St Kilda, Victoria

St Kilda Pier, St Kilda, Melbourne, VIC.

St Kilda, Victoria

Hanya enam kilometer dari kawasan pusat perdagangan, St Kilda merupakan taman permainan di tepi pantai bandar Melbourne. St. Kilda adalah sebahagian daripada City of Port Phillip yang termasuk pinggir bandar Port Melbourne dan South Melbourne.

St Kilda Beach membarisi pantai Port Phillip Bay, pantai berpasir yang selamat dengan pelantar laluan yang dibarisi pokok palma. Di sini anda boleh menikmati pelbagai aktiviti pantai seperti bola tampar pantai atau kriket pantai atau semata-mata bersiar-siar dengan santainya.

Suku Boon Wurrung daripada Bangsa Kulin adalah pemilik tradisional tanah tempat yang St Kilda ada sekarang dan memanggil kawasan ini Euroe Yroke. Terdapat bukti gaya hidup purba mereka di merata-rata tempat di St Kilda. Lawati tempat puak ini berkumpul di ‘Corroboree Tree’ iaitu pokok gam merah yang sangat tua di St Kilda Junction.

St Kilda telah dinamakan oleh Superintenden La Trobe selepas menyaksikan bot bernama ‘Lady of St Kilda’ berlabuh di luar pantai ini dalam tahun 1841. Dalam tahun 1900-an, St Kilda menjadi kawasan pinggir bandar yang amat digemari penduduk elit Melbourne dan banyak rumah besar agam telah dibina di sepanjang bukit-bukit dan di gigi airnya. Pesisir bawah menjadi zon hiburan Melbourne dengan pembukaan Luna Park pada tahun 1912, yang pada ketika itu merupakan taman hiburan terhebat di dunia. Luna Park masih beroperasi hingga ke hari ini di mana anda boleh berseronok menaiki rollercoaster dan bermain permainan arked.

Berikutan Perang Dunia Kedua, St Kilda menjadi 'kawasan pelacuran' Melbourne. Dalam tahun 1960-an, ia dikenali dengan gaya bohemiannya dan menarik artis serta pemuzik muda dengan memanfaatkan kos perumahan yang rendah. Subbandar ini masih mengekalkan gaya alternatifnya hingga ke hari ini.

Jalan utama di St Kilda ialah Fitzroy Street. Ia dibarisi pub, kafe dan restoran luar yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan menjadi wadah warisan berbilang kaum di Melbourne.

Masyarakat café di Acland Street mula berkembang dengan kemasukan pendatang Eropah secara beramai-ramai dalam tahun 1950-an. Warisan ini masih boleh dilihat di kedai kek, kafe dan kedai pereka bergaya Eropah yang membarisi jalan ini.

St Kilda Sea Bath yang asal dibuka bersebelahan dengan St Kilda Pier dalam tahun 1931 dan hari ini anda boleh berenang di kolam air masin yang diperbaiki dalam bangunan bersejarah ini.
St Kilda Marina terletak di sepanjang Marine Parade tempat di mana ramai penduduk menyimpan bot mereka. Anda boleh menyertai pelayaran memancing atau menikmati makanan laut yang segar di restoran.

St Kilda juga tempat terbinanya teater Melbourne yang termasyhur, seperti Palais Theatre, Barkly Theatre dan National Theatre yang penuh dengan hiasan, juga National Theatre Ballet School dan National Theatre Drama School. Esplanade Hotel yang berusia 130 tahun merupakan tempat muzik yg terbaik, di mana anda dapat menyaksikan persembahan kugiran tempatan secara langsung. Jangan ketinggalan melawati pasar artis tempatan yang diadakan di sepanjang Esplanade pada setiap hari Ahad.

St Kilda menjadi tuan rumah banyak pesta dan acara sepanjang tahun. St Kilda Festival merupakan salah satu acara muzik utama Australia yang dihadiri oleh lebih daripada 400,000 orang. St Kilda juga hampir dengan Albert Park Lake, tempat Grand Prix Formula 1 Melbourne diadakan.

Untuk sampai ke St Kilda, naiki trem dari Melbourne di sepanjang St Kilda Road.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia