Cottesloe Beach, Australia Barat

Cottesloe Beach, Cottesloe, WA. © Tourism Western Australia

Cottesloe Beach, Australia Barat

Cottesloe Beach merupakan salah satu pantai bandar yang paling terkenal antara semua pantai bandar Australia Barat. Ia terletak di tengah-tengah di antara kawasan pusat perdagangan Perth dan pelabuhan Fremantle di pinggir bandar Perth sebelah barat, yang hanya 15 minit jauhnya dari pusat bandar. Cottesloe terkenal dengan gaya hidupnya yang santai dan merupakan destinasi percutian popular bagi penduduk Perth selama lebih daripada 100 tahun. Suasana desa dan warisan lautnya pasti akan menggoda anda untuk menjelajah lebih jauh melampaui pasirnya yang keemasan. Ia juga tempat terbaik untuk menyaksikan matahari terbenam di Lautan Hindi sambil menikmati makanan laut yang segar.

Cottesloe Beach yang terletak di pinggir bandar Perth merupakan rantaian satu setengah kilometer pasir keemasan yang mengunjur ke utara dari Mudurup Rocks hingga ke batu-batuan selatan Swanbourne Beach. Ia pantai bandar yang disukai ramai untuk aktiviti berenang, bersnorkel, meluncur air dan menyaksikan matahari terbenam di Lautan Hindi.

Airnya yang jernih dan ombak yang konsisten membuatkannya tempat yang popular bagi para perenang, peluncur badan dan peluncur air. Pada tahun 2009, Lonely Planet menamakan Cottesloe Beach sebagai pantai kedua terbaik di dunia bagi percutian keluarga.

Cottesloe Esplanade yang luas dan berumput serta dilindungi pokok Norfolk Pines gergasi menawarkan tempat-tempat yang menarik untuk perkelahan bersama keluarga, pantai dan kriket. Konsert muzik di kawasan luar sering diadakan di sini. Terdapat jalan yang dipenuhi restoran, kafe dan bar di sepanjang Marine Parade, tempat untuk anda menikmati makanan tepi pantai yang sungguh lazat. Laluan persisiran laut membolehkan para pejalan kaki serta penunggang basikal bergerak di antara pantai-pantai dengan mudah. Carilah Pylon,mercu tanda dan platform menyelam yang popular di kalangan pengguna pantai. Terdapat juga padang golf sembilan lubang yang terletak berhampiran.

Mengikut sejarah, pantai ini merupakan cerminan sejarah Perth semenjak 110 tahun yang lalu. Dalam tahun 1909 ia menjadi tempat bermulanya sukan luncur air dan menyelamat nyawa luncur air di Australia Barat, dengan penubuhan Cottesloe Surf Life Saving Club. Kelab North Cottesloe menyusul dalam tahun 1912. Sudah beberapa generasi penduduk Australia Barat menghabiskan siang dan malam musim panas mereka dengan menyelam di Lautan Hindi dari loceng terapung unik yang terletak tidak jauh dari pantai.

Cottesloe merupakan kampung halaman John Curtin, Perdana Menteri Australia yang ke-14 antara tahun 1941 dan 1945. Rumah yang dibinanya masih tegak berdiri di Jarrad Street dan diuruskan oleh National Trust of Australia (WA) dan Curtin University.

Rottnest Channel Swim merupakan acara renangan laut terbuka dari Cottesloe Beach ke Pulau Rottnest di pinggir laut. Ia merupakan salah satu acara renang laut terbuka terbesar di dunia dengan jarak yang meliputi kira-kira 20 kilometer. Sejarah perlumbaan ini bermula pada zaman semasa Pulau Rottnest digunakan sebagai penjara. Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa sesetengah banduan berenang kembali ke tanah besar, dengan berehat di Carnac dan Garden Islands yang terletak dalam perjalanan.

Setiap tahun Cottesloe Beach diubah oleh pameran Sculptures by the Sea yang percuma untuk orang awam, serta menonjolkan hasil tangan para artis tempatan. Ini merupakan acara kembar bagi Sculptures by the Sea yang diadakan di Bondi Beach, Sydney.

Acara yang digelar 'Cott' oleh penduduk tempatan ini boleh dikunjungi dengan mudah dengan menaiki kereta, bas atau kereta api dari Perth.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia