tempat perjumpaan di Melbourne. Ia adalah kawasan budaya yang unik yang menemukan campuran tarikan yang kreatif, muzium dan galeri, di samping pelbagai restoran, kafe dan bar.

Federation Square juga merupakan pusat acara Melbourne, dengan lebih daripada 2000 acara diadakan setiap tahun, termasuk festival budaya, pasar, tayangan filem dan acara-acara sukan. Ia boleh menampung sehingga 10,000 orang pada satu masa.

Terdiri daripada seluruh blok bandar dan berturap dengan batu buntar pasir dari wilayah Kimberley Australia Barat, Federation Square yang dibina tinggi sedikit dari aras jalan menawarkan pemandangan luar biasa Bandar Raya Melbourne, Southbank dan Sungai Yarra.

Jadikan Visitor Information Centre persinggahan pertama anda untuk merancang dan memanfaatkan lawatan anda. Lawatan berjalan kaki berpandu selama satu jam disediakan setiap pagi dari Isnin hingga Sabtu.

Bersiar-siar di sekitar dataran dan kagumi The Atrium, bangunan umpama galeri yang luar biasa yang dibina daripada kaca, besi dan zink yang menjadi tuan rumah kepada banyak pameran seni khas. The Edge adalah amfiteater dalam bangunan dan tempat untuk pelbagai persembahan secara langsung dari teater sehingga syarahan awam. Melbourne Cricket Ground (MCG), Alexandra Gardens, puncak menara Victoria Arts Centre dan Sungai Yarra semuanya dapat dilihat melalui lapisan kristal dari tempat tersebut.

Federation Square juga merupakan tempat terletaknya Ian Potter Centre, sebahagian daripada National Gallery of Victoria, Australian Centre for the Moving Image dan National Design Centre.

Pusat yang pertama seumpamanya di dunia, Australian Centre for the Moving Image adalah khusus untuk imej bergerak dalam semua bentuk, dari pawagam yang awal sehingga media digital terkini.

Ian Potter Centre: NGV Australia adalah galeri utama pertama di dunia yang dikhususkan hanya untuk kesenian Australia termasuk fotografi, cetakan dan lukisan, fesyen dan tekstil, seni hiasan dan suit galeri khusus untuk kesenian Orang Asli dan Orang Pulau Torres Strait.

National Design Centre mempamerkan reka bentuk Australia dan menampilkan program tahunan pameran sementara dan tetap bagi reka bentuk tempatan dan antarabangsa.

Di sebelah timur Federation Square adalah Birrarung Marr, taman tepi sungai yang popular kepada penduduk tempatan untuk beriadah dan berehat. Birrarung bermaksud 'sungai kabus' dalam bahasa Woiwurrung kaum Wurundjeri, penduduk tradisional di kawasan ini. Marr bermaksud 'tebing sungai'.

ArtPlay merupakan pusat yang direka khas untuk kanak-kanak dan keluarga mencipta karya mereka sendiri di samping artis-artis profesional dan bermain di ruang luar yang menarik.

Federation Wharf menghubungkan Federation Square dengan pemandangan indah Sungai Yarra di Melbourne melalui beberapa 'kekubah' bersejarah semenjak tahun 1890-an. Anda juga boleh menerokai Melbourne melalui Sungai Yarra dengan menyertai salah satu pelayaran sungai melalui bandar atau menyewa basikal dan menerokai taman dan kebun bunga yang indah di bandar ini.

Federation Square terletak di sudut persimpangan Swanston Street dan Flinders Street di tengah-tengah Kawasan Pusat Perdagangan Melbourne, menghadap Stesen Flinders Street dan St Paul's Cathedral. Federation Square berada dalam lingkungan berjalan kaki dari tempat-tempat tarikan utama termasuk National Gallery of Victoria, Royal Botanical Gardens, Crown Casino, Melbourne Aquarium, Melbourne Cricket Ground dan Eureka Tower.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia